Friday, July 13, 2012

SAJAK TINGKATAN 4



Soalan 2 (d) – Sajak  (Percubaan SPM 2011 - Pulau Pinang)
Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata  
Ke kedinginan yang menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati  

Mahu ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di lautan ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Tak terteroka
Yang akan kucatat
Hanya setitik dari tinta
Yang akan kupetik
Harga sebiji dari mutiara
Engkau adalah pusaka moyang
Gedung peradaban insan
Terhimpun berzaman

Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga
Di dada samudera
Tak berpantai
Betapapun kuteguk darinya
Dahaga tak pernah langsai

Shafie Abu Bakar
Antologi Harga Remaja
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009


(i) Siapakah penyajak dalam rangkap terakhir? [2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang wajar dilakukan untuk menarik minat remaja ke perpustakaan? [4 markah]

(iii) Nyatakan tiga pengajaran yang ingin disampaikan melalui sajak di atas? [3 markah]





Monday, July 9, 2012

PENULISAN BAHAGIAN B DIMENSI KELUARGA (1)




PERANAN KELUARGA DALAM MELAHIRKAN MASYARAKAT PENYAYANG DALAM KALANGAN ANAK-ANAK


Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, sedasarwasa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang peranan ibu bapa dalam melahirkan masyarakat yang penyayang. Obligasi yang wajib dipikul oleh ibu bapa semakin kerap dipaparkan melalui dada-dada media cetak mahupun media elektronik. Pembentukan masyarakat penyayang sering dipolemikkan dan dijadikan agenda utama untuk dibahaskan di parlimen ataupun di warung-warung kopi. Pembentukan masyarakat penyayang dianggap amat penting kerana hal ini merupakan asas bagi masyarakat untuk mengamalkan sikap sayang-menyayangi, hormat-menghormati, bekerjasama, bantu-membantu, dan pemupukan nilai-nilai murni yang lain. Masyarakat penyayang ini telah menjadi impian negara kita untuk merealisasikan Wawasan 2020. Oleh itu, terdapat pelbagai langkah pragmatik dan efektif yang perlu diambil oleh ibu bapa untuk melahirkan masyarakat penyayang.

Bapa borek anak rintik merupakan peribahasa yang sering berlegar-legar dan bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia. Daripada realiti ini, dapatlah kita katakan bahawa ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik. Walau bagaimanapun, terdapat juga ibu bapa yang berperangai buruk dan menunjukkan sikap negatif seperti merogol, mendera dan sebagainya. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu menjadi entiti mithali kepada anak-anak yang masih belum keras ubun-ubunnya sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sejak kecil lagi, ibu bapa perlu menampilkan sikap penyayang kepada anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak menziarahi orang tua di kampung. Lama-kelamaan anak-anak akan mengikut tabiat yang positif ini dan masyarakat yang penyayang akan dapat dilahirkan. Tegasnya, peranan ibu bapa amat penting dalam melahirkan masyarakat yang penyayang.


Seperti yang telah dinyatakan, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting kepada anak-anak supaya dapat melahirkan masyarakat yang penyayang. Ibu bapa sewajarnya memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam gejala yang negatif. Ibu bapa boleh meluangkan masa untuk menemani anak-anak mereka pada masa lapang dan merancang aktiviti yang berfaedah bersama-sama anak-anak mereka. Perkara ini amat berkesan berbanding ibu bapa yang hanya tahu bekerja sahaja dan memenuhi segala permintaan anak mereka tanpa meluangkan masa untuk anak-anak mereka. Biar kita ambil contoh, ibu bapa boleh cuba berkomunikasi dengan anak-anak mereka dan memahami masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka serta memberikan sokongan kepada mereka supaya mereka dapat menyelesaikan masalah. Dengan berbuat sedemikian, jalinan ukhuwah antara ahli-ahli keluarga akan menjadi lebih baik dan anak-anak akan dapat merasai kasih sayang yang secukupnya daripada keluarga mereka serta tidak terlibat dengan gejala negatif semata-mata untuk meraih perhatian daripada ibu bapa. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa yang berbunyi bagai menatang minyak yang penuh. Oleh itu , ibu bapa mesti memberikan perhatian terhadap anak-anak dan memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak mereka untuk melahirkan masyarakat yang penyayang .


Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah ibu bapa harus memberikan didikan agama atau didikan moral yang secukupnya kepada anak-anak. Ibu bapa perlulah menekankan kepentingan ajaran agama terhadap pembentukan sahsiah remaja kerana didikan agama dan moral dapat menjamin kekuatan iman remaja agar mereka dapat membezakan antara perkara yang baik dengan perkara yang buruk. Seterusnya, mendorong remaja mengawal tingkah laku mereka supaya tidak melakukan perkara-perkara yang bukan sahaja menjatuhkan maruah diri malah mencalar maruah keluarga. Tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa tanggungjawab mereka tidak lebih daripada menyekolahkan dan menyediakan makan minum anak-anak serta tempat tinggal memang tidak benar sama sekali. Mereka juga harus memastikan anak-anak mereka mendapat didikan agama atau didikan moral yang sempurna supaya mereka mempunyai pemikiran yang positif. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk memberikan didikan agama kepada anak-anak sejak mereka masih kecil lagi. Didikan agama yang dibekalkan kepada remaja dapat memastikan bahawa anak-anak mereka mempunyai benteng jati diri yang kukuh sekukuh Tembok Besar China untuk menolak ajakan rakan-rakan yang tidak bermoral untuk melibatkan diri dalam kebejatan sosial yang mampu mencemarkan imej diri dan merosakkan nama baik sesebuah institusi keluarga. Kurangnya penglibatan remaja dalam kancah sosial merupakan agenda yang boleh mempengaruhi sekali gus melahirkan masyarakat penyayang dengan secepat mungkin dan masyarakat Malaysia dapat dijadikan suri teladan yang baik kepada masyarakat dunia.


Pada realitinya, dewasa ini memang sukar dinafikan ibu bapa juga perlu mendedahkan anak-anak mereka dengan aktiviti masyarakat setempat dalam melahirkan masyarakat penyayang. Dalam menyoroti hal ini, ibu bapa tidak seharusnya membiarkan anak-anak mereka menjadi seperti katak di bawah tempurung dengan hanya membataskan pergerakan anak mereka di dalam rumah sahaja dek takut mereka akan terlibat dengan gejala negatif di luar rumah. Sebagai analoginnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan pihak tertentu di kawasan perumahan. Hal ini sudah pasti dapat menerapkan nilai-nilai murni seperti bekerjasama dan bersatu padu antara anak-anak dan ahli-ahli komuniti setempat. Tidak mustahil rasanya jika prakarsa ini dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan anak-anak kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Anak-anak akan dapat menimba pengalaman seperti menghargai dan dihargai apabila mereka bekerjasama dalam aktiviti bergotong-royong bersama-sama penduduk setempat kerana mereka akan saling beramah mesra dan saling membantu dalam menyiapkan tugas masing-masing. Deduksinya, pendedahan anak-anak terhadap aktiviti masyarakat setempat merupakan salah satu elemen penting bagi melahirkan masyarakat penyayang.


Sebagai menggulung segala yang diperkatakan di atas, jelaslah bahawa terdapat banyak prakarsa pragmatik yang boleh dilaksanakan dalam mewujudkan masyarakat penyayang di Malaysia. Bagi menyingkap hal ini, ibu bapa merupakan tonggak paling utama dalam menggerakkan jentera keluarga secara bersepadu agar hal ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Pelaksanaan prakarsa oleh ibu bapa ini perlulah dilakukan secara istiqamah bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam apatah lagi melepaskan batuk di tangga jika benar-benar mahu merealisasikan visi ini. Natijahnya, masyarakat penyayang di Malaysia mampu dilahirkan seterusnya mewujudkan suasana yang aman lagi harmoni di negara ini. Realitinya, kejayaan ibu bapa dalam merealisasikan visi kudsi ini iaitu dalam membentuk masyarakat penyayang kelak sebenarnya mampu menjadi khazanah berharga untuk memajukan nusa dan bangsa.




[925 patah perkataan]
Hasil nukilan kumpulan Fatheen Asyila Azman Chan