Sunday, March 18, 2012

KARANGAN BAHAGIAN C - PMR

SOALAN:
Peranan ibu bapa sangat penting  dalam menangani masalah sosial dalam kalangan remaja.
Bincangkan pernyataan di atas.

ANALISIS SOALAN:

TEMA                                              :  Masalah sosial dalam kalangan remaja [AR]
CONTOH MASALAH SOSIAL    :  Penagihan dadah, pergaulan bebas dan gejala vandalisme  [AC]
KATA KUNCI SOALAN - (KKS) :  Peranan ibu bapa  [AA]
IDEA UTAMA -  (IU)                     :  1.  Mencurahkan kasih sayang
                                                            2.  Memberikan didikan agama
                                                            3.  Memantau pergaulan anak-anak
                                                            4.  Menjadi suri teladan kepada anak-anak

TIPS DALAM MEMBINA AYAT DEMI AYAT MENGIKUT PERENGGAN.

Ø  PERENGGAN PENDAHULUAN  :  TEKNIK  A-RCA

ü  AR = AYAT RANGSANGAN (Kaitkan dengan TEMA)  
       #AR-PU = Pernyataan Umum @
      # AR-D = Definisi @ 
     # AR-T = Ayat Tanya}
ü  AC =  AYAT CONTOH   
ü  AA = AYAT ARAH (Kaitkan dengan KKS)

Ø  PERENGGAN ISI  :  TEKNIK  ATAH - ACAP

ü  AT = AYAT TOPIK  (KKS + IU)
ü  AH = AYAT HURAIAN  
(5 W + 1H + 2I)  
5W=Apa+Mengapa+Siapa+Di mana+Bila
1H=Bagaimana
2I=Kesan + Jika/Sekiranya
ü  AC = AYAT CONTOH / PERIBAHASA
ü  AP = AYAT PENEGAS (Tegaskan Tema + IU)

Ø  PERENGGAN PENUTUP :  RCPH
ü  Rumusan         =  Rumusan bagi semua IU +  KKS + TEMA
ü  Cadangan        =  PIHAK + USAHA + PERIBAHASA 
ü  Pendapat         =  KEPENTINGAN KERJASAMA SEMUA PIHAK
ü  Harapan          =  HARAPAN / KESAN DARIPADA CADANGAN


KARANGAN LENGKAP

            [AR-PU] Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara merupakan kata-kata hikmat  yang sinonim dengan remaja yang menjadi aset penggerak dan tonggak wawasan negara.  [AR-PU] Namun kini, masalah sosial yang melanda golongan remaja sangat membimbangkan masyarakat mahupun negara.  [AC] Antara masalah sosial yang sering kali dikaitkan dengan remaja ialah pergaulan bebas, gejala vandalisme dan penagihan dadah.  [AR-T] Siapakah yang bertanggungjawab dan berperanan dalam menangani masalah sosial dalam kalangan remaja ini?  [AA] Oleh itu, peranan ibu bapa yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan lebih terperinci demi kebaikan bersama.

            [AT] Pada realitinya, dewasa ini peranan ibu bapa sangat signifikan dalam mencurahkan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak mereka.  [AH-M] Kasih sayang yang secukupnya bagai Menatang Minyak Yang Penuh perlu dicurahkan oleh ibu bapa kepada anak-anak remaja agar mereka tidak berasa disisihkan dan berseorangan.  [AH-B] Ibu bapa sepatutnya memberikan perhatian terhadap perkembangan anak-anak, menjaga kebajikan dan memenuhi keperluan anak-anak.  [AH-K] Impaknya, kasih sayang yang secukupnya daripada ibu bapa dapat melahirkan anak-anak yang seimbang emosi dan tenang jiwanya.  [AP] Jelaslah bahawa kasih sayang akan dapat mencegah anak-anak remaja daripada terlibat dengan masalah sosial yang kian meruncing.

            [AT] Umum juga mengetahui bahawa ibu bapa juga berperanan dalam memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak mereka.  [AH-M] Didikan agama penting untuk dijadikan sebagai benteng yang kukuh, sekukuh Tembok Besar China dalam menangkis segala anasir luar yang dapat menggoncang keimanan seseorang.  [AH-B] Jadi, ibu bapa hendaklah menghantar anak-anak ke kelas agama sejak kecil lagi kerana Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya. [AH-K] Kesannya, didikan agama yang mantap akan menyebabkan remaja terhindar daripada melakukan segala kemungkaran dan perkara-perkara yang ditegah oleh agama.  [AP] Izharlah, dengan didikan agama yang sempurna sudah pasti remaja tidak tergamak untuk terlibat dalam kancah sosial yang menghinakan.

            [AT] Kita dapat menyaksikan betapa ibu bapa berperanan penting dalam memantau pergaulan anak-anak mereka[AH-M] Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa perlu memantau pergaulan anak-anak mereka bagi  memastikan anak-anak mereka tidak bergaul dengan rakan yang rosak akhlaknya.  [AH-M] Dalam konteks ini, rakan sebaya mempunyai pengaruh yang sangat besar kepada remaja.  [AC] Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah mengetahui latar belakang rakan-rakan mereka.  [AP] Daripada realiti ini, dapat kita katakan bahawa peranan ibu bapa penting dalam memantau pergaulan anak-anak supaya mereka tidak terpengaruh dengan rakan yang durjana ini.

            [AT] Suatu hakikat yang tidak dapat dikesampingkan ialah ibu bapa sewajarnya menjadi suri teladan kepada anak-anak.  [AH-B] Ibu bapa hendaklah bertutur kata dan bertingkah laku yang mulia di hadapan anak-anak.  [AH-K] Secara tidak langsung, perbuatan ibu bapa tersebut dapat membentuk peribadi yang unggul dalam diri anak-anak remaja.  [AC] Tidaklah seperti Ketam Mengajar Anak-Anaknya Berjalan Lurus sebaliknya menjadi idola untuk dicontohi oleh anak-anak kerana Bapa Borek Anak Rintik dan Bagaimana Acuan, Begitulah Kuihnya.  [AP] Dengan adanya ibu bapa sebagai suri teladan kepada anak-anak, peratus kebejatan sosial dalam kalangan remaja dapat diturunkan.

            [R] Sebagai menggulung segala yang diperkatakan di atas, jelaslah ibu bapa memainkan peranan yang sangat vital dalam menangani masalah sosial dalam kalangan remaja.  [C] Jika semua masyarakat berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insya-Allah masalah sosial dalam kalangan reamaja dapat dibendung hingga ke akar umbi.  [P] Sesungguhnya, dalam menangani masalah ini, semua pihak perlulah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bukannya digalas tanggungjawab ini di puncak ibu bapa sahaja.  [H] Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga dan memberikan komitmen yang padu agar prakarsa menangani masalah sosial dalam kalangan remaja dapat diatasi.

Saturday, March 10, 2012

KELEBIHAN-KELEBIHAN PENGANGKUTAN AWAM



Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda telah menyumbang kepada faktor perubahan sistem pengangkutan awam secara drastik.  Menurut Kamus Dewan dan Pustaka Edisi Keempat, pengangkutan awam dapat didefinisikan sebagai sistem pengangkutan bermotor seperti teksi, bas dan kereta api yang digunakan oleh orang ramai di kawasan tertentu dengan kadar tambang yang telah ditetapkan.  Pada zaman yang serba canggih ini, sistem pengangkutan moden kian mempengaruhi kehidupan masyarakat.  Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh, didapati bahawa kenderaan awam tidak terhad dalam sistem perhubungan di darat malah di udara juga di laut.  Apakah kepentingan pengangkutan awam kepada pengguna dan persekitaran negara kita?  Antara tamsilan pengangkutan awam yang selalu digunakan oleh pengguna ialah bas, teksi, LRT, monorel dan kapal terbang.  Umum mengetahui bahawa bas awam merupakan kemudahan awam yang paling meluas digunakan di seluruh negara termasuklah di bandar dan di kawasan pedalaman.  Oleh itu, kelebihan-kelebihan pengangkutan awam yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.


Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam kepada semua.  Bertitik tolak daripada itu, dengan menggunakan pengangkutan awam sebenarnya dapat menjimatkan masa seseorang untuk sampai ke sesuatu destinasi seterusnya dapat menjimatkan kos perjalanan.  Sebagai contohnya, jika dahulu  perjalanan  ke   Ipoh dengan memandu kereta mungkin memakan masa hingga tiga jam dan kadangkala meletihkan kerana terpaksa menempuh kesesakan yang tidak diduga sepanjang perjalanan. Namun, pada hari  ini   anda   boleh menikmati kopi panas dan membaca buku  kegemaran  anda dengan  menaiki kereta api elektrik (ETS) yang hanya mengambil masa dua jam lima minit sahaja perjalanan pada kadar tambang yang berpatutan. Sudah jelas di sini bahawa penggunaan ETS dapat menjimatkan masa seseorang lebih kurang 50 minit berbanding penggunaan kereta persendirian. Impaknya, pengangkutan awam dapat menjimatkan masa dan kos perbelanjaan dengan tambang yang berpatutan seperti juga pengangkutan awam yang lain iaitu LRT (Light Rail Transit) dan MRT(Mass Rail Transit) yang menjadi pilihan ramai terutamanya golongan pertengahan di kawasan bandar. Malahan kita boleh pergi ke mana-mana destinasi tanpa perlu memikirkan kos petrol yang semakin meningkat dan pengguna tidak perlu memikirkan bayaran tol serta bayaran tempat meletak kenderaan.    Seterusnya, kos yang dapat dijimatkan itu boleh digunakan untuk membeli barang keperluan yang lebih penting. Peribahasa yang bertepatan dengan situasi di atas ialah Ingat Sementara Belum Kena, Jimat Sebelum Habis dan Masa Itu Ibarat Emas.  Sudah Terang Lagi Bersuluh, pengangkutan awam dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan seseorang.


Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat perlu menggunakan pengangkutan awam agar dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.  Perkhidmatan bas telah lama menerima persepsi negatif umum sebagai pengangkutan bagi golongan miskin. Perkhidmatan bas semasa tidak mampu menandingi kelajuan, keupayaan dan kekerapan perkhidmatan rel yang tinggi kerana bas perlu meredah kesesakan lalu lintas bersama-sama ribuan kenderaan lain. Bagi mengatasi masalah ini, tiga usaha utama merentasi 12 koridor menuju ke bandar utama iaitu Bus Expressway Transit (BET), Bus Rapid Transit (BRT), dan Lorong Bas telah disediakan. Perkhidmatan BET akan dilancarkan di empat lebuh raya di Lembah Klang yang tidak digunakan sepenuhnya. Pengguna akan menikmati pengurangan kesesakan lalu lintas daripada perkhidmatan ini kerana pengangkutan awam ini mempunyai jumlah hentian yang terhad dan laluan khas di kawasan tol bagi melancarkan perjalanan.  Selain itu, pengguna yang mengutamakan perkhidmatan pengangkutan awam dan tidak mementingkan diri sendiri, Bagai Enau Dalam Belukar Melepaskan Pucuk Masing-Masing dapat mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya.  Kekurangan kenderaan persendirian di jalan raya secara langsungnya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kronik.  Secara implisitnya, kadar kemalangan dapat dikurangkan sekali gus. Dengan ini, diharapkan masyarakat sedar akan kelebihan pengangkutan awam yang dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.


Pengangkutan Awam sebenarnya mempunyai perkaitan yang amat kuat dengan pembinaan bandar lestari atau bandar hijau malah mengurangkan pencemaran alam. Mahu atau tidak, pengangkutan awam akan menjadi nadi penting dalam memperkasakan bandar yang bersih atau mampu mengurangkan karbon atau gas beracun di kawasan bandar. Kawasan bandar yang kurang kenderaan persendirian bermaksud akan bertambah kurangnya karbon dilepaskan. Tambahan pula, LRT, MRT dan Monorel digerakkan menggunakan tenaga elektrik. Pembinaan pengangkutan awam yang efisyen membolehkan bandar raya dibangunkan dengan sempurna. Kajian masa depan perlu dilakukan untuk memikirkan kesesakan bandaraya pada masa akan datang. Walaupun adanya bandar satelit yang membantu mengurangkan kesesakan bandar utama, perancangan pengangkutan awam yang sempurna perlu difikirkan. Kenderaan  bermotor yang padat  di kawasan bandar menyumbang kepada pencemaran udara dan pencemaran bunyi. Dari satu segi, fenomena ini menunjukkan kemajuan ekonomi sesebuah negara. Manakala dari sisi alam sekitar pula, hal ini menunjukkan kemerosotan alam sekitar. Keadaan yang bercanggah inilah yang sepatutnya diselarikan supaya kenderaan bermotor bukan sahaja boleh digunakan sebagai petunjuk kemajuan ekonomi negara, bahkan turut menyumbang kepada  kelestarian alam sekitar. Bagaimanakah kedua-duanya dapat diselarikan? Jawapannya adalah dengan memperkenalkan ‘Sistem Pengangkutan Hijau’ yakni satu sistem pengangkutan awam yang bukan sahaja menawarkan perkhidmatan yang berkualiti iaitu cepat, cekap dan selesa bahkan mengurangkan pencemaran alam sekitar. Sekiranya sistem pengangkutan hijau berjaya dilaksanakan dengan sepenuhnya di kawasan bandar tanpa gangguan daripada kenderaan persendirian dan motosikal sudah pasti matlamat untuk meningkatkan kualiti  hidup penduduk di bandar akan tercapai. Hal ini kerana gangguan dari segi tekanan, ketidakselesaan, kerumitan, kelewatan jadual perjalanan, kesesakan lalu lintas telah berjaya diatasi.  Keselesaan dan kesejahteraan penduduk dalam berinteraksi di jalan raya juga merupakan sumbangan kepada peningkatan kualiti hidup penduduk.  Izharlah bahawa sistem pengangkutan awam yang moden di negara kita mampu melestarikan alam sekitar seterusnya pencemaran udara tidak akan menjadi masalah lagi.


Sebagaimana yang kita ketahui, penggunaan pengangkutan awam moden dapat memudahkan perjalanan.  Hal ini dapat dibuktikan dengan penggunaan kapal terbang sebagai pengangkutan utama bagi masyarakat Islam yang ingin menunaikan haji.  Penggunaan kapal terbang dapat mempercepat perjalanan di samping memudahkan jemaah haji yang ingin menunaikan tuntutan rukun Islam yang kelima.  Jika dibandingkan pada tahun 1950-an, jemaah haji yang menunaikan haji akan mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk sampai ke destinasinya.  Hal ini amat menyusahkan, berbanding sekarang hanya 8 jam sahaja, seseorang itu telah sampai ke Mekah.  Situasi ini jelas menunjukkan penggunaan pengangkutan awam moden telah memudahkan perjalanan bagi jarak yang amat jauh melangkaui sempadan antarabangsa. Selain itu, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), komuter, monorel dan KLIA Ekspress telah terbukti dapat memudahkan perjalanan kerana bebas daripada kesesakan lalu lintas.  Hal ini disebabkan pengangkutan awam ini mempunyai laluan atau rel yang tersendiri. Selain itu, keistimewaan pengangkutan awam ini juga memudahkan perjalanan kerana mempunyai jadual perjalanan yang telah ditetapkan.  Sekali gus, orang ramai dapat merancang perjalanan mereka dan membuat persediaan awal seperti peribahasa Sediakan Payung Sebelum Hujan. Tegasnya, perjalanan akan menjadi lebih mudah bagi pengguna apabila pengangkutan awam ini tidak dipinggirkan.


Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya maka sebagai akhirulkalam, pengangkutan awam banyak mendatangkan manfaat dalam memudahkan manusia menjalani urusan seharian.  Semua lapisan masyarakat Malaysia digalakkan menggunakan pengangkutan awam.  Sekiranya langkah yang drastik dan efektif ini tidak diikuti, sudah tentu banyak masalah akan timbul dalam kehidupan kita di bumi yang fana ini.  Jika dikaji sehingga ke akar umbi, masalah ini berpunca daripada asap kenderaan.  Oleh itu, pihak kerajaan juga hendaklah memainkan peranan yang vital dengan menaik taraf perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia agar setanding dengan negara-negara gergasi yang lain bak peribahasa Berdiri Sama Tinggi, Duduk Sama Rendah.  Oleh hal yang demikian, anggota masyarakat perlu menyokong langkah kerajaan  yang berstrategi serampang dua mata bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Sesungguhnya, kemajuan dalam pengangkutan awam yang disokong sepenuhnya oleh rakyat Malaysia akan dapat meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan insan seiring dalam memenuhi aspirasi negara menjelang pencapaian Wawasan 2020.


Gabungan Idea pelajar 5 Berlian 2012

Friday, March 2, 2012

TAZKIRAH : KELEBIHAN DAN HIKMAH MENUNTUT ILMU



Insan berilmu dapat terima nasihat, pengajaran
Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria



SETIAP manusia dikurniakan oleh Allah akal untuk tujuan membezakannya dengan makhluk lain. Ketika manusia dijadikan, Allah meletakkan amanah besar iaitu menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Pengurniaan amanah ini meletakkan manusia ke kedudukan yang begitu tinggi melebihi makhluk Allah lain.

Oleh itu, kita sewajarnya mensyukuri anugerah diberikan Allah dan seharusnya dipergunakan dengan sebaik-baiknya demi mempertingkatkan kedudukan kita di sisi Allah.

Akal adalah sesuatu yang amat berharga bagi manusia dan tidak dikurniakan kepada haiwan mahupun benda hidup lain. Disebabkan kelebihan akal yang dikurniakan oleh Allah ini, manusia mampu untuk mencipta malah merekacipta pelbagai bentuk teknologi yang memberikan lebih banyak kemudahan dalam kehidupan.

Di dalam memelihara kemurnian dan kesihatan akal, setiap individu harus menyedari bahawa anugerah Allah yang amat berharga itu tidak akan berguna andainya tidak disusuli oleh amalan dan kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Sebagai seorang Islam, kita perlu meyakini menjaga dan memelihara akal serta menggunakan untuk mencari nikmat Allah adalah salah satu perkara wajib dan amat dituntut oleh agama. Antara kewajipan yang dituntut dalam memelihara akal ialah menuntut dan menguasai ilmu.

Kewajipan menuntut ilmu sebagai agenda penting umat Islam dijelaskan oleh Rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud:

"Mencari ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim dan Muslimah."

Bertitik-tolak daripada inilah, kita berkewajipan untuk terus memelihara akal kita dengan ilmu dan pengetahuan. Sebagai hamba Allah, kita tidak seharusnya berhenti melakukannya selagi masih bernafas dan menyedut udara segar kurniaan Allah..

Dalam memperkatakan soal ilmu, tidak dapat dinafikan bahawa orang berilmu mampu menguasai sesuatu malah manusia lain yang kurang ilmunya atau tidak berilmu. Orang berilmu dalam sesuatu bidang, tidak akan bersusah payah untuk menyelesaikan setiap masalah yang dihadapinya berbanding orang lain yang tidak berilmu.

Sebelum sesuatu langkah diambil, seseorang akan berfikir semasak-masaknya sebelum meneruskan tindakannya. Berbeza dengan orang yang tidak berilmu akan mudah terburu-buru untuk bertindak tanpa menggunakan akal fikirannya. Implikasinya, segala tindakannya itu kemungkinan akan mengundang masalah yang lebih besar.

Allah mewajibkan setiap Muslim supaya terus menuntut ilmu. Sebagai bonusnya, Allah memberikan kedudukan yang tinggi kepada mereka ini. Ia dapat dilihat di kalangan masyarakat hari ini. Mereka yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam sesuatu bidang akan dihormati dan diberikan kemuliaan di tengah masyarakat. Kadangkala, mereka juga turut diberi kepercayaan untuk menjadi jurucakap malah pemimpin dalam sesuatu perkara.

Bagi orang yang beriman, semakin tinggi ilmu diperoleh akan membuatkannya lebih tawaduk atau merendah diri. Ia menunjukkan bahawa seseorang yang berilmu akan semakin taat kepada Tuhannya. Inilah darjat yang dimiliki oleh ilmuwan Islam atau lebih tepat lagi disebut ulama.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang takut (taat) kepada Allah di kalangan hamba-Nya ialah ulama (orang yang berilmu)." (Surah al-Fathir: 28)

Daripada maksud ayat itu, dapat kita fahami bahawa ketaatan manusia kepada sesuatu perkara adalah berasaskan kepada kefahaman dan penghayatannya kepada perkara tersebut. Dan ketaatan serta penghayatan tersebut tidak dapat diperolehi melainkan dia berilmu.

Tidak dapat dinafikan, kedudukan orang berilmu dengan orang jahil sememangnya berbeza terutama dari segi pemikiran dan cara tindakannya. Maka benarlah seperti firman Allah di atas yang menjelaskan bahawa orang yang tahu memanfaatkan akalnya mampu untuk menerima segala bentuk pengajaran dan nasihat.

Sesungguhnya, orang yang berilmu bukan saja dihormati dan dikasihi oleh manusia tetapi juga oleh malaikat bahkan oleh seluruh makhluk di dunia ini. Ia dibuktikan oleh nas dan dalil al-Quran dan Hadis yang begitu banyak memperkatakan kelebihan orang yang berilmu.

Secara umumnya, perlu kita sedari bahawa ilmu yang dimaksudkan bukanlah terhad kepada ilmu yang berkaitan akhirat atau biasa disebut sebagai ilmu agama. Secara sedar atau tidak, semua ilmu yang terdapat hari ini sama ada mencakupi ilmu dunia atau akhirat, kedua-duanya adalah sunnah kepada manusia untuk mempelajari dan menguasainya.




http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Tuesday/Agama/20070115232006/Article/

PERANAN KELUARGA MENANGANI MASALAH SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA - PENULISAN SPM

Keluarga Bahagia
Dasawarsa ini, sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat Malaysia isu kebejatan moral dan keruntuhan akhlak para remaja harapan bangsa yang semakin meruncing. Sering terpampang di dada akhbar, berita-berita yang menguris hati melibatkan remaja seperti pergaulan bebas, merokok, melepak dan membuang anak. Masyarakat menuding jari sesama sendiri menyalahkan orang lain. Masakan pokok bergoyang, oleh itu pasti terdapat faktor-faktor yang menyebabkan hal ini terus membarah dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Namun, ibarat meludah ke langit, terkena batang hidung sendiri apabila ada yang ingin menyalahkan remaja yang baru berumur setahun jagung setampuk pinang. Setiap penyakit ada penawarnya, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Maka, jawapan yang dicari-cari untuk permasalahan ini ialah keluarga memainkan peranan yang penting dalam menangani masalah yang semakin hari semakin parah ini.

Antara peranan keluarga dalam menangani polemik ini termasuklah memperkukuh institusi keluarga. Institusi keluarga sebagai institusi tertua di dunia seyogianya mempraktikkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Hal ini berlaku demikian kerana nilai-nilai murni adalah vital kepada seseorang agar tidak terjebak dengan perkara atau unsur-unsur yang negatifnya. Misalnya , seorang remaja yang berbudi bahasa dan jujur pasti tidak akan merokok kerana kejujurannya dan janjinya terhadap ibu bapa. Dengan sifat amanah, remaja itu pasti tidak akan terikut-ikut dengan anasir negatif kerana berpegang pada amanatnya kepada nusa dan bangsa untuk menjadi pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja yang mempraktikkan nilai-nilai murni dalam kehidupan pasti menyedari tanggungjawabnya dalam mendukung dan seterusnya melestarikan Wawasan 2020. Tokoh ilmuwan, Hamka pernah mengatakan bahawa, kekayaan seseorang itu terletak pada tingginya akhlak dan budi bahasanya bukan pada harta dan pakaiannya. Oleh itu, dapatlah disimpulkan di sini bahawa nilai-nilai murni merupakan elemen penting dalam diri setiap insan yang wajar dipupuk dari kecil oleh institusi keluarga kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Nilai-nilai murni dapat menjadi benteng ampuh dan utuh sekukuh Tembok Besar China daripada sebarang anasir-anasir luar yang menerjah.

Selain itu, ahli keluarga terutamanya ibu bapa berperanan menunjukkan contoh dan teladan yang baik. Hal ini demikian kerana, ibu bapa seyogianya membetulkan kekhilafan diri sebelum membetulkan anak-anak agar tidak seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget. Bak kata peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya dan jika alur di hulunya bersih, pasti air di muaranya bersih. Hal ini secara eksplisitnya menunjukkan bahawa jika ibu bapanya baik maka anak-anaknya juga baik, kerana bapa borek anak rintik. Oleh itu, ibu bapa dan ahli keluarga yang lain wajar menunjukkan contoh dan teladan yang wajar diikuti dan mampu dibanggakan. Selain itu, seorang ayah tidak wajar menegur anaknya yang merokok jika mereka sendiri yang menunjukkan contoh sedemikian. Masakan anaknya mendengar nasihat yang boleh ditujukan semula kepada bapanya. Namun, itulah realitinya, ayah dan anak sama-sama pula merokok di luar rumah. Oleh hal demikian, ibu bapa sewajarnya menjalankan tanggungjawabnya sebagai suri teladan yang unggul dengan menunjukkan contoh yang berhemah dan berwibawa .

Kasih sayang daripada ibu bapa
Seterusnya, peranan keluarga bagi menangani masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja yang kian membarah dalam masyarakat ialah memberikan kasih sayang yang secukupnya. Dalam era globalisasi ini, ibu bapa berlumba-lumba mencari kekayaan duniawi sehingga mengabaikan tugasnya sebagai pendidik kepada anak-anak mereka yang belum mengenal yang mana intan, yang mana kaca. Selain itu, mereka menyangka dapat membeli kasih sayang anak-anak dengan material yang mewah seperti Ipad, Iphone, computer riba dan telefon mudah alih yang tidak tergambar kecanggihannya. Anak-anak yang hidup dalam bayang-bayang arus pemodenan yang rancak berlari berasa terabai dan tidak disayangi, lalu mencari alternatif lain yang boleh mengundang bahaya dan derita. Sebagai tamsilan, membuli orang untuk melepaskan geram dan mencari perhatian, rentetan kurangnya kasih sayang yang diperlukan untuk mengharungi hidup yang penuh mencabar pada era langit terbuka ini. Dengan kasih sayang ibu bapa yang bagaikan menatang minyak yang penuh, hidup remaja akan lebih ceria tanpa mencari alternatif yang lain bagi merawat dan menampal lubang-lubang kosong di hati anak-anak. Oleh hal demikian, kasih sayang merupakan eleman yang penting dalam diri anak-anak agar tidak berasa diabaikan dan tidak disayangi, sesungguhnya, anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya dan menentukan sama ada ingin menjadikan anak-anak mereka Majusi, Nasrani mahupun Yahudi. Ibu bapa tidak sewajarnya membiarkan anak-anak mereka seperti layang-layang terputus talinya. Berdampinglah dan lakukan perubahan bersama-sama dengan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak yang sentiasa dahagakan perhatian daripada orang tua mereka.

Dalam pada itu, ibu bapa juga berperanan mengawal perilaku anak-anak di samping mengetahui pergaulan anak bersama-sama rakannya. Hal ini demikian kerana rakan merupakan orang yang sangat berpengaruh dalam diri remaja. Setiap kata rakan-rakannya menjadi ubat yang mujarab serta azimat penting. Begitulah yang dapat digambarkan betapa besarnya pengaruh insan yang bernama rakan. Pepatah Arab ada mengatakan jika berkawan dengan si pembuat besi, maka kita akan terasa bahang api kepanasannya manakala jika berkawan dengan penjual minyak wangi, maka akan melekat bau kewangiannya kepada diri kita secara tidak langsung. Eksplisitnya, hal ini menunjukkan bahawa jika kita berkawan dengan rakan yang baik akhlaknya, dia juga akan turut bersahsiah baik tetapi sebaliknya jika tersalah pilih rakan maka akan terjebaklah ia ke kancah yang hina. Gurindam Melayu ada menyebut, carilah olehmu akan sahabat, yang boleh dijadikan ubat, cari olehmu kawan, pilih segala orang setia kawan. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam mengawal pergaulan anak-anak dengan rakannya kerana menurut seorang cendekiawan, pengaruh rakan sebaya dalam hidup seseorang remaja ialah 90 peratus, suatu angka yang besar dan dominan. Cegahlah sebelum terlambat kerana mencegah lebih baik daripada merawat kerana mantan Perdana Menteri yang keempat, Tun Dr. Mahathir pernah mengatakan bahawa bahayanya dadah bukan kepada penagihnya, tetapi kepada orang di sekitarnya.

Didikan agama yang secukupnya
Selain itu, ahli keluarga perlu memberikan didikan agama yang cukup untuk menangani masalah kebejatan moral dalam kalangan remaja. Hal ini berlaku demikian kerana agama merupakan benteng yang ampuh dan jitu dan nescaya dapat menghalang kemasukan anasir-anasir jahat. Selain itu, agama adalah perisai yang kuat agar remaja tidak terdengarkan bisikan syaitan durjana. Sesungguhnya, dengan agama akan melahirkan jati diri yang kukuh dan akhlak yang mulia jauh daripada perlakuan negatif dan tidak bermoral. Sebagai contoh, seorang remaja yang mempunyai moral yang tinggi tidak akan tergengaruh dengan panggilan-panggilan ke arah kejahatan kerana keyakinannya yang tinggi terhadap balasan perbuatan yang jahat dan balasan bagi yang berbuat kebaikan. Sesungguhnya, dengan iman yang tinggi dapat dijadikan benteng landaan ombak besar pengaruh Barat yang banyak membawa unsur negatif seperti keganasan, pergaulan bebas, minum arak dan lain-lain. Oleh itu, ibu bapa seyogianya memberikan didikan agama yang sempurna sama ada secara formal ataupun tidak formal seperti menghantar anak mereka ke kelas agama agar tidak terjebak ke dalam kancah yang penuh kemaksiatan.

Peranan keluarga dalam menangani masalah ini juga ialah dari aspek penyediaan persekitaran yang harmonis. Hal ini demikian kerana tokoh dari China, Mao Tzu pernah mengatakan bahawa kejadian asal seseorang itu ialah baik dan suci dan akan berubah disebabkan persekitarannya. Dapatlah diambil iktibar di sini, persekitaran yang selamat atau tidak selamat memberikan impak kepada anak-anak. Ibu bapa seyogianya memilih kawasan perumahan yang selamat daripada masyarakat yang mengambil enteng isu negatif seperti pergaulan bebas. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sewajarnya memilih persekitarannya yang kondusif untuk kepentingan seluruh ahli keluarga.

Natijahnya, semua pihak terutama keluarga memainkan peranan yang signifikan dalam mendepani masalah dalam dunia yang mencabar ini. Semua pihak harus bersatu padu bagai aur dengan tebing agar tidak terhantuk baru tengadah kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Sebelum nasi menjadi bubur, sebelum harapan menjadi kabur, semua pihak harus menyedari dan membuat anjakan paradigma untuk melahirkan remaja pascamerdeka yang berkualiti ke arah Wawasan 2020. Sasterawan Negara Dato' Dr Usman Awang ada menyebut, kalau ingin hidup merdeka, tidak tercapai dengan hanya berkata-kata tetapi ke hadapan maju sekata, maju bersama. Marilah bersama-sama bergabung tenaga melahirkan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara yang disegani dan bersahsiah tinggi.