Wednesday, October 24, 2012


KESILAPAN DALAM PERIBAHASA AKIBAT KESILAPAN MENGEJA RUMI DARIPADA JAWI


1. Melepaskan batuk di tangga  sebenarnya melepaskan batok di tangga.

ملڤسکن باتوق د تڠݢ


2. Harapkan pagar, pagar makan padi sepatutnya harapkan pegar, pegar makan padi.

هرڤکن ڤݢر، ڤݢر ماکن ڤادي

Ayam pegar - sejenis burung yang menyerupai ayam



***  Walau bagaimanapun, kedua-dua peribahasa ini tetap diterima dalam penulisan karangan PMR dan SPM.

Monday, October 8, 2012

PECUTAN AKHIR PMR

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat membaca dalam diri anak-anak.  
Huraikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.

KARANGAN LENGKAP.

     Dalam mengharungi kehidupan yang penuh mencabar pada alaf baru ini, ilmu amat memainkan peranan yang sangat signifikan buat segenap lapisan masyarakat di pelosok dunia.  Tanpa ilmu, seseorang itu tidak akan ada hala tuju malah hidupnya akan teraba-raba dalam meraih kejayaan di maya pada ini.  Ilmu hanya akan diperoleh dan dimantapkan dengan amalan membaca.  Persoalannya sekarang, bagaimanakah ibu bapa dapat memainkan peranannya dalam memupuk minat membaca dalam diri anak-anak?  Persoalan yang mewarnai fokus perbincangan ini akan terjawab dan akan dikupas sebentar lagi untuk kepentingan bersama.

     Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah ibu bapa berperanan penting dalam menjadi suri teladan ataupun rol model kepada anak-anak mereka.   Hal ini adalah kerana sebahagian masa anak-anak banyak dihabiskan di rumah.  Lantaran itu, ibu bapa perlu mengambil kesempatan ini untuk memberikan teladan mahupun bimbingan dengan menjadikan amalan membaca sebagai rutin harian.  Contoh yang paling mudah dapat dipraktikkan oleh ibu bapa adalah dengan membaca surat khabar atau majalah berinfomasi ketika ada waktu terluang.  Impaknya, sudah tentu anak-anak yang terbiasa melihat perilaku ibu bapa akan terikut-ikut amalan tersebut kerana Bapa borek, anak rintik dan Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.  Jelaslah bahawa peranan ibu bapa sebagai idola kepada anak-anak mereka sangat vital dalam memupuk amalan membaca ini.

     Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,  dalam konteks ini ibu bapa hendaklah membelikan bahan bacaan yang bersesuaian untuk dijadikan sebagai hadiah kepada anak-anak.  Hadiah berupa bahan-bahan bacaan bermanfaat sempena kecemerlangan anak-anak dapat menjadi pencetus kepada amalan membaca dalam diri anak-anak.  Selain itu, ibu bapa boleh juga menjadi penglipur lara  kepada anak-anak tatkala waktu malam dengan membacakan cerita-cerita yang mempunyai unsur pengajaran sebelum anak-anak melelapkan mata mereka.  Secara tidak langsung, anak-anak yang tertarik dengan cerita tersebut akan membaca buku untuk mengisi masa lapang mereka.  Tegasnya, pembelian dan pemberian bahan-bahan bacaan yang mengandungi pelbagai info oleh ibu bapa dapat memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak mereka.

     Dalam memupuk amalan membaca ini, ibu bapa sewajarnya menyediakan ruangan khas atau sudut-sudut tertentu untuk dijadikan sebagai gedung ilmu di rumah.  Bertitik tolak daripada itu, ruangan ataupun sudut khas ini perlulah dilengkapi dengan pelbagai variasi buku yang menarik serta meja dan kerusi untuk menjadikan suasana membaca lebih kondusif.  Selain itu, ibu bapa boleh juga mengindahkan sudut ini dengan warna-warni yang menarik untuk menceriakan sudut bacaan ini lagi.  Impaknya, anak-anak akan suka menjadikan sudut ini sebagai medan untuk meningkatkan ilmu  ketika waktu senggang mereka.  Deduksinya, sudut bacaan ini perlulah disediakan dan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh ibu bapa bagi merangsang minat membaca dalam diri anak-anak.

     Ibu bapa yang bijaksana sudah tentu akan memastikan anak-anak mereka menjadi ahli perpustakaan awam di tempat mereka.    Selain mengadakan sudut bacaan, kunjungan ke perpustakaan awam juga akan dapat memberikan maslahat kepada anak-anak pada  hujung minggu.  Bukan itu sahaja, malah hubungan anak-anak dengan ibu bapa akan menjadi lebih mesra dan akrab.  Hubungan kekeluargaan yang harmoni ini akan menjadi lebih bermakna dalam melahirkan keluarga sakinah yang berintelektual.  Sesungguhnya, ibu bapa merupakan penggerak utama dalam menjayakan amalan membaca kepada anak-anak mereka.

     Dalam  memupuk amalan membaca ini, setiap ibu bapa hendaklah bersinergi dan mengorak langkah yang pragmatik lagi efektif untuk merealisasikan hasrat murni ini.  Usaha yang dijalankan hendaklah bersungguh-sungguh bukannya sekadar Hangat-hangat tahi ayam mahupun Melepaskan batuk di tangga.  Sebelum Nasi menjadi bubur, komitmen ibu bapa amat diperlukan bagi membudayakan amalan membaca dalam meneruskan kelangsungan melahirkan masyarakat yang celik ilmu.  Seterusnya, aspirasi kerajaan dalam mencapai visi kudsi Wawasan 2020 akan terlaksana dengan mudahnya.  

PECUTAN AKHIR SPM


Belakangan ini, isu keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja hangat diperkatakan dan membawa impak yang buruk  kepada generasi akan datang.
Huraikan peranan anda sebagai seorang remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji.

Karangan Lengkap


Gunakanlah masa yang ada
Dengan sebaiknya
Kuatkanlah tekad di hati
Memajukan diri
Tiada kejayaan yang datang
Tanpa usaha yang gigih
Bersusah-susahlah dahulu
Bersenang kemudian
Jadilah warga yang berguna
Pada keluarga, masyarakat jua negara


     Berikut adalah sebahagian daripada lirik lagu Remaja persembahan kumpulan nasyid Unic  yang menggambarkan signifikannya peranan remaja pada masa ini. Lagu yang menyuntik semangat ini menyeru  para remaja agar menggunakan masa dengan sebaik-baiknyanya dan mempunyai iltizam yang kuat demi memajukan diri masing-masing.  Melalui usaha yang gigih dan tabah tanpa mengenal jemu dalam bidang yang diceburi serta memiliki sahsiah yang terpuji, remaja akan menjadi anak watan yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan nusa. Remaja kini begitu terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran sama ada dari segi pengaruh media massa, pengaruh atau desakan daripada rakan  sebaya serta ibu bapa dan masyarakat ataupun konflik pergolakan antarabangsa yang semakin hari semakin mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar seluruh negara. Pergolakan antarabangsa yang berlaku sedikit banyak mempengaruhi akidah remaja kita.  Remaja yang rata-ratanya mempunyai semangat inkuiri atau ingin tahu yang tinggi berserta gelodak keinginan  untuk mencuba sedaya upaya sehingga berjaya bak kata pepatah, Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, perlu dipandu dan ditarbiah ke jalan yang benar baik melalui diri sendiri, ibu bapa, guru-guru, masyarakat mahupun kerajaan memandangkan remajalah yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara ini lantas mencorakkannya menjadi sebuah negara yang unggul dan terbilang. Negara memerlukan remaja yang mempunyai nilai mandiri dan jati diri yang utuh di samping berdaya saing serta berfikiran kreatif dan inovatif. Namun demikian, amatlah malang kepada negara kita jika remaja yang diharap-harapkan akan sentiasa mendukung panji, Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara kini dikaitkan dengan isu keruntuhan akhlak. Perbuatan yang melanggar norma, aturan atau hukum dalam masyarakat yang dilakukan pada usia remaja ini dikatakan membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang bak kata pepatah, Air perabung mengalir ke cucur atap. Isu ini begitu hampir dengan saya memandangkan saya juga  seorang insan yang bergelar remaja justeru saya mempunyai peranan dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji agar memiliki ciri-ciri remaja cemerlang dambaan negara.

      Sebagai seorang remaja, dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji, saya akan mendalami ilmu agama dan mencintai Allah. Ilmu agama merupakan ilmu yang mendekatkan diri seseorang kepada Maha Pencipta iaitu Allah s.w.t. Tiada ilmu yang lebih mulia melainkan ilmu agama di dunia ini iaitu ilmu dan pengetahuan Islam yang syumul. Perkara ini boleh dibuktikan melalui pernyataan rasa yang disuarakan oleh ilmuan sains yang terkenal iaitu Albert Einstein yang menyatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Jelas dapat dilihat bahawa ilmu dan agama mempunyai hubung kait yang sangat akrab. Seseorang yang mendalami ilmu tetapi tidak berlandaskan atau berpaksikan agama tidak akan merasai nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t.  Saya akan mendalami ilmu agama dengan membaca dan memahami  Al-quran,  mengkaji hadis-hadis dan menyelami sirah nabi serta para sahabat. Akhlak Rasulullah yang terpuji dan sempurna yang terkandung dalam Al-quran dan hadis itu pastinya akan menjadi sumber  primer saya bagi membina pemahaman yang kukuh tentang kemuliaan dan kehebatan memiliki sahsiah yang terpuji. Pembelajaran melalui pembacaan dan penelaahan yang mendalam sebegini mampu memberi input yang berguna seperti memahami nilai  yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari.  Nilai-nilai seperti ketakwaan, kesabaran, kegigihan, keikhlasan dan bertanggungjawab semuanya memandu diri saya membina peribadi mulia. Pengajaran daripada Al-quran dan hadis mampu memberikan anjakan paradigma kepada saya dalam melahirkan segala tindak tanduk berpaksikan tuntutan agama. Jikalau saya tidak memahami kandungan Al-quran ataupun hadis, saya akan berjumpa dengan ustaz atau ustazah yang mempunyai pengetahuan yang luas berkaitan dengan agama yang kudsi ini. Saya akan meluangkan masa untuk pergi ke perpustakaan bagi mendalami ilmu agama kerana di perpustakaan, suasananya yang hening mampu menenangkan fikiran dan mendamaikan jiwa. Dengan mendalami ilmu agama, saya yakin saya mampu membentuk sahsiah diri yang terpuji kerana saya akan memperlihatkan kesopanan berbudi bahasa, kemanisan berkata-kata dan kemampuan memberikan buah fikiran dengan penuh tertib serta matang berlandaskan akhlak Nabi Muhammad s.a.w. Jelasnya, saya tidak akan terjebak dalam isu keruntuhan akhlak remaja malah menjadi penyumbang kepada generasi masa hadapan yang memiliki sahsiah terpuji.

     Selain itu, satu lagi modus operandi yang sepatutnya saya lakukan adalah dengan menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada ibu bapa saya. Ibu bapa merupakan dua insan yang paling dekat dengan diri saya kerana sesudah saya dilahirkan di muka bumi ini, saya Ditatang bagai minyak yang penuh oleh mereka. Begitu besar pengorbanan ibu bapa terhadap saya bermula dengan ibu yang mengandungkan saya dengan jerih payahnya selama sembilan bulan sepuluh hari ditambah pula dengan jasa bapa yang bertungkus lumus mencari nafkah bagi menyara keluarga. Walaupun cuma untuk sesuap nasi tetapi itulah titik peluh ikhlas yang dilakukan oleh bapa kepada saya. Saya tidak ingin hidup  seperti Si Tanggang atau Si  Malim Kundang yang merupakan anak derhaka terhadap ibunya. Saya akan taat kepada ibu bapa dengan cara mendengar dan menerima nasihat yang diberikan mereka dengan tangan yang terbuka dan hati yang lapang. Jika saya tidak bersetuju sekalipun, saya tidak akan memberontak dan meninggikan suara ketika memberikan pendapat malah saya akan berbincang dengan cara yang paling berhemah atau bertatasusila bagi menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku sesuai dengan peribahasa, Buang yang keruh ambil yang jernih.  Allah telah memberikan kedudukan yang tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada mereka. Perkara ini jelas diterangkan melalui firman Allah dalam Surah Al-Israk ayat 23 yang menyuruh kita berbakti kepada ibu bapa. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam satu wawancara menyatakan bahawa remaja boleh membina peribadi mulia dengan mentaati ibu bapa melalui perbuatan yang baik, melaksanakan hak-hak mereka  dan menjauhkan diri daripada perilaku yang boleh menyakiti hati dan kehidupan mereka. Taat kepada ibu bapa adalah amalan yang wajib ditunaikan setiap anak. Ketaatan adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah kerana taat kepada ibu bapa bererti mentaati perintah-Nya juga. Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat. Terdapat hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturahim." Tegasnya, mentaati ibu bapa mampu menjadikan diri saya sebagai individu yang mempunyai sahsiah diri terpuji dan terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan akhlak.

     Di samping itu, prakarsa ataupun peranan lain yang dapat saya laksanakan adalah dengan menghormati guru-guru. Sepanjang pembelajaran saya hatta sekalipun saya tidak lagi bergelar pelajar, saya akan menghormati guru-guru saya sebagai tanda terima kasih kepada mereka kerana mereka telah bersungguh-sungguh mengajar sehingga saya mampu berdiri dan berpijak di bumi yang nyata dengan menjadi insan yang sebaiknya dan berguna. Guru telah banyak berkorban demi memartabatkan ilmu dan banyak berjasa bermula daripada mereka mengajar kita membaca, menulis dan mengira. Mereka tidak pernah mentertawakan kesalahan yang saya lakukan malah membetulkan setiap satu daripadanya lantas menepati mutiara kata cendekiawan Wellington iaitu, ‘Usah merendahkan diri seseorang kerana tabiat buruknya tetapi bimbinglah ia ke jalan yang lebih baik”. Saya akan menerima dan menjadikan nasihat, bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru sebagai pendorong dan motivasi untuk saya berjaya menjadi modal insan kelas pertama yang mampu mendaki ke puncak menara gading. Guru bukan sahaja sebagai  ibu, bapa, pengajar, pendidik, pengasuh, penasihat dan pembimbing malahan guru adalah segala-galanya bagi seorang pelajar. Segala kesusahan yang ditempuhinya dalam mendidik anak-anak muridnya sepatutnya dikenang dan dihargai kerana tanpa jerih payah seorang guru itu, pelajarnya akan menjadi manusia yang tidak berguna di dunia dan di akhirat. Dengan ilmulah manusia diangkat menjadi makhluk termulia di sisi Allah s.w.t. sehingga dijadikan sebagai khalifah-Nya di muka bumi. Semua ini tidak akan tercapai kecuali dengan kita menjaga peradaban dan rasa hormat yang ikhlas terhadap penyampai ilmu tersebut iaitu guru, pewaris para nabi. Justeru dengan menghormati guru, saya mencetuskan rasa insaf dalam diri dan bertatih membentuk sahsiah diri yang terpuji.

            Dalam pada itu, saya akan menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan-rakan dan taulan. Secara perbandingannya, seorang remaja akan meluangkan masa yang lebih bersama-sama rakan-rakannya berbanding dengan ibu bapa atau saudaranya. Hal ini demikian kerana selain keluarga tercinta yang dekat di hati, rakan merupakan tempat mengadu, mencurah perasaan dan berkongsi masalah. Sehubungan dengan itu, saya akan menjaga atau memelihara hubungan yang baik dengan rakan tidak kira sama ada rakan saya berlainan agama, kaum mahupun warna kulit. Seseorang yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji harus seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Saya juga sedaya upaya tidak akan menimbulkan isu sensitif terutama isu agama. Saya akan mengambil iktibar daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang telah mengorbankan banyak nyawa yang berpunca daripada rusuhan kaum. Saya akan memberikan pertolongan kepada rakan yang memerlukan bantuan kerana dia merupakan rakan yang baik dan telah membantu ketika saya dalam kesusahan. Dalam kehidupan yang singkat ini, saya perlu berbaik-baik dengan semua orang dan bekerjasama dalam semua bidang kerana Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Kita digalakkan mencari teman yang baik dan meramaikannya seperti kata-kata pujangga, Berkawan biar seribu tetapi musuh jangan sesekali dicari.  Saya akan menjadi seseorang yang dapat memberi manfaat dari aspek dorongan, nasihat, ilmu dan sebagainya kepada orang lain.  Rakan-rakan juga tidak akan berasa kekok apabila berkawan dengan saya sekiranya saya tidak bersikap bagai Buntal kembung. Apabila saya menjalinkan hubungan baik dengan rakan-rakan, masalah kebejatan moral tidak akan ada dalam kamus hidup saya sejajar dengan visi saya untuk menjadi remaja yang mempunyai sahsiah terpuji.


     Peranan saya yang terakhir adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan tidak bermoral. Seseorang yang ingin mempunyai sahsiah diri yang terpuji tidak bisa melakukan perkara  negatif yang mampu  meruntuhan akhlak lantas menjatuhkan imej diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara. Saya tidak akan mudah terpedaya dengan hasutan syaitan yang membisikkan madah berhelah kepada anak Adam agar melakukan dosa. Saya sentiasa berwaspada dengan ajakan syaitan yang telah berjanji akan menyesatkan umat manusia dek sebab Allah s.w.t. telah mencampakkannya keluar dari syurga kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam. Kesombongan yang merajai di hati syaitan adalah kerana dia diciptakan daripada api manakala Adam daripada tanah. Kedegilan syaitan kian hari kian diwarisi manusia hingga pelbagai kebejatan moral dan perlakuan hedonisme mewarnai kehidupan hinggakan nilai-nilai murni dikesampingkan. Saya tidak mahu terjebak dalam kancah yang serba menyesakkan nafas dan boleh memusnahkan visi dan misi saya sebagai seorang muslim yang cemerlang dan memiliki sahsiah yang terpuji. Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Chee pernah menyuarakan pendapat bahawa, para belia harus diasuh dan dididik agar memainkan peranan penting dalam mempamerkan akhlak yang baik sesuai dengan imej di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.  Akhlak yang baik termasuklah menghindarkan diri daripada pergaulan bebas, mengamalkan gaya hidup sihat, menjaga batas-batas aurat dan menjaga hubungan baik sesama individu di sekeliling kita. Tanggapan pertama orang lain terhadap kita amat penting kerana dari situlah orang lain akan dapat menilai diri kita yang sebenar.

     Kesimpulannya, gagasan dan tugas untuk memupuk, membangunkan dan meningkatkan mutu akhlak dalam  kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Tugas ini tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan mempunyai kualiti kemanusiaan yang tinggi. Saya yakin berlandaskan lima prinsip yang saya pegang di atas, dengan izin Allah, saya dapat membentuk sahsiah diri yang terpuji. Pemupukan sahsiah diri  ini saya yakin akan membentuk saya menjadi seorang yang beriman dan bertakwa, mempunyai iltizam yang tidak berbelah bahagi, mempunyai nilai kerohanian yang amat tinggi serta mewarisi ciri-ciri akhlak perjuangan Rasulullah s.a.w.  Mutiara kata ulamak tersohor Hamka akan saya jadikan pedoman dalam meniti kehidupan ini. Menurut beliau, “Aku hairan melihat orang menyisir rambutnya setiap hari, tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya, tidak pernah mencuci hatinya. Digosok kasutnya tetapi tidak akalnya.”  Tidak akan saya lakukan perkara yang sia-sia yang bisa menyesatkan saya daripada landasan sebenar sebaliknya pemurnian hati, pemantapan akhlak, ilmu dan  akidah akan terus menjadi pegangan perjalanan hidup saya. Semoga isu keruntuhan akhlak remaja akan lenyap agar tidak lagi menebarkan budaya negatif kepada generasi yang akan datang bak kata peribahasa, Sebab nila setitik rosak susu sebelanga. Ayuh remaja, bertindaklah segera dalam memainkan peranan anda  dalam mengekang isu keruntuhan akhlak yang sangat sinonim dengan golongan remaja!

Friday, July 13, 2012

SAJAK TINGKATAN 4



Soalan 2 (d) – Sajak  (Percubaan SPM 2011 - Pulau Pinang)
Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata  
Ke kedinginan yang menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati  

Mahu ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di lautan ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Tak terteroka
Yang akan kucatat
Hanya setitik dari tinta
Yang akan kupetik
Harga sebiji dari mutiara
Engkau adalah pusaka moyang
Gedung peradaban insan
Terhimpun berzaman

Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga
Di dada samudera
Tak berpantai
Betapapun kuteguk darinya
Dahaga tak pernah langsai

Shafie Abu Bakar
Antologi Harga Remaja
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009


(i) Siapakah penyajak dalam rangkap terakhir? [2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang wajar dilakukan untuk menarik minat remaja ke perpustakaan? [4 markah]

(iii) Nyatakan tiga pengajaran yang ingin disampaikan melalui sajak di atas? [3 markah]





Monday, July 9, 2012

PENULISAN BAHAGIAN B DIMENSI KELUARGA (1)




PERANAN KELUARGA DALAM MELAHIRKAN MASYARAKAT PENYAYANG DALAM KALANGAN ANAK-ANAK


Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, sedasarwasa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang peranan ibu bapa dalam melahirkan masyarakat yang penyayang. Obligasi yang wajib dipikul oleh ibu bapa semakin kerap dipaparkan melalui dada-dada media cetak mahupun media elektronik. Pembentukan masyarakat penyayang sering dipolemikkan dan dijadikan agenda utama untuk dibahaskan di parlimen ataupun di warung-warung kopi. Pembentukan masyarakat penyayang dianggap amat penting kerana hal ini merupakan asas bagi masyarakat untuk mengamalkan sikap sayang-menyayangi, hormat-menghormati, bekerjasama, bantu-membantu, dan pemupukan nilai-nilai murni yang lain. Masyarakat penyayang ini telah menjadi impian negara kita untuk merealisasikan Wawasan 2020. Oleh itu, terdapat pelbagai langkah pragmatik dan efektif yang perlu diambil oleh ibu bapa untuk melahirkan masyarakat penyayang.

Bapa borek anak rintik merupakan peribahasa yang sering berlegar-legar dan bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia. Daripada realiti ini, dapatlah kita katakan bahawa ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik. Walau bagaimanapun, terdapat juga ibu bapa yang berperangai buruk dan menunjukkan sikap negatif seperti merogol, mendera dan sebagainya. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu menjadi entiti mithali kepada anak-anak yang masih belum keras ubun-ubunnya sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sejak kecil lagi, ibu bapa perlu menampilkan sikap penyayang kepada anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak menziarahi orang tua di kampung. Lama-kelamaan anak-anak akan mengikut tabiat yang positif ini dan masyarakat yang penyayang akan dapat dilahirkan. Tegasnya, peranan ibu bapa amat penting dalam melahirkan masyarakat yang penyayang.


Seperti yang telah dinyatakan, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting kepada anak-anak supaya dapat melahirkan masyarakat yang penyayang. Ibu bapa sewajarnya memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam gejala yang negatif. Ibu bapa boleh meluangkan masa untuk menemani anak-anak mereka pada masa lapang dan merancang aktiviti yang berfaedah bersama-sama anak-anak mereka. Perkara ini amat berkesan berbanding ibu bapa yang hanya tahu bekerja sahaja dan memenuhi segala permintaan anak mereka tanpa meluangkan masa untuk anak-anak mereka. Biar kita ambil contoh, ibu bapa boleh cuba berkomunikasi dengan anak-anak mereka dan memahami masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka serta memberikan sokongan kepada mereka supaya mereka dapat menyelesaikan masalah. Dengan berbuat sedemikian, jalinan ukhuwah antara ahli-ahli keluarga akan menjadi lebih baik dan anak-anak akan dapat merasai kasih sayang yang secukupnya daripada keluarga mereka serta tidak terlibat dengan gejala negatif semata-mata untuk meraih perhatian daripada ibu bapa. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa yang berbunyi bagai menatang minyak yang penuh. Oleh itu , ibu bapa mesti memberikan perhatian terhadap anak-anak dan memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak mereka untuk melahirkan masyarakat yang penyayang .


Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah ibu bapa harus memberikan didikan agama atau didikan moral yang secukupnya kepada anak-anak. Ibu bapa perlulah menekankan kepentingan ajaran agama terhadap pembentukan sahsiah remaja kerana didikan agama dan moral dapat menjamin kekuatan iman remaja agar mereka dapat membezakan antara perkara yang baik dengan perkara yang buruk. Seterusnya, mendorong remaja mengawal tingkah laku mereka supaya tidak melakukan perkara-perkara yang bukan sahaja menjatuhkan maruah diri malah mencalar maruah keluarga. Tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa tanggungjawab mereka tidak lebih daripada menyekolahkan dan menyediakan makan minum anak-anak serta tempat tinggal memang tidak benar sama sekali. Mereka juga harus memastikan anak-anak mereka mendapat didikan agama atau didikan moral yang sempurna supaya mereka mempunyai pemikiran yang positif. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk memberikan didikan agama kepada anak-anak sejak mereka masih kecil lagi. Didikan agama yang dibekalkan kepada remaja dapat memastikan bahawa anak-anak mereka mempunyai benteng jati diri yang kukuh sekukuh Tembok Besar China untuk menolak ajakan rakan-rakan yang tidak bermoral untuk melibatkan diri dalam kebejatan sosial yang mampu mencemarkan imej diri dan merosakkan nama baik sesebuah institusi keluarga. Kurangnya penglibatan remaja dalam kancah sosial merupakan agenda yang boleh mempengaruhi sekali gus melahirkan masyarakat penyayang dengan secepat mungkin dan masyarakat Malaysia dapat dijadikan suri teladan yang baik kepada masyarakat dunia.


Pada realitinya, dewasa ini memang sukar dinafikan ibu bapa juga perlu mendedahkan anak-anak mereka dengan aktiviti masyarakat setempat dalam melahirkan masyarakat penyayang. Dalam menyoroti hal ini, ibu bapa tidak seharusnya membiarkan anak-anak mereka menjadi seperti katak di bawah tempurung dengan hanya membataskan pergerakan anak mereka di dalam rumah sahaja dek takut mereka akan terlibat dengan gejala negatif di luar rumah. Sebagai analoginnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan pihak tertentu di kawasan perumahan. Hal ini sudah pasti dapat menerapkan nilai-nilai murni seperti bekerjasama dan bersatu padu antara anak-anak dan ahli-ahli komuniti setempat. Tidak mustahil rasanya jika prakarsa ini dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan anak-anak kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Anak-anak akan dapat menimba pengalaman seperti menghargai dan dihargai apabila mereka bekerjasama dalam aktiviti bergotong-royong bersama-sama penduduk setempat kerana mereka akan saling beramah mesra dan saling membantu dalam menyiapkan tugas masing-masing. Deduksinya, pendedahan anak-anak terhadap aktiviti masyarakat setempat merupakan salah satu elemen penting bagi melahirkan masyarakat penyayang.


Sebagai menggulung segala yang diperkatakan di atas, jelaslah bahawa terdapat banyak prakarsa pragmatik yang boleh dilaksanakan dalam mewujudkan masyarakat penyayang di Malaysia. Bagi menyingkap hal ini, ibu bapa merupakan tonggak paling utama dalam menggerakkan jentera keluarga secara bersepadu agar hal ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Pelaksanaan prakarsa oleh ibu bapa ini perlulah dilakukan secara istiqamah bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam apatah lagi melepaskan batuk di tangga jika benar-benar mahu merealisasikan visi ini. Natijahnya, masyarakat penyayang di Malaysia mampu dilahirkan seterusnya mewujudkan suasana yang aman lagi harmoni di negara ini. Realitinya, kejayaan ibu bapa dalam merealisasikan visi kudsi ini iaitu dalam membentuk masyarakat penyayang kelak sebenarnya mampu menjadi khazanah berharga untuk memajukan nusa dan bangsa.




[925 patah perkataan]
Hasil nukilan kumpulan Fatheen Asyila Azman Chan

Friday, June 15, 2012

KEPENTINGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI [ICT]


Dalam era ledakan maklumat ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT amat penting. Teknologi ini sudah menguasai global ini dengan berleluasa. Hampir setiap saat orang menggunakan teknologi ini dan dengan teknologi jugalah menyebabkan kita boleh menguasai dan mengawal hampir setiap perkara di hujung jari sahaja.  Negara yang tidak mengutamakan ICT akan ketinggalan dalam arus pembangunan atau umpama katak di bawah tempurung. Kemajuan ICT ini telah mendatangkan banyak manfaat kepada individu, masyarakat dan negara.

Sesuatu perkara yang dicipta atau diwujudkan tentu sekali mendatangkan kebaikan serta keburukan. Perkara yang baik tentu sekali lebih mendatangkan faedah atau kepentingan kepada pengguna. Begitu jugalah dengan ICT. Kemajuan ICT telah menyumbang dalam meningkatkan pengurusan dan pentadbiran negara ke arah lebih sistematik dan teratur.  Segala urusan baik kerajaan mahupun swasta dapat dipercepat melalui kemajuan ICT. Keadaan ini bukan sahaja menjimatkan masa, bahkan tenaga, dan wang kerajaan serta rakyat sendiri. Kegunaan ICT sememangnya cukup mendewasakan Malaysia.  Pentadbiran negara dan swasta menjadi lebih cepat dan cekap. Dengan itu, Malaysia akan lebih cepat mencapai wawasannya dan mencipta nama di persada dunia ini. Sebagai analoginya, kerja pengurusan dokumen, permohonan dan sebagainya menjadi tepat dan cekap.  Dengan adanya ICT, data dapat diproses dan disimpan dengan segera tanpa membuang masa. Urusan kewangan melalui mesin teler automatik (ATM) dan Internet membolehkan kita menguruskan wang kita di seluruh dunia dengan mudah dan lancar.  

Satelit
Jika ditinjau secara lebih mendalam lagi, ICT bukan sahaja membantu dalam pentadbiran dan pengurusan negara, malah ICT penting dalam ramalan cuaca dan panduan pelayaran. Jika dahulu, pelayar merujuk kepada kedudukan bintang di langit untuk dijadikan sebagai “kompas” semasa belayar.  Jika dahulu ada yang merujuk  keadaan langit dan awan untuk meramal cuaca ataupun mempercayai ramalan ahli nujum. Sekarang, dengan adanya satelit cuaca, fenomena alam dapat diramal dengan lebih tepat serta terperinci. Melalui satelit cuaca ini, siri gambar awan dapat diambil dan seterusnya kita dapat meramalkan keadaan cuaca dunia. Persediaan awal dapat kita buat untuk mengelakkan berlakunya kerugian harta benda dan pengorbanan nyawa.  Banjir, ribut taufan, tsunami, dan gempa bumi adalah antara contoh fenomena alam yang tidak dapat tidak kita sebagai manusia perlu untuk mengawalnya dengan membuat persediaan rapi kerana kita perlu sediakan payung sebelum hujan. Dengan ramalan fenomena El Nino dan La Nina yang tepat itu, kita dapat membuat persediaan awal. Sebagai contohnya, sistem satelit aeronautik (USA) dapat menghubungi kapal terbang yang melintasi Lautan Atlantik dan Pasifik.  Teknologi komunikasi pelayaran juga penting dalam sistem pengangkutan udara dan laut. Teknologi ini berfungsi sebagai panduan pelayaran. Sistem Satelit Laut (IMMARISAT) dapat mengesan kapal-kapal yang menghadapi masalah di samping berfungsi sebagai panduan.

Hubungan Antarabangsa
Sudah terang lagi bersuluh bahawa ICT memainkan peranan yang penting kepada dunia. Hal ini dapat dibuktikan apabila ICT mempercepat hubungan antarabangsa. Dunia seakan-akan menjadi semakin kecil dengan wujudnya ICT. Kita dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia. Perkara ini ternyata sekali mengukuhkan ungkapan Dunia Tanpa Sempadan.  Kita dapat berhubung dengan sesiapa sahaja sama ada di laman sembang, e-mail, sistem pesanan ringkas (SMS), Skype dan sebagainya. Kita juga dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia dengan menggunakan telefon bimbit. 
Bukan itu sahaja, perkembangan semasa yang berlaku di seluruh dunia juga dapat diikuti dengan serta-merta  seperti siaran langsung konsert artis popular, perlawanan bola sepak dunia dan siaran berita mutakhir. Acara sukan, persidangan dan sebagainya yang berlangsung di sesebuah negara seperti di Korea di Jepun mahupun di Amerika Syarikat dapat dipancarkan ke seluruh dunia secara langsung.  Siaran ini dapat ditonton melalui Internet dan Astro, telefon, faksimili, televisyen, dan persidangan video bergantung pada ICT untuk membolehkan kita merasai nikmat ini. Internet dan komputer riba turut berfungsi melalui teknologi serba canggih ini. Sememangnya ICT merupakan pembuka laluan yang luas kepada masa depan yang gemilang.

Pembelajaran Berbantukan Komputer
Kewujudan ICT turut membantu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P). Sistem pendidikan di sekolah dimajukan oleh ICT sekali gus mewujudkan sekolah bestari. Pelajar mendapatkan maklumat dari seluruh dunia melalui Internet untuk melakukan kerja atau projek-projek di sekolah.  Pelajar akan belajar mengikut kemampuan mereka serta melahirkan generasi yang celik komputer. Pendidikan di sekolah atau di institusi lebih bercirikan pendidikan jarak jauh. Peluang pendidikan menjadi lebih luas, selain menjimatkan kos. Pelajar pintar dan celik IT tidak disekat oleh faktor kelas dan usia. Hal ini melahirkan lebih ramai cendekiawan.  Fakta ini nyata terbukti apabila ada kanak-kanak yang baru berusia setahun jagung sudah boleh menguasai mata pelajaran Matematik jauh lebih baik daripada pelajar yang sudah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT). Pelajaran di sekolah rendah ataupun pelajaran sekolah menengah dapat dipelajari melalui modul pemelajaran yang disediakan dalam cakera padat-ingatan baca sahaja (CD-ROM) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sehubungan dengan itu, selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi penyumbang penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara. Kes jenayah yang semakin berleluasa di negara Malaysia dapat diatasi dengan bantuan ICT. Televisyen litar tertutup (CCTV) banyak digunakan dan ditempatkan di kawasan-kawasan seperti bank, kasino, lapangan terbang, pangkalan terbang, dan pasar-pasar raya. Sistem CCTV ini ialah penggunaan kamera video untuk menghantar isyarat ke tempat-tempat tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak dihantar secara terbuka, hal ini berbeza sekali dengan televisyen. CCTV ini digunakan untuk mengawas keselamatan sesuatu tempat yang tertentu sahaja. Di samping itu, kegiatan jenayah yang berlaku dapat dikesan dan seterusnya memberkas penjenayah yang terbabit. Dengan bantuan CCTV, akhirnya kanak-kanak yang bernama Nurin ditemui. Kes penculikan kanak-kanak tersebut pernah menggegarkan seluruh Malaysia.  Kejadian ini tentu sekali kes jenayah yang sangat kejam. Walaupun mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan yang menyayatkan hati, tetapi dengan adanya kamera video dapat merakamkan lokasi beg yang terkandung mayat kanak-kanak tersebut. Dengan CCTV juga, kes disiplin yang berlaku di sekolah dapat dikawal oleh pihak sekolah.

Bertitik tolak dari itu, kita dapat melihat bahawa pembangunan negara bergantung pada kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Langkah kerajaan melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC) sememangnya tepat pada masanya. Sudah tiba masanya untuk negara Malaysia berjaya di peringkat kebangsaan mahupun serantau. MSC memainkan peranan penting untuk menjadi pemangkin kemajuan ICT di Malaysia. Untuk menjayakan harapan ini, semua pihak tidak kira pihak kerajaan ataupun pihak swasta, perlulah berganding bahu bersama-sama rakyat bagai aur dengan tebing, sehati seia  untuk melonjakkan nama negara Malaysia ke pentas dunia.

Telah Diubah Suai daripada Artikel Sumbangan Ikhlas A. Razak Ahmad

Monday, June 11, 2012

NOVEL TINGKATAN 3 : CEMPAKA PUTIH UNTUKMU



NOTA PINTAS NOVEL TINGKATAN 3 (CEMPAKA PUTIH UNTUKMU) - 5 DALAM 1


CONTOH 1:
#
Hartini dan keluarganya amat sayang akan Satiah dan memberikan sepenuh perhatian kepadanya yang menghidap kanser paru-paru.  
CONTOH 2:
@
Hartini dan Satiah rajin berusaha untuk menghadapi peperiksaan PMR dan akhirnya mereka berjaya mencapai keputusan yang cemerlang.
CONTOH 3:
&
Penduduk-penduduk di Kampung Batu bersama-sama membantu Encik Hasrul dan Pak Morit membuat persiapan majlis kenduri kesyukuran.


PERSOALAN:
#   Kasih sayang sesama manusia
@ Rajin berusaha demi kejayaan
&  Mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain.
PERWATAKAN:
# Seorang yang penyayang
@Seorang yang rajin berusaha
& Seorang yang suka menolong orang lain
LATAR MASYARAKAT:
#  Masyarakat yang penyayang
@Masyarakat yang rajin berusaha
& Masyarakat yang suka menolong orang lain
NILAI:
#  Kasih sayang
@Kerajinan
& Tolong-menolong
PENGAJARAN:
#  Kita hendaklah menyayangi antara satu sama lain       
@Kita hendaklah rajin berusaha untuk mencapai kejayaan yang diingini
& Kita hendaklah mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain

Contoh Soalan 1:  
Huraikan persoalan yang terdapat dalam novel yang anda kaji dalam Tingkatan 3.


Novel yang saya kaji dalam Tingkatan 3 ialah Novel Cempaka Putih Untukmu.

Persoalan pertama yang terdapat dalam novel ini ialah persoalan kasih sayang sesama manusia.  Sebagai contohnya, Hartini dan keluarganya amat sayang akan Satiah dan memberikan sepenuh perhatian kepadanya yang menghidap kanser paru-paru.

Persoalan kedua ialah persoalan rajin berusaha demi kejayaan. Sebagai buktinya, Hartini dan Satiah rajin berusaha untuk menghadapi peperiksaan PMR dan akhirnya mereka berjaya mencapai keputusan yang cemerlang.

Persoalan ketiga ialah persoalan mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain. Sebagai contohnya, Penduduk-penduduk di Kampung Batu bersama-sama membantu Encik Hasrul dan Pak Morit membuat persiapan majlis kenduri kesyukuran.


Contoh Soalan 2:  
Huraikan latar masyarakat yang terdapat dalam novel yang anda kaji dalam Tingkatan 3.


Novel yang saya kaji dalam Tingkatan 3 ialah Novel Cempaka Putih Untukmu.


Latar masyarakat pertama yang terdapat dalam novel ini ialah masyarakat yang penyayang.  Sebagai contohnya, Hartini dan keluarganya amat sayang akan Satiah dan memberikan sepenuh perhatian kepadanya yang menghidap kanser paru-paru.

Latar masyarakat kedua ialah masyarakat yang rajin berusaha demi kejayaan.  Sebagai buktinya, Hartini dan Satiah rajin berusaha untuk menghadapi peperiksaan PMR dan akhirnya mereka berjaya mencapai keputusan yang cemerlang.

Latar masyarakat ketiga ialah masyarakat yang mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain.  Sebagai contohnya, Penduduk-penduduk di Kampung Batu bersama-sama membantu Encik Hasrul dan Pak Morit membuat persiapan majlis kenduri kesyukuran.


***  Pelajar juga boleh menggunakan contoh yang sama untuk menjawab soalan bagi perwatakan, nilai dan pengajaran.

Thursday, May 3, 2012

MAKANAN TERBAIK UNTUK KESIHATAN

KISMIS

Kismis atau dipanggil Raisin dalam bahasa Inggeris atau Zabib dalam bahasa Arab. Nama saintifik bagi kismis ialah Vitus Vinifera.

Sabda Rasulullah SAW,
“Biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan, menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih.”

Kismis sebenarnya berasal daripada buah anggur yang menjalani proses penyahidratan sama ada menggunakan matahari atau menggunakan ketuhar. Terdapat beberapa jenis kismis yang popular seperti sultana, malaga, monukka dan muscat. 



Sebanyak 60% berat kismis terdiri daripada gula iaitu separuh daripadanya ialah fruktosa manakala separuh lagi glukosa. Kismis sangat tinggi kandungan antioksidannya berbanding buah prune dan aprikot. 


Adakah kismis membahayakan kesihatan? Kismis mengandungi kadar gula yang tinggi tetapi gula fruktosa ialah gula semula jadi yang dipanggil gula ringkas dan mudah diproses untuk menjadi tenaga. 

Khasiat Kismis:

i. Menguatkan minda, mengubati penyakit lupa dan mencerdaskan minda.

“Sesiapa yang ingin menghafal Hadith hendaklah ia kerap memakan anggur kering” -    Imam Zuhdi.
Gula ringkas dalam kismis telah dikenal pasti dapat meningkatkan daya pemikiran otak. Hal ini kerana otak memerlukan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak untuk berfungsi dengan baik dan kismis dapat menyediakan keperluan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak dan cepat. 

ii. Antioksida.
Kajian mendapati fenol yang terdapat dalam kismis adalah antara sumber yang membolehkannya dikategorikan sebagai antioksida. Antioksida melindungi tubuh daripada radikal bebas selain menjaga kesihatan kulit. 

iii. Gigi sihat.
Penelitian Christine D. Wu dari Universiti Illinois, Chicago, Amerika Syarikat mendapati kismis mengandungi antioksidan yang dapat melawan bakteria penyebab kerosakan gigi dan gusi. Antara antioksidan itu ialah Asid Oleanolic, Oleanolic Aldehyde, Betulin, Asid Betulin dan 5-(Hydroxymethyl)-2-Furfural. Kismis tidak menyebabkan kaviti dan penyakit gusi, bahkan mempromosi gigi yang sihat kerana mengandungi Asid Oleanolik. Asid ini sangat efektif dalam membunuh bakteria. 

iv. Mencerahkan mata

v. Membersihkan hati

vi. Khasiat-khasiat lain


Nabi Muhammad SAW bersabda:
Barang siapa memakan kismis merah sebanyak 21 biji setiap hari sebelum sarapan pagi, maka dia tidak akan ditimpa penyakit kecuali kematian”. Insya-Allah. 

Menurut Pakar Pemakanan dari sebuah hospital swasta, Tan Yen Sing mengatakan bahawa kajian juga mendapati kismis yang kaya dengan Potassium dan rendah dalam Sodium membantu mengurangkan tekanan darah tinggi

Malah, khasiat daripada kismis juga boleh mengurangkan risiko strok dan melemahkan perkembangan penyakit-penyakit organ dalam badan

Selain itu juga, kismis mengandungi Fiber dan Asid Tartaric yang baik untuk kesihatan tulang dalam badan anda. 

Katanya, kismis mempunyai banyak khasiat pemakanan, serat, antioksidan, vitamin dan Kalium yang merupakan nutrien penting untuk badan. 

Beliau juga menafikan memakan kismis akan membuatkan anda gemuk. Ia adalah mitos. Hal ini adalah kerana, manis yang ada pada kismis ialah manis buah-buahan yang asli. 

Justifikasinya, kismis merupakan salah satu alternatif makanan yang wajar dijadikan santapan harian. Ayuh! Jom ramai-ramai makan kismis. 

Thursday, April 19, 2012

KEBAIKAN SEKTOR PERINDUSTRIAN

SOALAN:
Negara kita telah mengutamakan perindustrian untuk mencapai era negara moden.  Kerajaan telah menjalankan pelbagai dasar untuk meningkatkan tahap industri negara. 
Terangkan kebaikan-kebaikan sektor industri kepada rakyat dan negara.

Penggubalan dasar perindustrian di Malaysia adalah lebih menjurus ke arah untuk meningkatkan sumbangan dan prestasi sektor perindustrian negara. Memetik kata-kata daripada mantan Perdana Menteri Ke-4, Tun Mahathir Mohamed, 1989 yang berbunyi, "usaha-usaha untuk menjadikan sektor perindustiran, terutamanya sektor pembuatan punca utama pertumbuhan ekonomi negara berjalan dengan lancar. Sektor perindustrian bagi sektor pembuatan akan menjadi tulang belakang ekonomi negara pada masa hadapan, kerajaan akan membuat pengubahsuaian segala dasar dan strategi serta berusaha memperluaskan asas perindustrian dalam sektor pembuatan".  Nah,  Sudah terang lagi bersuluh, Malaysia telah melalui proses penekanan ketara dalam meningkatkan tahap industri negara sejak awal tahun 80-an lagi.  Kehadiran mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam mentadbir negara bermula pada tahun 1981 sehingga 2003 telah menyinarkan cahaya keilmuan yang hampir padam.  Pada Februari 1991, beliau telah mengemukakan ‘Wawasan 2020’ sebagai matlamat jangka masa panjang untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara yang membangun dan mempunyai nilai kualiti tinggi.  Pendekatan ini telah mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.  Menurut beliau lagi, matlamat kesembilan daripada Wawasan 2020  ini semestinya menjadi keutamaan masyarakat Malaysia untuk tiga dekad yang akan datang.  Seiring dengan dasar tersebut, melalui agenda sektor  perindustrian sudah pasti aspirasi negara maju menjelang 2020 akan dapat direalisasikan.  Malahan, peranan sektor perindustian tidak perlu lagi dipertikaikan kerana banyak membawa kebaikan sama ada kepada rakyat mahupun negara.
                                
Sebagai pembuka kata dan bicara , kebaikan yang dibawa oleh sektor perindustrian terhadap negara ialah dasar ini menyebabkan negara kita mampu mengurangkan import terutama barangan tertentu.  Sebagai bukti, import pada bulan Oktober 2009 menurun sebanyak 2.3% berbanding September 2008 disebabkan kemerosotan import barang pengantara sebanyak 10%  terutamanya barangan elektrik dan elektronik (E&E) sebanyak 8.5% dan produk besi dan keluli sebanyak 28%.    Pengurangan import ini berupaya dilakukan kerana sektor perindustrian negara telah berjaya menghasilkan produk yang sama terutama barangan elektrik dan elektronik pada harga yang lebih murah.  Selain itu, kalau dahulu negara kita pada era 70-an terpaksa mengimport kereta dari negara Jepun atau negara barat tetapi kini  keadaannya amat berbeza sekali seperti langit dengan bumi kerana negara kita sekarang sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri dalam menghasilkan kereta buatan sendiri iaitu Proton mahupun Perodua.  Situasi ini turut memberikan kesan terhadap kadar imbangan perdagangan luar  negara kerana kurang wang yang mengalir ke luar negara untuk membayar barangan yang diimport. Lantas, wang tersebut mampu digunakan untuk pembangunan sektor-sektor lain.  Jadi, sumber kewangan negara yang berlebihan itu dapat digunakan untuk meninggikan taraf hidup rakyat.  Tegasnya, kemajuan dalam sektor perindustrian berjaya mengurangkan import negara yang dulunya negara kita terlalu bergantung kepada barangan import tersebut.

Ekoran daripada pengurangan import negara terhadap barangan tertentu, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa sektor perindustrian juga dapat meningkatkan permintaan terhadap bahan mentah di negara ini. Pertumbuhan pesat dalam sektor perkilangan sudah tentu membawa peningkatan dalam permintaan terhadap bahan mentah umpama cendawan tumbuh selepas hujan.  Seterusnya, menjadi antara intipati perindustrian untuk menghasilkan pelbagai produk mengikut permintaan masyarakat di seantero dunia.  Sebagai analogi yang sudah diketahui umum, negara kita pernah ditakluki oleh kuasa asing untuk menguasai sumber bahan mentah negara kerana harganya yang tinggi dan permintaannya meluas dalam pasaran antarabangsa.  Berdasarkan perangkaan terkini, sumber bahan mentah seperti getah, petroleum dan kelapa sawit masih mempunyai pasaran yang meluas di peringkat globalisasi.  Berdasarkan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia pada tahun 2012, didapati pengeluaran minyak kelapa sawit meningkat  sebanyak 7.9% kepada RM4.5 bilion. Keadaan ini tentunya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara kerana negara mengeksport sumber-sumber ini ke luar negara. Di samping itu, sumber bahan mentah seperti petroleum diperlukan dalam proses pengetinan makanan dan minyak petrol bagi sektor perindustrian di negara kita.  Malahan, minyak masak dan sabun yang dihasilkan turut menggunakan  kelapa sawit sebagai sumber bahan mentah.  Secara tidak langsung, harga komoditi negara sudah  pasti meningkat dengan mendadak dan memberi keuntungan  kepada negara.  Izharlah, kepesatan dalam sektor perindustrian sudah ketara dapat meningkatkan permintaan terhadap sumber bahan mentah negara.

Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah sektor perindustrian memberikan kebaikan kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan yang luas.  Kilang-kilang yang dibina di kawasan pedalaman mampu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.  Contoh pekerjaan yang biasa ditawarkan kepada penduduk berdekatan seperti operator kilang, jurutera kilang, pengurus kilang dan sebagainya.  Peluang pekerjaan yang ditawarkan ini seharusnya dimanfaatkan oleh rakyat bagi menampung keperluan hidup mereka.  Sektor perindustrian mampu menawarkan pelbagai peluang pekerjaan yang luas dari pelbagai peringkat. Antaranya ialah peringkat pengeluaran, pemprosesan, pemasangan, pembungkusan, pemasaran.  Pada tahun 2001 sahaja, seramai 2.2 juta rakyat terlibat dalam sektor perindustrian iaitu bersamaan 22%  daripada jumlah tenaga kerja yang terdapat di Malaysia.  Fenomena ini sudah pasti dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat.  Sesungguhnya, sektor perindustrian mampu menawarkan peluang pekerjaan yang luas kepada rakyat khususnya dalam bidang perkilangan. 

Pada realitinya,  kepesatan dalam sektor perindustrian juga telah berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat.   Peningkatan taraf hidup ini juga dapat dikaitkan dengan terhasilnya kemudahan-kemudahan seperti pendidikan, kesihatan, dan pengangkutan yang bertaraf tinggi kepada rakyat.  Semua kemudahan ini dinikmati oleh rakyat negara kita tanpa perlu membayar kos yang lebih mahal.  Kemudahan ini turut memudahkan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian mereka.  Hal ini kerana upah atau gaji hasil daripada titik peluh sendiri dapat menjamin masa depan diri dan keluarga. Daripada realiti ini, dapat kita katakan bahawa masyarakat yang hidup susah, kini dapat meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga mereka. Bertitik tolak daripada itu, kita akui bahawa kemajuan sektor perindustrian yang pesat ini telah memberikan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.   Taraf hidup rakyat juga sebenarnya dapat diukur melalui pendapatan per kapita sesebuah negara.  Situasi ini dapat dibuktikan berdasarkan data World Development Indicators oleh Bank Dunia pada 1 Julai 2009, Malaysia berada pada kedudukan ke-79 dengan pendapatan per kapita sebesar US$ 13.740 per tahun.  Sedangkan, Indonesia berada pada kedudukan ke-146 dengan pendapatan per kapita sebesar US$ 3.830 per tahun.  Berdasarkan perangkaan ini, taraf hidup rakyat negara kita jauh lebih baik daripada Indonesia secara perbandingannya 3.5 kali ganda.  Jelaslah bahawa semua ini terhasil daripada perkembangan yang pesat dalam sektor perindustrian di Malaysia.

Intihanya, sektor perindustrian mampu membawa pelbagai impak positif kepada rakyat dan negara ini.  Cuma dalam keghairahan kita menempa kejayaan dalam bidang ini, semua pihak harus menyedari impak negatif yang turut mampu terhasil akibat mengutamakan sektor ini.  Mungkin kita harus merenung secara mendalam penekanan kita dalam bidang ini sebelum impak yang buruk menjadi ketara menjelang alaf mendatang.  Sebelum nasi menjadi bubur, sebelum retak menjadi parah, kepentingan sektor pertanian di negara kita juga tidak seharusnya dipandang sebelah mata.  Hal ini disebabkan hasil pertanian merupakan sumber  bekalan makanan kepada rakyat ini.  Oleh itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sewajarnya bekerjasama bagai aur dengan tebing dan menggembleng tenaga untuk memajukan sektor pertanian dan perindustrian di negara kita.  Hal ini kerana sektor pertanian dan perindustrian di negara kita perlu bergerak seiring, bahu-membahu, lengkap-melengkapi  bak seni kata lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee bagai irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan. Dalam erti kata yang lain, sektor perindustrian tidak boleh dipisahkan dengan sektor perindustrian.  Selari dengan itu, Malaysia berupaya menjadi sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang serta dapat berdiri megah dengan negara-negara maju yang lain umpama duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.

Nukilan kerjasama berkumpulan 5 Berlian 2012

Monday, April 16, 2012

PENULISAN SPM : CIRI-CIRI BANDAR IDAMAN SAYA



Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak tentang  isu pembukaan bandar-bandar baharu lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang gah di persada dunia.  Pembukaan bandar-bandar baharu yang canggih menjadikan Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi yang lain.  Jika dikaji sehingga ke akar umbi, terdapat banyak bandar yang canggih dan cantik di negara Malaysia. Antara contoh  bandar yang menjadi buah mulut dan dipolemikkan di kedai-kedai kopi mahupun dewan parlimen ialah bandar Putrajaya di Malaysia.  Selain itu, terdapat juga bandar canggih dan cantik di negara lain seperti bandar Limerick di Ireland dan bandar Kontanz di German.  Oleh yang demikian, semua warganegara Malaysia sudah tentu mengimpikan bandar idaman untuk didiami  bersama-sama keluarga yang tercinta. Tidak terkecuali saya yang turut mendambakan bandar idaman saya yang lengkap dengan segala yang diperlukan.

Pada realitinya memang tidak dapat dinafikan bahawa  bandar idaman semua mestilah mempunyai prasarana yang memenuhi kehendak rakyat. Begitulah juga halnya dengan diri saya yang menginginkan kemudahan lengkap di tempat saya tinggal seperti kemudahan bekalan air dan elektrik, pengangkutan awam, khidmat Unifi, tandas awam dan perpustakaan awam. Pada era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi ini, ilmu sudah mendominasi kemajuan sesebuah negara.  Untuk rakyat berkomunikasi dan memperoleh ilmu, khimat Unifi dan kemudahan jaringan internet hendaklah diperluas dan dipermudah untuk dicapai oleh komuniti bandar.  Selain itu, bekalan air dan elektrik hendaklah mencukupi menampung keperluan masyarakat setempat dengan menggunakan kemajuan dalam proses kitar semula. Tidak cukup dengan itu, pengangkutan awam yang diguna pakai di bandar idaman saya mestilah mesra alam.  Sampah-sampah juga dilupuskan dengan menggunakan teknologi insenerator yang telahpun diaplikasikan di negara-negara maju.  Dengan perkataan lain, segala-galanya ada di bandar idaman saya. Tegasnya, bandar idaman saya mestilah mempunyai prasarana yang mencukupi agar rakyat dapat hidup dengan  selesa sambil menikmati segala kemudahan yang disediakan.


Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah bandar yang menjadi idaman saya perlulah berkonsepkan lestari alam semula jadi. Dalam konteks ini, bandar tersebut perlulah dipenuhi dengan tumbuhan hijau serta bebas daripada pencemaran alam. Memandangkan keadaan yang sedemikian, bandar tersebut perlulah berjauhan dari kawasan perindustrian yang pastinya akan menyebabkan pencemaran udara dan pencemaran air. Bukan itu sahaja, bandar yang berkonsepkan lestari alam semula jadi dapat menyegarkan minda di samping pemandangan yang indah saujana mata memandang. Bertitik tolak daripada itu, tumbuh-tumbuhan yang dapat menyerapkan gas karbon dioksida perlu ditanam dengan banyak  di sekeliling bandar idaman saya. Hal ini secara tidak langsung, akan mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida yang dihasilkan oleh manusia dan haiwan sekali gus mengurangkan risiko penyakit berbahaya. Sudah terang lagi bersuluh, bandar yang berkonsepkan lestari alam semula jadi yang banyak membawa maslahat merupakan  bandar idaman saya.

  Hakikatnya, memang tidak dapat dinafikan bahawa bandar idaman saya perlulah bertemakan hiburan. Hal ini adalah kerana bandar berkonsepkan hiburan sudah lama terpahat dalam memori saya untuk dijadikan bandar  idaman saya.  Aspek utama  dalam konsep ini ialah bandar yang dapat memberikan hiburan kepada pelbagai peringkat lapisan masyarakat yang merangkumi peringkat usia kanak-kanak, remaja, golongan dewasa mahupun warga tua. Sebagai analoginya, bandar idaman saya mestilah bertemakan hiburan seperti Disneyland di New York, Resort World of Sentosa di Singapura.  Dengan ini, rakyat boleh mengurangkan stres dan melarikan diri seketika daripada memikirkan tekanan di tempat kerja.  Secara tidak langsung, setiap ahli keluarga boleh meluangkan masa pada hujung minggu dengan membawa keluarga pergi ke tempat tersebut yang ada di depan mata.  Tidak perlu lagi mengeluarkan kos yang besar untuk menikmati bandar bertemakan hiburan yang sama di luar negara.  Izharlah bahawa dengan adanya bandar idaman saya ini, keluarga yang bahagia sudah pasti dapat dilahirkan dan diperkukuhkan.

Sebagai menggulung tajuk yang diperbincangkan, bandar idaman saya mestilah  berunsurkan mesra alam, memiliki pelbagai prasarana dan kemudahan  yang canggih untuk keselesaan komuniti. Dengan ini, sebagai rakyat Malaysia, saya akan sentiasa memberikan sokongan ke atas projek yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti Perbandaran Hijau yang akan menjadi model rintis kepada pembangunan bandar-bandar lain di Malaysia. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, bandar-bandar  idaman yang dihasratkan  sudah pasti akan dapat memajukan negara setanding  dengan negara moden serta dapat merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020. Oleh itu,  masyarakat perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana yang bulat takkan datang bergolek dan yang pipih takkan datang melayang. Belajar dari keadaan pentadbiran sekarang dan mempraktikkan dalam pentadbiran akan datang malah berusaha untuk memperbaikinya lagi supaya  semua rakyat Malaysia dapat menikmati kelengkapan kemudahan dan tubuh badan yang sihat dari segi minda mahupun fizikal. Dengan keizinan Tuhan Yang Maha Esa, saya berharap agar bandar idaman saya akan  menjadi realiti sebelum saya menutup mata.




Kerjasama murid-murid  Kelas 5 Berlian 2012

Monday, April 9, 2012

PENULISAN KARANGAN BAHAGIAN B : SPM (KERJAYA)

Soalan:
Dalam pemilihan bidang kerjaya, minat menjadi faktor utama. Bincangkan.

Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah menyumbang kepada perkembangan ekonomi pesat yang menjana pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia. Dalam sistem pendidikan di Malaysia, kita menghabiskan masa selama enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Selama sebelas tahun ini, pelajar sentiasa disoal oleh guru-guru, “apakah kerjaya yang anda inginkan?”   Semasa dalam tingkatan empat, pelajar perlu memilih gabungan mata pelajaran yang sesuai berdasarkan minat mereka untuk mengejar kerjaya impian. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kerjaya merujuk kepada profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah hidup. Kerjaya merupakan panduan dalam kehidupan kita. Pada masa ini, pelajar sepatutnya telah menetapkan matlamat tentang kursus dan kerjaya yang diingini mereka supaya mereka ada hala tuju dalam hidup tidaklah seperti layang- layang yang terputus tali dan tidak menyesal dengan keputusan yang diambil. Antara kerjaya yang menjadi pilihan ialah doktor, juruterbang, jurutera, ahli kimia dan sebagainya. Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi dalam pemilihan sesuatu bidang kerjaya?  Hakikatnya, minat merupakan salah satu faktor dominan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.

Kita dapat menyaksikan betapa minat merupakan faktor paling dominan yang mempengaruhi seseorang dalam pemilihan kerjaya mereka.  Dalam konteks ini, minat juga akan menyebabkan seseorang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita mereka.  Bertitik tolak daripada itu, pelajar akan belajar dengan tekun untuk meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM mahupun STPM. Pelajar haruslah memberikan tumpuan semasa guru mengajar di dalam kelas.  Kesannya, pelajar akan lebih mudah memahami sesuatu pelajaran dan menjawab soalan peperiksaan dengan senang.  Sikap kesungguhan ini dapat digambarkan melalui peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tegasnya, seseorang yang mempunyai minat akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kerjaya yang diidam-idamkannya menjadi kenyataan.

Umum mengetahui bahawa semasa di alam persekolahan lagi pelajar harus memilih subjek yang berkaitan dengan kerjaya yang akan diceburi oleh mereka. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan mereka lebih mahir dalam menguruskan kerjaya yang akan diceburi kerana sudah mengetahui dan membuat persediaan yang rapi umpama sediakan payung sebelum hujan. Dengan perkataan yang lain, pelajar seharusnya mengambil subjek yang berkaitan dengan cita-cita masing-masing semasa mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Dalam zaman yang serba canggih ini, bukan sahaja kemahiran yang dilihat oleh majikan tetapi keputusan yang cemerlang dalam subjek yang dipilih itu bersesuaian dengan kerjaya turut diberi keutamaan. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah jika seseorang ingin menjadi seorang jurutera,  subjek yang mesti dipilih ialah Lukisan kejuruteraan. Sebagai langkah untuk merealisasikan kerjaya idaman dan cita-cita yang menggunung tinggi ini, pelajar haruslah memilih subjek yang seiring dengan kursus yang dipilih mereka.

     Sesungguhnya, seseorang pelajar sudah pasti mempunyai idola yang ingin dicontohi sebelum mereka menentukan kerjaya masa depan. Biasanya,  idola yang dipilih memang dikagumi dan menepati dengan kerjaya yang dipilihžSebagai contoh, seseorang yang ingin menjadi seorang arkitek, mereka boleh menjadikan arkitek negara yang terkenal dan gah namanya di persada dunia iaitu Hijjas Kasturi sebagai idolanyaBukan itu sahaja, malah segala ketekunan, kegigihan dan kekreatifan beliau akan dijadikan sebagai teladan dalam menggapai kerjaya idaman merekaImpaknya, seseorang yang dijadikan idola seharusnya mampu mempengaruhi pemikiran, tindak tanduk dalam membuat keputusan serta kesungguhan seseorang untuk memastikan kerjaya yang dihasratkan dapat direalisasikanSememangnya,  idola dapat mempengaruhi seseorang dalam membina semangat dan motivasi ke arah menjadikan kerjaya sebagai kenyataan bukannya omong-omong kosong sahaja.


Ironisnya, jika minat seseorang itu tidak mendapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapa, sudah tentulah punah harapan mereka.  Hal ini bermakna, seseorang yang hanya mempunyai minat tetapi tidak mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa mereka tentang pemilihan kerjayanya, sudah pasti mereka akan kecundang di peringkat awal lagi.  Oleh hal yang demikian, ibu bapa sewajarnya menyokong minat anak-anak walaupun pemilihan kerjaya mereka bertentangan dengan harapan kedua-dua ibu bapa.  Bagi menyokong pemilihan kerjaya anak-anak mereka, ibu bapa boleh memperlengkapkan segala keperluan anak-anak dalam memenuhi kriteria yang diperlukan.  Sebagai buktinya, ibu bapa bolehlah memberikan dorongan, semangat dan motivasi kepada anak-anak sama ada dalam bentuk material mahupun spiritual.  Izharlah bahawa ibu bapa juga berperanan menyokong minat anak-anak mereka dalam merealisasikan kerjaya masa depan  anak-anak mereka.

Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirulkalam, minat menjadi prioriti utama dalam pemilihan sesuatu kerjaya. Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pemilihan kerjaya anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak mereka memerlukan sokongan dan dorongan daripada mereka sama ada dari aspek mental, spiritual mahupun fizikal. Contoh ketara dari aspek sokongan mental dan spiritual ialah ibu bapa perlu memberikan motivasi kepada anak-anak, manakala sokongan dari aspek fizikal pula ialah mereka perlu menyediakan kelengkapan belajar anak-anak seperti buku rujukan dan menghantar mereka ke pusat tuisyen. Sekiranya hal ini dapat dilaksanakan maka tidak ada lagi orang yang akan sesat di perjalanan untuk memilih kerjaya kerana mereka menetapkan sasaran dari awal lagi. Walaupun demikian, jika seseorang mempunyai minat dan hala tuju yang jelas, tetapi mereka bersikap genggam-genggam bara, terasa panas dilepaskan dan tidak ada semangat kegigihan, ketabahan, keiltizaman dan kecekalan, sudah pasti segala hasrat termasuk kerjaya yang menjadi idaman akan hancur lebur umpama kubur tanpa nisan. Tuntasnya, perkara-perkara yang dinyatakan di atas hendaklah dilaksanakan secara efektif dan janganlah bersikap keras-keras kerak nasi yang mudah putus asa supaya pemilihan bidang kerjaya impian akan menjadi lebih jelas lagi. 

Gabungan Idea daripada pelajar-pelajar 5 Berlian 2012