Thursday, August 25, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI DAN SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM


Harapan agar semua pelajar SMKIE berbahagia menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba. Dalam menikmati pelbagai juadah jangan lupa buku perlu ditatap sebagai persediaan menghadapi Peperiksaan Percubaan SPM 2011. Ampun dan maaf jua dipinta andai ada keterlanjuran kata dan perbuatan. SELAMAT MENYAMBUT HARI LEBARAN...

Wednesday, August 24, 2011

USAHA-USAHA MENINGKATKAN TARAF HIDUP GOLONGAN OKU 3 - ARAS 1

Gambar di bawah menunjukkan sebahagian daripada kemudahan yang disediakan untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). Berikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk membantu meningkatkan taraf hidup golongan OKU. Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


PERENGGAN PENDAHULUAN

Tidak kuminta lahir ke dunia,
Tidak kuduga cacat begini.
Bukan kuminta kasih dan manja,
Bukan kurayu bantu simpati.

Demikian senandung sayu sebahagian daripada lirik lagu Namun Kupunya Hati yang bertemakan Orang Kelainan Upaya (OKU)-AR. Antara kategori OKU ialah orang yang kurang dari aspek penglihatan, pendengaran, fizikal dan sebagainya -AC. Disebabkan hal ini, OKU sukar menjalani kehidupan seperti orang yang normal -AC. Oleh itu, beberapa usaha boleh dilakukan untuk meningkatkan taraf hidup golongan OKU-AA.

PERENGGAN ISI 1 -
PELUANG DALAM KERJAYA [5 AYAT]


[AT]Usaha pertama yang dapat kita lakukan untuk membantu meningkatkan taraf hidup OKU di negara kita adalah dengan memberikan mereka peluang dalam bidang kerjaya. [AH/Mengapa?] Hal ini adalah untuk membolehkan OKU berdikari. [AC]Sebagai contoh, memberikan mereka peluang pekerjaan sama ada di sektor kerajaan mahupun di sektor swasta. [AC]Antara OKU yang berjaya dan mendapat pengiktirafan ialah Allahyarham Profesor Dato’ Ismail bin Salleh yang buta matanya. [AP]Tegasnya, OKU perlu diberi peluang pekerjaan supaya taraf hidup mereka dapat ditingkatkan.

PERENGGAN ISI 2 -
KEMUDAHAN ASAS [5 AYAT]


[AT]Usaha kedua untuk membantu golongan OKU ialah memperbanyakkan infrastruktur atau kemudahan awam kepada mereka. [AH/Mengapa?]Hal ini adalah untuk memudahkan OKU bergerak dengan selesa. [AC]Sebagai contoh, kemudahan laluan pejalan kaki atau tempat khusus untuk meletakkan kenderaan. [AH/Jika) Sekiranya kemudahan ini tiada, sudah tentu golongan OKU akan mengalami kesukaran kerana ketidakupayaan mereka dari segi fizikal jika menggunakan kemudahan awam yang sama seperti orang yang sempurna sifat fizikaInya. [AP]Oleh itu, pelbagai kemudahan perlu disediakan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

PERENGGAN ISI 3 –
PELUANG PENDIDIKAN


[AT]Usaha seterusnya ialah kerajaan perlu menyediakan peluang pendidikan yang secukupnya kepada OKU. [AH/Mengapa?]Hal ini adalah untuk membolehkan mereka memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran tertentu. [AC]Sebagai contoh, menyediakan sekolah khusus dan pendidikan khas seperti bahasa isyarat kepada golongan OKU. [AH/Kesan]Secara tidak langsung, golongan OKU juga diberikan peluang pendidikan yang sama rata dengan orang yang sempurna sifatnya. [AP]Jelaslah bahawa golongan OKU juga perlu disediakan kemudahan pendidikan untuk mereka mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.

PERENGGAN PENUTUP

[Rumusan]Tuntasnya, semua anggota masyarakat perlulah berganding bahu dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat yang prihatin terhadap kebajikan OKU. [Cadangan/Pendapat]Seharusnya nasib mereka dibela kerana Bulat air Kerana Pembetung, Bulat Manusia Kerana Muafakat. [Harapan]Marilah kita mengatur langkah sederap, seia sekata agar taraf hidup OKU lebih terjamin dan merealisasikan slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.


Monday, August 22, 2011

PENULISAN BAHAGIAN B - OKU 2

PERANAN PELBAGAI PIHAK MEMBANTU OKU

Sebagai warganegara Malaysia, rakyat dikehendaki menghayati dan mempraktikkan prinsip-prinsip Rukun Negara untuk memupuk semangat perpaduan. Rukun Negara diperkenalkan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia supaya mereka saling menghormati, membantu, memahami dan bekerjasama. Dengan ini, sebuah masyarakat penyayang dapat diwujudkan. Walau bagaimanapun, masyarakat penyayang tidak dapat diwujudkan sekiranya masyarakat yang bersifat individualistik dan materialistik masih wujud dalam jiwa mereka. Mereka tidak sanggup menghulurkan bantuan kepada golongan yang lemah dan bersikap mementingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Hal ini jelas diperlihatkan dalam isu Orang Kelainan Upaya (OKU) di negara ini. Terdapat sebahagian masyarakat memandang rendah golongan OKU dan menganggap mereka tidak mampu memberikan jasa, sumbangan dan perkhidmatan kepada keluarga, masyarakat dan negara. Sebenarnya, golongan OKU ini hanya mempunyai kecacatan dari segi fizikal, akal mereka masih sempurna dan dapat berfikir dengan matang. Mereka masih berupaya dan berkemampuan menyumbang jasa dalam pembangunan negara. Namun, kemampuan mereka telah dinafikan oleh masyarakat. Mereka tidak mempunyai peluang untuk membuktikan keupayaan mereka. Persoalannya, mengapakah langkah-langkah yang diambil untuk menjaga kebajikan serta kedudukan sosial OKU dalam masyarakat cuma bagai mencurahkan air ke daun keladi atau menampal kersik ke buluh? Walaupun kempen demi kempen terus dianjurkan namun, kebajikan golongan OKU tetap diabaikan. Dalam hal ini, siapakah yang harus dipersalahkan? Sikap menuding jari tidak akan menguntungkan sesiapa melainkan menambahburukkan situasi yang semakin parah. Oleh sebab itu, setiap pihak harus memainkan peranan masing-masing dan menjangkau sehabis tangan dalam melaksanakan prakarsa-prakarsa yang pragmatik lagi efektif bagi membantu golongan OKU.

Sebagai mukadimah perbincangan, saya akan memfokuskan perbincangan saya secara mendalam dan menyeluruh lagi objektif dengan menyelami, membedah siasat dan mendiagnosis cara-cara yang dapat dilaksanakan untuk membantu golongan OKU dari perspektif peranan yang dimainkan oleh ibu bapa. Umum mengetahui bahawa setiap ibu bapa berharap anak-anak mereka sihat supaya kehidupan mereka lebih sempurna dan gembira. Namun, hakikatnya adalah berlawanan daripada apa-apa yang diharapkan kerana terdapat ibu bapa yang mendapat anak yang cacat dari segi fizikal. Dalam kalangan ibu bapa ini, terdapat segelintir ibu bapa sampai hati untuk meninggalkan anak kandung mereka di rumah anak yatim ataupun di rumah kebajikan. Malahan, terdapat ibu bapa yang mengurungkan anak mereka di dalam bilik kerana malu memiliki anak yang cacat. Mereka juga tidak menghantar anak mereka ke sekolah kerana menganggap anak mereka tidak mampu menerima pelajaran di sekolah. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa anak-anak merupakan anugerah yang terbaik dikurniakan oleh Tuhan kepada ibu bapa. Jadi, di bahu ibu bapa tergalas amanah yang sangat besar untuk memastikan anak-anak mempunyai kehidupan yang bahagia tanpa mengira anak itu cacat atau sempurna. Sebagai ibu bapa, mereka patut melindungi anak yang kurang upaya dan menghantar mereka ke sekolah untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan supaya mereka boleh berdikari dan menyara kehidupan pada masa akan datang. Selain itu, ibu bapa juga patut menghantar anak-anak kurang upaya ke sekolah atau kolej yang menawarkan kursus kemahiran agar mereka mempunyai kemahiran untuk kerjaya masa depan mereka. Bagi ibu bapa yang memiliki anak yang sihat, mereka tidak boleh bersifat berpeluk tubuh malah seharusnya menghulurkan bantuan kepada OKU. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa perlu mendidik anak mereka supaya bersimpati akan nasib malang yang menimpa OKU. Ibu bapa sepatutnya bersedia membantu golongan OKU tanpa mengira warna kulit dan agama seseorang. Sekiranya ibu bapa terjumpa orang buta melintas jalan raya, ibu bapa hendaklah membantu mereka agar mereka dapat melintas jalan raya dengan selamat. Daripada peristiwa itu, ibu bapa telah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka. Bak kata peribahasa, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak umpama sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan menggilap dan mencanainya sehingga menjadi berlian yang indah dan berkilat. Pada masa lapang, ibu bapa boleh membawa anak mereka pergi ke pusat kebajikan untuk melakukan kerja amal bagi membantu OKU. Dengan melakukan kerja-kerja amal, ibu bapa dan anak-anak dapat membantu OKU di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga persis peribahasa sambil menyelam minum air.

Jika kita bersedia memerah otak dan berikhtiar berhempas pulas, jalan penyelesaian yang berkesan tentu ada dan tentu bukan satu sahaja kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Pihak kerajaan harus melakukan sesuatu untuk membantu OKU. Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Pusat Kebajikan Masyarakat pada tahun 2009 menunjukkan bahawa kadar kemiskinan semakin meningkat disebabkan tiang keluarga tidak dapat bekerja dan mencari rezeki akibat cacat. Oleh hal yang demikian, kerajaan bukan sahaja perlu menyediakan tabung bagi membantu keluarga yang miskin malahan perlu menyediakan tabung untuk keluarga yang mempunyai ahli yang cacat supaya dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka. Tidak dapat menafikan bahawa pertambahan rumah setinggan di negara kita disebabkan oleh cara penyelesaian yang tidak sempurna. Ada angin ada pokoknya, kebanyakan golongan OKU tidak mendapat peluang pekerjaan dan menganggur dalam jangka masa yang panjang malah mereka juga tidak mampu membiayai perbelanjaan perubatan yang besar. Segelintir daripada mereka tidak mempunyai tempat perlindungan. Dalam konteks ini, pihak kerajaan sepatutnya mewujudkan khidmat perubatan kepada OKU supaya mereka mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan atau di pusat kesihatan kerajaan. Pihak hospital swasta juga harus bertimbang rasa dengan memberikan keistimewaan kepada golongan OKU melalui pemberian diskaun. Perkhidmatan Kebajikan Am dan Jabatan Kesihatan Negeri harus melipatgandakan usaha mendaftarkan OKU melalui bantuan alat-alat pemulihan seperti kerusi roda dan menyediakan latihan perusahaan dan vokasional. Kerajaan harus memperbanyakkan rumah murah dan memberikan keutamaan kepada mereka supaya mereka dapat membeli rumah dengan kos yang rendah. Pihak kerajaan harus mengalakkan golongan OKU belajar di sekolah teknik yang boleh membekalkan mereka ilmu kemahiran seperti kemahiran menghasilkan kraf tangan. Secara tidak langsung, pengusaha kraf tangan tidak perlu bimbang lagi bahawa tiada generasi muda yang ingin mewarisi malah kemahiran ini akan diwarisi serta dipelajari oleh generasi akan datang. Pihak kerajaan patut menganugerahkan penghargaan seperti pingat dan sijil kepada golongan OKU yang berjaya dan berjasa dalam sesuatu bidang. Agensi-agensi Bukan Kerajaan (NGO) secara sukarela hendaklah menyediakan beberapa kemudahan bagi OKU seperti penubuhan Persatuan Kusta dan Rumah Amal Cheshire yang sejajar dengan cogan kata ‘’Kebajikan Adalah Tanggungjawab Bersama’’. Pihak kerajaan tidak harus mengamalkan sikap memekakkan telinga yang tajam, menutup mata yang celik dan membutakan hati yang insaf dalam peranan membantu OKU.

Sebagaimana kita maklum, media massa juga memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu golongan OKU. Media massa merupakan wahana yang dominan dalam mempengaruhi minda seseorang dengan cepat dan berkesan. Generasi kini terutamanya golongan remaja tidak dapat menjauhkan diri daripada pengaruh media massa. Media massa telah berkembang dengan pesat dan bilangannya tumbuh dengan begitu cepat bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Media massa terbahagikan kepada dua iaitu media cetak dan media elektronik. Media massa merupakan pihak yang dapat memberikan maklumat lanjut tentang golongan OKU dan cara untuk membantu mereka. Media cetak merupakan media yang menggunakan kaedah tulisan seperti surat khabar, majalah dan buku. Media elektronik pula merupakan media yang menggunakan teknologi terkini yang menggunakan kaedah elektronik dan elektrik seperti radio, televisyen dan internet. Media massa harus menekankan keprihatinan masyarakat terhadap golongan OKU dan menghormati mereka sebagai insan ciptaan Tuhan. Iklan yang berkaitan dengan sumbangan yang perlu diberikan oleh golongan OKU harus diuar-uarkan supaya semua masyarakat mengetahui dan menyalurkan sumbangan kepada yang memerlukan. Media massa juga boleh bertindak dengan menyeru masyarakat memberikan sumbangan kepada golongan OKU yang memerlukan bantuan dari segi kewangan. Masyarakat harus diberitahu bahawa golongan OKU berhak mendapat peluang pendidikan dan juga bersosial dengan masyarakat serta tidak dipisahkan daripada aktiviti kemasyarakatan. Masyarakat harus memberikan layanan yang saksama kepada golongan OKU. Artis-artis tempatan yang terkenal sepatutnya memberikan sokongan sepenuhnya kepada golongan OKU dengan menyeru masyarakat memberikan perhatian dan sokongan kepada OKU dengan menggunakan pengaruh mereka yang kuat terhadap masyarakat. Media massa harus bekerjasama bagai aur dengan tebing bersama-sama artis-artis tempatan menekankan bahawa kecacatan bukan penghalang dalam memberikan sumbangan yang bermakna kepada produktiviti dan kemajuan negara. Banyak individu cemerlang telah berjaya meningkatkan nama baik negara dalam aspek sukan, pertandingan dan juga keputusan yang baik walaupun mereka mempunyai kecacatan dari aspek fizikal.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa remaja sekarang tidak mempunyai pegangan agama dan didikan moral yang kuat. Hal ini menyebabkan mereka memandang rendah terdapat sesiapa yang lemah daripada mereka terutamanya golongan kurang upaya yang cacat dari segi fizikal. Didikan agama dan moral mampu membentuk jati diri remaja. Dalam hal ini, pihak sekolah yang bertanggungjawab mendedahkan nilai murni kepada pelajar. Dengan mempunyai nilai murni yang baik, remaja generasi kini akan mempunyai kesedaran untuk menghormati hak golongan OKU. Remaja haruslah dididik oleh pihak sekolah tentang kesusahan yang dialami oleh OKU dan mereka sepatutnya menghulurkan bantuan dan tidak harus menghina mereka lagi. Hal ini adalah kerana golongan OKU juga merupakan makhluk yang diberi peluang untuk menjalani kehidupan biasa seperti manusia normal. Didikan agama juga sering mengajar manusia agar berbuat baik kepada semua orang tanpa mengira paras rupa, bentuk badan mereka sama ada mereka normal atau sebaliknya. Setiap individu memerlukan pengiktirafan daripada masyarakat bahawa mereka masih diterima oleh semua orang. Guru sendiri harus memainkan peranan yang penting dengan menjadi teladan baik kepada pelajar seperti membantu pelajar yang cacat dan memberikan sepenuh kasih sayang kepada mereka. Pelajar digalakkan membantu rakan mereka yang cacat semasa mereka dalam kesusahan supaya mereka tidak berasa tersisih. Guru harus memberikan layanan yang adil dan saksama kepada semua pelajar. Pihak sekolah sepatutnya menyediakan kemudahan khas untuk pelajar kurang upaya seperti tandas khas. Perlindungan juga harus diberi dalam bentuk biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar kurang upaya. Tindakan sedemikian adalah untuk menggalakkan mereka terus berusaha dan bersemangat gigih serta memastikan mereka dapat melanjutkan pelajaran pada masa akan datang. Melalui sekolah yang merupakan rumah kedua pelajar, pelajar akan menghormati golongan OKU dengan sepenuh hati. Hari Orang-orang Cacat Sedunia boleh dianjurkan oleh pihak sekolah bagi mengiktirafkan sumbangan mereka dalam pembangunan masyarakat dan negara. Pelajar harus diberi kesedaran tentang pentingnya menghormati hak-hak golongan OKU.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa pelbagai pihak harus bekerjasama untuk memberikan kesedaran kepada semua masyarakat tentang golongan OKU dan cara untuk membantu mereka. Golongan OKU harus dihormati dan dipandang tinggi kerana mereka mampu mencapai kecemerlangan yang tinggi walaupun cacat. Sejarah telah membuktikan bahawa kecacatan bukan penghalang untuk berjaya dalam hidup dan menyumbang bakti kepada pembangunan masyarakat dan negara. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah Beethoven yang merupakan seorang pemuzik terkenal yang cacat pendengaran serta Professor Ismail bin Mohd.Salleh yang cacat penglihatan tetapi mendapat kejayaan dalam bidang akademik . Masyarakat dan pihak lain harus memberi galakan kepada golongan OKU supaya mereka akan terus berusaha dalam bidang yang diminati sehingga mencapai kejayaan kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. PBB juga telah mengisytiharkan sumbangan golongan OKU yang termaktub dalam Hak Orang Kurang Upaya 1975. Mereka mendapat hak serasi dengan semua manusia. Masyarakat harus menghargai golongan OKU dengan memahami mereka kerana kelahiran, keturunan, kemalangan atau penyakit menyebabkan kita lebih faham dan berasa bersyukur kepada Tuhan tentang diri sendiri. Golongan OKU harus diberi penghargaan dan diumumkan kejayaan oleh pihak kerajaan sebagai satu simbol kejayaan dan semangat dedikasi mereka dalam pembangunan negara. Janganlah menghina golongan OKU ini memandangkan mereka juga mempunyai ciri-ciri keperibadian yang istimewa. Marilah kita bersama-sama membantu golongan OKU dan bersama-sama menyahut seruan kerajaan dengan mencapai Wawasan 2020 yang bertujuan untuk mewujudkan kelompok masyarakat yang sama taraf dan bantu-membantu.
[1805 patah kata]

KARANGAN MINGGU INI


Usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk membantu meningkatkan taraf hidup Orang Kelainan Upaya (OKU).

Tidak kuminta lahir ke dunia,
Tidak kuduga cacat begini.
Bukan kuminta kasih dan manja,
Bukan kurayu bantu simpati.

Demikianlah senandung sayu daripada sebahagian lirik lagu yang bertemakan Orang Kelainan Upaya (OKU). Mereka yang dilahirkan dalam keadaan yang tidak sempurna tidak pernah menyesal akan ketentuan-Nya. Sebagai makhluk Tuhan, golongan OKU ini reda dengan takdir-Nya. Di dunia ini, sejak azali lagi terdapat insan yang sempurna kejadiannya, begitu juga sebaliknya. Terdapat insan yang kurang bernasib baik, iaitu tidak sempurna sifat fizikal mereka di dunia ini. Kehadiran mereka menunjukkan kekuasaan Allah Yang Maha Berkuasa dan sebagai manusia yang sempurna sifatnya, kita mestilah membantu golongan OKU menghadapi liku-liku hidup yang mencabar. Oleh itu, beberapa prakarsa boleh kita lakukan untuk meningkatkan taraf hidup golongan OKU.

Antara uslub yang dapat kita lakukan untuk membantu meningkatkan taraf hidup OKU di negara kita adalah dengan memberikan mereka peluang dalam bidang kerjaya. Kita boleh membantu mereka berdasarkan tahap kemampuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Sekiranya mereka mempunyai keistimewaan dalam bidang kraf tangan, agensi tertentu bolehlah mengambil mereka sebagai pekerja atau melatih mereka untuk menambahkan kemahiran dalam bidang tersebut. Hal ini secara tidak langsung akan berupaya meningkatkan industri kraf tangan Malaysia yang akhirnya menjadi sumber pendapatan negara. Kini, banyak institusi kewangan mengambil OKU sebagai kakitangan mereka kerana kualiti kerja OKU setanding, malah adakalanya lebih hebat daripada manusia normal. Begitu juga dalam bidang ekonomi dan pendidikan, terdapat pakar ekonomi dan pendidikan yang berjaya di negara kita, antaranya Allahyarham Profesor Dato’ Ismail bin Salleh yang buta matanya telah diberi pengiktirafan yang sewajarnya dan beliau berupaya membuktikan golongan OKU sememangnya berupaya melaksanakan sesuatu amanah jika diberi peluang. Oleh itu, janganlah kita sisihkan mereka, hulurkan tangan, ringankan beban, bantulah mereka berdasarkan tahap kemampuan mereka masing-masing.

Selain itu, inisiatif yang boleh dilakukan untuk membantu mereka ialah memperbanyakkan infrastruktur atau kemudahan kepada mereka khususnya di tempat-tempat awam. Kemudahan seperti laluan pejalan kaki atau laluan untuk kerusi roda perlu dibuat untuk memudahkan OKU bergerak dengan selesa. Selain itu, tandas dan tempat letak kereta yang khas untuk mereka juga perlu disedia¬kan. Hal ini demikian kerana, golongan OKU akan mengalami kesukaran kerana ketidakupayaan mereka dari segi fizikal sekiranya menggunakan kemudahan awam yang sama seperti orang yang sempurna sifat fizikaInya. Oleh itu, pelbagai kemudahan perlu disediakan untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Malangnya, terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menggunakan kemudahan yang disediakan kepada mereka. Kita sepatutnya membantu golongan OKU, bukan menyukarkan kehidupan mereka kerana kekurangan yang dimiliki, bak kata peribahasa, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tuntasnya, kewujudan kemudahan asas yang lengkap mampu meringankan beban yang ditanggung oleh mereka, sekali gus mereka dapat menikmati hidup yang selesa seperti manusia lain akibat daripada kecaknaan kita terhadap kebajikan mereka.

Prakarsa seterusnya ialah, kerajaan perlu menyediakan kemudahan yang secukupnya dalam bidang pendidikan. Kita perlu ingat bahawa golongan OKU ini seharusnya diberikan peluang dan kemudahan dalam pendidikan yang secukupnya untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Kita boleh menyediakan pendidikan khas seperti bahasa isyarat kepada golongan OKU. Terdapat beberapa buah sekolah yang menyediakan kemudahan seumpama ini dan tindakan yang bijak ini perlu dicontohi oleh masyarakat pada hari ini. Selain itu, terdapat juga iqra’ Braille yang dicipta bagi golongan yang buta. Kemajuan teknologi sememangnya mendatangkan maslahat kepada insan, khasnya kepada OKU kerana memudahkan mereka mendapatkan pendidikan yang mendalam berkaitan ilmu-ilmu agama. Oleh hal yang demikian, masyarakat perlu membantu OKU dengan menyediakan pelbagai kemudahan dalam bidang pendidikan agar mereka tidak terus ketinggalan dalam arus globalisasi, yakni mendapat pendidikan yang berkualiti. Peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, marilah bersama-sama kita jayakan hasrat murni ini demi masa depan OKU kerana aspek pendidikan merupakan aset penting untuk setiap individu mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.

Tuntasnya, semua pihak perlulah berganding bahu dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat yang prihatin terhadap kebajikan golongan OKU. Segala amal baik yang dilakukan akan merealisasikan visi kudsi negara ke arah melahirkan masyarakat penyayang seperti yang diwara-warakan oleh pemimpin negara. Hal ini bertepatan dengan sikap kita sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan keluhuran budi, adab dan nilai-nilai murni yang tinggi dan moleklah kita jelmakan nilai tersebut terhadap anggota masyarakat kita yang kurang bernasib baik. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat, marilah kita mengatur langkah sederap, seia sekata agar taraf hidup OKU lebih terjamin dan dapat merealisasikan slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Monday, August 15, 2011

ESEI TERPILIH - PERANAN REMAJA DALAM MEMBINA NEGARA 1MALAYSIA

PERANAN REMAJA DALAM MEMBINA NEGARA 1MALAYSIA

Pascakemerdekaan ini, perpaduan amat penting terutama untuk memupuk semangat patriotisme sesebuah negara terutama negara seperti Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Perbezaan ini mungkin akan menyebabkan ada yang berasa tidak berpuas hati. Oleh itu, untuk mencapai perpaduan dan toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita iaitu Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak telah mencetuskan idea yang bernas dengan merealisasikan gagasan 1Malaysia dalam kalangan rakyat Malaysia. Bagi merealisasikan gagasan ini, peranan golongan pelajar amat penting kerana golongan inilah yang bakal meneraju Negara Malaysia pada masa akan datang. Apakah sepatutnya dilakukan oleh golongan pelajar untuk merealisasikan gagasan ini?

Program Latihan Khidmat Negara [PLKN] yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lepas merupakan satu pendekatan yang baik untuk merealisasikan gagasan 1Malaysia dalam kalangan pelajar. Di dalam program ini selain dapat meningkatkan keyakinan para pelajar, program ini juga bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar. Namun, ada segelintir pelajar yang cuba untuk mencari alasan untuk tidak melibatkan sebarang aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan yang dianjurkan oleh kerajaan terutama dalam Program Latihan Khidmat Negara. Untuk meralisasikan gagasan 1Malaysia peranan pelajar amat penting. Oleh itu, semua pelajar perlulah memberikan kerjasama seperti peribahasa bulat air kerana pembentung bulat manusia kerana muafakat.

Seterusnya, untuk merealisasikan gagasan 1Malaysia dalam kalangan pelajar, mereka juga harus menghayati Rukun Negara. Hal ini adalah kerana, menghayati Rukun Negara juga salah satu pendekatan terbaik untuk para pelajar supaya dapat memacu Malaysia sebagai sebuah negara maju bagi merealisasikan wawasan 2020 yang telah dicetuskan oleh mantan perdana menteri kita Tun Dr. Mahathir bin Mohamad . Prinsip- prinsip yang telah digubal dalam rukun negara adalah untuk menyelesaikan isu sentimen perkauman yang terjadi pada 13 Mei 1969. Oleh sebab itu, para pelajar perlu menghayati Rukun Negara supaya dapat belajar daripada kesilapan dan dengan itu sejarah hitam Tragedi 13 Mei 1969 tidak akan berulang lagi kerana kita tidak mahu pisang berbuah dua kali serta negara kita tidak dipandang hina oleh negara lain dan negara kita disamakan dengan negara lain seperti Amerika Syarikat dan Thailand.

Menjaga hubungan baik antara kaum merupakan satu lagi minhaj yang boleh dilakukan oleh golongan pelajar untuk merealisasikan konsep 1Malaysia. Para pelajar dapat menjaga hubungan yang baik antara kaum dengan kerap mengunjungi rumah jiran tetangga dan sahabat handai yang berlainan kaum selain menghormati budaya serta adat resam kaum lain. Untuk menjaga hubungan yang harmoni antara kaum, para pelajar bukan sahaja perlu membantu bangsa lain yang dalam kesusahan bahkan perlu berusaha mengenali dan mendekatkan diri dengan kaum lain. Andai kata, para pelajar sering bersikap pesimis terhadap kaum lain dan bersikap perkauman nescaya para pelajar tidak akan mampu merealisasikan konsep 1Malaysia dan sudah pasti juga akan wujud sentimen perkauman. Tegasnya, para pelajar perlulah menjaga hubungan yang baik antara kaum lain kerana mempunyai relasi yang kukuh antara kaum yang merupakan peranan perdana yang harus dilaksanakan oleh pelajar untuk

Akhir sekali, cara yang terbaik untuk membina negara bangsa 1Malaysia ialah para pelajar menggunakan bahasa kebangsaan dalam percakapan seharian dengan kaum lain supaya konsep 1Malaysia menjadi realiti kerana bahasa mampu menjadi alat untuk mengeratkan perpaduan. Dengan menggunakan bahasa kebangsaan yang sama dengan kaum lain iaitu Bahasa Malaysia dapat dijadikan alat untuk memupuk semangat perpaduan kaum yang jitu selain dapat meningkatkan semangat cinta akan tanah air. Jikalau pelajar enggan menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar dengan bangsa lain, perpaduan tidak dapat dipupuk maka gagasan 1Malaysia juga tidak dapat direalisasikan. Maka dengan itu, jelaslah bahawa bahasa sangat penting untuk memupuk semangat perpaduan yang jitu.

Konklusinya, para pelajar mempunyai peranan yang penting dalam memastikan gagasan 1Malaysia dapat direalisasikan seperti yang diaspirasikan oleh perdana menteri kita. Bersatu Teguh Bercerai Roboh dapat menggambarkan bahawa rakyat Malaysia perlulah sentiasa bersatu supaya dapat membuktikan pada seluruh dunia betapa kukuhnya perpaduan kaum yang terjalin erat di Malaysia.
[615 patah perkataan]

Nukilan : Mahirah Ishak – 3 Berlian