Tuesday, July 30, 2013

AMALAN MEMBACA BERMULA DARI RUMAH


Dalam era ledakan informasi ini, masyarakat Malaysia seharusnya memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan sebagai modal bagi mengharungi cabaran sarwajagat.   Dalam dunia kompetitif ini, generasi muda harus berusaha untuk meningkatkan diri mereka dari segi ilmu pengetahuan bagi meraih kejayaan.  Sebagaimana yang kita ketahui, terdapat hadis Rasulullah S.A.W yang berbunyi, tuntutlah ilmu hingga ke negeri  China. Hadis ini menerangkan betapa pentingnya menuntut ilmu pengetahuan. Sesungguhnya, ilmu itu pelita hidup. Tanpa ilmu di dada, kehidupan seseorang itu akan terumbang-ambing bagai layang-layang terputus talinya. Oleh itu, salah satu cara untuk memperoleh ilmu pengetahuan adalah melalui amalan membaca. Hal ini demikian kerana, membaca merupakan jambatan ilmu. Menyedari hakikat ini, setiap individu perlu sedar bahawa membaca merupakan kunci kejayaan. Umum mengetahui bahawa, amalan membaca seharusnya dijadikan sebagai satu kebiasaan atau rutin untuk dilakukan. Namun hakikatnya, amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia semakin luntur dan seakan-akan tenggelam dalam arus pembangunan. Mampukah seseorang itu berjaya tanpa mempunyai tabiat membaca? Siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab menyemai budaya membaca dalam diri anak-anak muda? Oleh hal yang demikian, langkah-langkah yang efektif bagi memupuk amalan membaca yang mewarnai fokus perbincangan bakal dikupas dengan lebih terperinci demi kepentingan bersama.


Suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah sebuah keluarga merupakan asas kepada sesebuah masyarakat. Jadi, ibu bapa merupakan aset signifikan dalam memupuk amalan membaca dalam diri anak-anak. Hal ini adalah kerana, sebahagian besar peratusan pembentukan diri anak-anak bermula dari rumah. Dalam hal ini, ibu bapa merupakan insan yang paling akrab dan dekat dengan anak-anak. Semasa mereka kecil, ibu bapa perlu menerapkan budaya membaca dalam jiwa mereka kerana pada masa ini mereka lebih mudah dibentuk dan dibimbing. Pepatah Melayu yang mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya amat sesuai sekali ditujukan kepada ibu bapa. Sebenarnya, pelbagai inisiatif boleh digunakan oleh ibu bapa untuk menyemai amalan membaca dalam diri anak-anak. Seharusnya, para ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka. Ibu bapa ibarat cermin kepada anak-anak jadi, setiap tingkah laku dan perbuatan ibu bapa akan diikuti oleh anak-anak. Sesuatu kebaikan tidak hanya perlu disuruh dengan kata-kata sebaliknya, perlu dibuktikan dengan perbuatan. Lantaran itu, ibu bapa wajar mempamerkan sikap yang positif agar dapat dicontohi oleh anak-anak. Biar kita ambil contoh, sekiranya ibu bapa membaca, anak-anak juga akan terdorong untuk membaca. Situasi ini bertepatan sekali dengan peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sehubungan dengan itu, anak-anak akan lebih berinspirasi jikalau hadirnya ibu bapa mereka di samping mereka untuk membaca buku bersama-sama. Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa menjadi idola terbaik dalam menerapkan nilai positif dalam diri anak-anak terutama amalan membaca.

Bukan itu sahaja, budaya membaca juga wajar diterapkan oleh ibu bapa dengan menyediakan sudut bacaan di rumah. Misalnya, usaha mewujudkan perpustakaan mini di rumah merupakan satu contoh yang terbaik untuk menyemai  tabiat membaca pada peringkat awal.  Sekiranya ibu bapa tidak mampu untuk menyediakan satu bilik khas, satu sudut bacaan di dalam bilik anak-anak juga sudah memadai sebagai tempat untuk mereka menbaca.  Namun, suasana bilik bacaan atau sudut bacaan ini mestilah kreatif, menarik dan selesa bagi mengukir minat mereka membaca. Suasana bilik mahupun sudut bacaan yang kondusif mampu merangsang minat anak-anak untuk membaca ketika berada di rumah. Selain itu, sudut ini juga perlu dilengkapi dengan berbagai-bagai jenis buku sama ada ilmiah, cerita mahupun ensiklopedia yang menarik. Apabila terdapat bahan bacaan yang banyak di rumah, secara tidak langsung boleh membantu memperkaya kosa kata anak-anak di samping membantu meningkatkan proses kemantangan mereka. Bertitik tolak daripada itu, amalan membaca akan menjadi hobi anak-anak pada waktu senggang. Lantas, masa yang terluang dapat diisi dan dimanfaatkan dengan aktiviti yang berfaedah serta tidak membazir masa persis peribahasa masa itu emas. Lama-kelamaan, minat membaca dalam diri mereka akan meningkat kerana mereka berasa seronok dan bersemangat untuk membaca buku. Memang benarlah bahawa ibu bapa bertanggungjawab dalam memainkan peranan supaya anak-anak membesar dalam suasana dan budaya membaca sejak kecil.


Selain menyediakan sudut bacaan, ibu bapa perlu juga menggunakan pendekatan yang bijak iaitu memikirkan cara untuk menarik minat anak-anak mereka terhadap amalan membaca. Antara inisiatif yang dapat dilakukan ialah ibu bapa boleh menghadiahkan buku kepada anak-anak untuk menyemarakkan budaya ilmu dalam diri mereka. Sebagai analoginya, ibu bapa boleh membeli buku sebagai hadiah untuk anak-anak sempena kejayaan mereka dalam akedemik mahupun sempena hari lahir mereka. Bagi anak-anak yang memperoleh keputusan yang cemerlang, kejayaan mereka merupakan buah tangan yang amat bermakna bagi ibu bapa. Oleh hal yang demikian, ibu bapa wajar memberikan ganjaran sebagai simbol penghargaan terhadap usaha mereka selama ini. Perkara ini tentu sekali membuatkan anak-anak gembira dan rasa disayangi oleh ibu bapa mereka. Apabila anak-anak rasa dihargai, mereka tetap akan cuba membaca buku tersebut meskipun buku itu tidak menarik. Tanpa disedari, dengan berbuat sedemikian, ibu bapa dapat memancing minat anak-anak untuk membaca sedikit demi sedikit. Namun begitu, bagi menarik minat anak-anak membaca, buku yang dihadiahkan mestilah menarik dan bersesuaian mengikut usia mereka. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menghadiahkan buku cerita, buku ilmiah ataupun buku rujukan yang berkualiti untuk membantu anak-anak dalam pelajaran. Hal ini pasti akan membakar semangat mereka untuk membaca buku hasil daripada pemberian ibu bapa mereka. Natijahnya, hasil suntikan semangat melalui pemberian buku tersebut, minat untuk membaca dapat dipasakkan dalam jiwa anak-anak.

Di samping menghadiahkan buku, minat membaca dalam diri anak-anak dapat disuburkan dengan membawa mereka ke perpustakaan awam. Sebagaimana yang kita ketahui, perpustakaan merupakan gerbang ilmu pengetahuan. Dengan ini, anak-anak dapat didedahkan dengan pelbagai jenis bahan bacaaan di perpustakaan berbanding di rumah. Oleh sebab di perpustakaan terdapat banyak buku, anak-anak mempunyai pelbagai pilihan untuk membaca buku yang digemari. Sekiranya mereka berkunjung ke perpustakaan, mereka dapat menghilangkan rasa bosan apabila hanya membaca buku di rumah. Sekali sekala tidak salah ibu bapa bertukar angin dan membawa  anak-anak melayari bahtera ilmu di perpustakaan. Oleh itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke perpustakaan awam semasa cuti sekolah atau pada cuti hujung minggu. Jika waktu peperiksaan hampir tiba, anak-anak boleh meluangkan masa di perpustakaan bagi mendapatkan pelbagai buku rujukan di samping dapat menelaah pelajaran dengan tenang tanpa gangguan. Selain dapat meningkatkan pengetahuan anak-anak, ibu bapa turut dapat meluangkan masa bersama dengan mereka. Sesungguhnya, selangkah ke perpustakaan, sejuta ilmu pengetahuan bakal diperoleh. Tegasnya, memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa dengan membawa anak-anak ke perpustakaan awam, amalan membaca dapat dipupuk dan disemai dalam hati sanubari mereka.


Umum mengetahui bahawa pada setiap tahun, pihak kerajaan pasti akan mengadakan pameran mahupun pesta buku secara besar-besaran. Pameran yang julung-julung kali diadakan seumpama ini dapat mempromosikan tabiat membaca kepada anak-anak. Hal ini disebabkan anak-anak lebih gemar menghadiri pesta buku kerana disitu terdapat pelbagai jenis buku daripada pelbagai genre.  Misalnya, Putra World Trade Centre atau dikenali sebagai PWTC yang berpusat di Kuala Lumpur sering dipilih sebagai lokasi untuk mengadakan festival buku pada setiap tahun.   Sehubungan dengan itu, para ibu bapa seharusnya, tidak melepaskan peluang keemasan yang  terbentang di hadapan mata untuk membawa anak-anak mengunjungi pameran buku tersebut. Hal ini demikian kerana, di sini, pelbagai buku boleh didapati dengan potongan harga yang istimewa.  Jadi, pengunjung-pengunjung yang datang bakal memperoleh diskaun bagi setiap buku yang dibeli di situ. Situasi ini pastinya membuat anak-anak rambang mata kerana terdapat pelbagai pilihan buku-buku dan boleh didapati dengan harga yang jauh lebih murah berbanding di toko-toko buku yang lain. Memang benarlah bahawa ibu bapa mampu menyemarakkan budaya membaca dalam diri anak-anak dengan membawa mereka ke pesta mahupun pameran buku.

Sebagai menggulung segala yang diperkatakan di atas, ibu bapa menggalas tanggungjawab yang besar bagi menanam tabiat membaca dalam jiwa anak-anak. Oleh itu, pendedahan tentang faedah dan peri pentingnya amalan membaca kepada anak-anak merupakan antara ramuan untuk membentuk budaya mencintai ilmu.  Seharusnya, setiap individu perlu sedar bahawa ilmu pengetahuan merupakan kayu ukur kemajuan dalam sesebuah negara. Membaca perlu dijadikan prioriti negara demi menjana masyarakat yang kaya ilmu dan berdaya fikir.  Pada masa yang sama, peranan segenap lapisan masyarakat tidak boleh disisihkan dalam usaha membentuk acuan generasi baru yang memiliki modal intelek dan daya saing yang tinggi. Sekiranya masyarakat Malaysia rajin membaca, tidak hairanlah pada suatu hari nanti, impian Malaysia untuk melahirkan rakyat yang arif lagi budiman akan menjadi realiti.  Secara tidak langsung, amalan membaca dapat mencelikkan minda masyarakat Malaysia supaya tidak ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan. Intihanya, amalan membaca perlu disematkan di dalam hati sanubari setiap individu untuk menjana kemajuan meningkatkan kualiti hidup. Mudah-mudahan, agenda kerajaan bagi melahirkan rakyat yang maju dan saintifik dapat direalisasikan dan bukan sekadar omong-omong kosong.
[1351 patah perkataan]

NUR HIDAYAH BINTI MAIL 
5BERLIAN – SMKIE (2013)

Monday, July 29, 2013

GERAK GEMPUR OPS 93 (2013) - JPNJ / BAHAGIAN B : SOALAN 4

Warisan budaya bangsa sesebuah negara wajar diketengahkan sebagai tarikan pelancong dari luar negara.
Kemukakan saranan anda tentang usaha-usaha yang harus dilakukan oleh negara tersebut.


        Setiap negara mempunyai keunikan warisan budaya bangsanya yang tersendiri. Warisan budaya bangsa merupakan adat dan cara hidup sesebuah kaum atau bangsa yang diamalkan sejak turun-temurun. Adat dan budaya ini selalunya diajar oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi untuk membiasakan anak-anak itu dengan budaya bangsa mereka. Warisan budaya bangsa mestilah dipertahankan dan diamalkan serta perlulah diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain agar khazanah itu tidak pupus ditelan zaman. Adat istiadat sesebuah bangsa itu perlulah dilaksanakan dengan meriah agar generasi muda pada zaman ini dapat mengetahui budaya kaum masing-masing seperti perayaan. Oleh hal yang demikian, warisan budaya bangsa perlulah dijaga dengan baik untuk menyumbang kepada ekonomi negara. Sebagai contoh, keunikan dan keharmonian budaya dan adat masyarakat Malaysia boleh dijadikan aset penarik pelancong dari luar negara untuk melawat negara kita yang mempunyai kepelbagaian  adat dan kebudayaan ini. Pihak kerajaan perlulah mengatur strategi yang mantap dalam mengeksploitasikan warna-warni citra kebudayaan masyarakat dan adat negara sebagai alat tarikan pelancong sekali gus meningkatkan sektor pelancongan negara.

  Antara usaha yang boleh dilaksanakan adalah dengan mempromosikan negara di media massa kerana langkah ini merupakan cara terpantas dan mudah untuk berhubung dengan negara luar.  Kementerian Pelancongan Malaysia hendaklah mengemukakan idea-idea yang bernas bagi mempromosikan warisan budaya negara agar dapat menarik minat pelancong asing untuk melawat negara kita. Sebagai contoh, Malaysia telah lama melancarkan kempen Cuti-Cuti Malaysia untuk membantu meningkatkan pendapatan negara dari sektor pelancongan. Iklan mengenai keunikan budaya dan adat masyarakat setempat perlulah disiarkan di saluran televisyen antarabangsa dalam usaha mempromosikan negara.  Contoh yang boleh diambil ialah perkahwinan anak perempuan Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali dengan gelaran Chef Wan Ismail yang penuh dengan adat istiadat perkahwinan kaum Melayu ditayangkan oleh TV Astro saluran Asean sedikit masa dahulu.  Masyarakat berbilang kaum yang hidup dengan aman dan harmoni di bawah satu bumbung yang sama, penuh dengan pelbagai adat dan kebudayaan yang bervariasi juga perlu ditonjolkan untuk melambangkan perpaduan rakyat yang jitu.  Selain televisyen, internet juga merupakan antara kaedah terpenting dalam mempromosikan negara untuk menarik minat pelancong kerana kita boleh berhubung dengan masyarakat di seluruh dunia melalui internet.

    Selain itu, pihak kerajaan mahupun swasta hendaklah memperbanyak program ‘homestay’ di negara kita.  Apabila pelancong asing tinggal di ‘homestay’ tempatan, mereka akan mempelajari adat dan budaya tradisional  amalan masyarakat setempat yang sememangnya unik dan menarik. ‘Homestay’ yang selalunya dilaksanakan di kawasan perkampungan dapat membantu mengetengahkan budaya bangsa masyarakat tersebut kerana kebanyakan mereka yang menetap di kawasan perkampungan masih mengamalkan budaya dan adat yang diturunkan dari nenek moyang mereka, tidak seperti kebanyakan penduduk bandar yang sering kali terpengaruh dengan budaya Barat yang  tidak sesuai dengan etika budaya Timur. Tuan rumah kepada ‘homestay’ tersebut boleh mendedahkan kepada para pelancong mengenai cara hidup, cara makan dan cara mereka berkomunikasi antara satu sama lain.  Perkara seperti ini akan menarik minat pelancong asing untuk mendalami setiap adat yang diamalkan dan dipraktikkan oleh mereka dalam aktiviti seharian mahupun perayaan sesuatu kaum. Para pelancong juga boleh diajar untuk memasak makanan tradisional masyarakat setempat agar mereka lebih tertarik dengan menu harian negara itu.

  Seterusnya, kepelbagaian makanan yang memenuhi pelbagai selera daripada masyarakat yang berbilang kaum hendaklah dijadikan elemen untuk menarik minat pelancong. Makanan tradisional di sesebuah negara itu hendaklah dieksport ke negara luar untuk berkongsi tentang warisan budaya bangsa tempatan.  Santapan tradisional juga perlu dipromosikan dan didemontrasikan ke peringkat antarabangsa agar pelancong asing akan berminat untuk melawat Malaysia. Sebagai contoh, pembuatan perencah rendang atau tempoyak di Malaysia harus dipergiat lagi untuk diperluas ke pasaran global kerana makanan-makanan itu merupakan makanan tradisional di Malaysia dan perlu diketengahkan di mata dunia dalam usaha menarik minat pelancong dari negara luar untuk datang melawat Malaysia. Makanan tradisional di Malaysia telah menjadi tarikan ramai pelancong sejak dulu lagi kerana variasinya daripada manis hinggalah pedas disebabkan wujudnya masyarakat berbilang kaum yang mempunyai budaya makanan dan warisan masakan yang berbeza antara satu sama lain dan mempunyai keunikan yang tersendiri.

    Di samping itu, industri seni tradisional di sesebuah negara itu mestilah ditekankan lagi dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan. Produk seni halus tradisional hendaklah diiklankan serta dipasarkan ke peringkat antarabangsa.  Seni tradisional yang berbentuk persembahan pula perlu sering kali diadakan untuk menunjukkan keunikan dan tarikan sesebuah bangsa tersebut. Persembahan oleh penari-penari atau pelakon tempatan hendaklah dipromosikan ke luar negara untuk menarik minat pelancong asing melawat Malaysia. Sebagai contoh, persembahan tarian zapin ataupun wayang kulit hendaklah diadakan di luar negara sebagai wahana untuk menarik minat pelancong dari luar negara dengan kelainan budaya di Malaysia justeru dapat meletakkan industri seni tradisional ke mata dunia. Kain-kain batik serta songket yang ditenun halus oleh masyarakat Malaysia yang sangat berbakat hendaklah dieksport sehingga ke peringkat antarabangsa agar penduduk asing berminat dengan produk buatan Malaysia seterusnya ingin melawat sendiri negara Malaysia yang indah ini.   Oleh hal yang demikian, industri seni tradisional di sesebuah negara itu harus ditingkatkan dalam usaha menarik minat pelancong dari luar negara.

  Konklusinya, warisan budaya bangsa di sesebuah negara itu penting dalam usaha memajukan sektor pelancongan. Setiap individu seharusnya menghargai dan mempertahankan serta mengamalkan budaya dan adat kaumnya sendiri agar warisan itu akan terus kekal selamanya bak peribahasa tak lapuk dek hujan, tak lekang dek pasan.  Pihak kerajaan seharusnya memanfaatkan warisan budaya bangsa yang berwarna-warni dan sememangnya mampu memikat hati para pelancong untuk meningkatkan pendapatan negara seterusnya menaikkan taraf hidup rakyat agar mereka dapat lebih menyumbang tenaga dan masa untuk membantu memajukan nusa yang tercinta justeru merealisasikan gagasan Wawasan 2020 yang dikemukakan oleh Tun Dr. Mahathir itu. Oleh hal yang demikian, warisan budaya bangsa ternyata merupakan elemen utama dalam usaha menjadi negara maju dan perlu dikekalkan sehingga akhir zaman.
[911 patah perkataan]

Karya;
Mas Dinah Farisah – 5 Berlian 2013


Saturday, July 27, 2013

SOALAN GERAK GEMPUR OPS 93 - JPNJ. BAHAGIAN B SOALAN 2


PERANAN PIBG MEMBANTU MENINGKATKAN KECEMERLANGAN AKADEMIK, SAHSIAH DAN KOKURIKULUM MURID-MURID DI SEKOLAH.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan elemen penting dalam sesebuah institusi pendidikan. Hubungan yang erat antara ibu bapa dan guru berupaya meningkatkan kecemerlangan murid dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum.  Sering kali kita lihat di dada-dada akhbar bahkan sudah lali di telinga tentang isu ibu bapa menyerang guru dipolemikkan dan menjadi tajuk utama dalam akhbar harian.   Pihak sekolah pula mempertikaikan tindakan ibu bapa yang menuduh pihak sekolah tanpa usul periksa terlebih dahulu punca anak mereka didenda ataupun dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak sekolah.  Fenomena ini tidak seharusnya terjadi jika  wujudnya persefahaman dan kejelekitan hubungan antara PIBG dengan pihak sekolah. Persoalannya kini, apakah prakarsa atau kerjasama yang dapat dijalinkan bagi mencapai kata sepakat sejajar dengan mutiara kata, Bersekutu membawa mutu?   Oleh itu, segala elemen penting untuk meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum murid akan dikupas dengan lebih terperinci lagi untuk kepentingan semua pihak.

Sebagai lanjutan huraian di atas,  perkara dominan yang harus dititikberatkan ialah kerjasama ibu bapa dan guru dalam bidang akademik. Sebagai contohnya, guru boleh memaklumkan tahap  progresif akademik murid kepada ibu bapa mereka pada setiap akhir peperiksaan.   Apabila ibu bapa sudah tahu tahap pencapaian akademik anak-anak mereka,  melalui perbincangan dalam mesyuarat PIBG, pelbagai insiatif boleh diambil bagi menangani masalah pencapaian akademik anak-anak mereka.  PIBG boleh memberikan saranan bagi menambahbaikkan program kecemerlangan yang telah dirancang oleh pihak sekolah.   Melalui perbincangan profesionalisme inilah akan lahirnya pelbagai program kecemerlangan seperti  Program Menuju Puncak,  Program Jejak Gemilang dengan menjemput penceramah yang mahir dan berpengalaman dalam mata-mata pelajaran tertentu.  Keprihatinan dan kebertanggungjawaban inilah akan dapat melonjakkan GPS sekolah seterusnya kegemilangan dalam pencapaian akademik akan terserlah.  Seterusnya, masa depan negara yang bakal diterajui oleh belia-belia negara sudah pasti bukan lagi menjadi impian semata-mata. Jelaslah bahawa peranan PIBG dalam membantu meningkatkan kecemerlangan akademik murid tidak perlu lagi dipertikaikan terutamanya sumbangan dalam bentuk saranan idea yang bernas mahupun dana kewangan.

Lontaran idea yang seterusnya, kepentingan Persatuan Ibu Bapa dan Guru dalam mendidik sahsiah anak nusa bangsa.  Pada realitinya,  guru merupakan mata dan telinga ibu bapa di sekolah.   Hal ini kerana rata-rata murid menghabiskan satu  per tiga masanya di sekolah termasuklah kelas tambahan,  aktiviti sukan dan sebagainya.   Biar kita ambil contoh yang paling dekat dengan kita, murid yang bermasalah dari segi sahsiahnya lazimnya akan dipanggil oleh guru disiplin. Obligasi guru pula adalah dengan memaklumkan tingkah laku anak mereka di sekolah.  Melalui Mesyuarat Agung PIBG, segala permasalahan disiplin murid yang menjadi agenda perbincangan turut dibahaskan  dengan pelbagai usul dikemukakan oleh ibu bapa. Pada masa yang sama, PIBG tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab membentuk keperibadian yang syumul anak-anak mereka kepada pihak sekolah sahaja.  Sebagai contohnya, pada Hari Terbuka ibu bapa seharusnya mengambil peluang keemasan ini untuk bertemu dan berbincang dengan guru bagi mengetahui perkembangan semasa anak mereka di sekolah lebih-lebih lagi tentang masalah disiplin anak mereka.  Persis mutiara kata yang mengatakan bahawa kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.   Peribahasa tersebut menjelaskan bahawa setiap perbuatan itu ada sebab dan musababnya.   Ibu bapa seharusnya mendidik anak mereka sejak usia mereka setahun jagung, darah setampuk pinang lagi. Hal ini bertepatan dengan peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya.   Izharlah bahawa Persatuan Ibu Bapa dan Guru memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan kecemerlangan sahsiah murid.

Peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru dalam memantapkan kokurikulum tidak seharusnya dipandang sebelah mata.  Kegiatan kokurikulum merupakan aktiviti di luar bilik darjah yang amat digalakkan untuk penyertaan semua pelajar.  Selain menyahut seruan kerajaan 1Murid 1Sukan,  kegiatan kokurikulum juga akan mencergaskan fizikal dan mencerdaskan minda murid-murid di sekolah. Sebagai analoginya, PIBG boleh memberikan komitmen yang padu dalam penganjuran Hari Sukan Tahunan dengan menjemput semua ibu bapa hadir untuk memberikan sokongan dan memeriahkan Hari Kejohanan  Sukan tersebut.  Galakan yang diberikan secara tidak langsung akan meningkatkan semangat kesukanan murid.  Hal ini demikian kerana dengan adanya ibu bapa tersayang memberikan semangat, pelajar akan terdorong dan lebih teruja untuk memenangi sesuatu acara sukan tersebut.  Guru-guru pula dapat berkenalan dengan ibu bapa pelajar sekali gus membincangkan potensi-potensi yang dapat dicungkil daripada anak mereka.  Rentetan daripada itu, bidang kokurikulum dapat ditingkatkan ke arah yang lebih cemerlang,  gemilang dan terbilang. Seharusnya kita lebih mengerti pengaruh PIBG  dalam menjayakan aktiviti kokurikulum ini melalui komitmen, sokongan padu dan galakan ibu bapa terhadap penyertaan anak-anak mereka dalam kegiatan kokurikulum ini.  Tambahan pula, pencapaian kokurikulum turut diambil kira dalam prasyarat kemasukan ke IPTA.  Jadi, ibu bapa dan gurulah yang perlu mencorakkan hala tuju mereka ke arah yang lebih baik.  Tuntasnya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru amatlah penting dalam meningkatkan kecemerlangan kokurikulum sekali gus meniupkan harapan senada dalam memenuhi aspirasi negara seiring dengan slogan ‘Majulah sukan untuk negara’.

Sudah terang lagikan bersuluh, Persatuan Ibu Bapa dan Guru berupaya membantu dalam meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum. Usahlah kita memandang enteng dengan potensi yang ada dalam wira bangsa anak-anak kita dengan mengagung-agungkan masyarakat luar umpama anak di pangkuan diletakkan, kera di hutan disusui. Oleh hal yang demikian, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru wajarlah mengambil langkah dan prakarsa yang konkrit, sistematik dan pragmatik bak peribahasa sediakan payung sebelum hujan, sebelum nasi menjadi bubur.   Sesungguhnya dengan berkat semua pihak yang saling berganding bahu bagai aur dengan tebing, bergerak seia sekata, kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum dapat direalisasikan demi menyahut Wawasan 2020 yang bakal menjelang tiba sekali gus melahirkan rakyat yang sihat sejahtera serta  berketerampilan dalam segala bidang.
[861 patah perkataan]

Sumbangan daripada,
Putri Aliah – 5 Berlian 2013/SMKIE.

Friday, July 26, 2013

SOALAN GERAK GEMPUR OPS 93 JPNJ

PERANAN SAYA DALAM MEMANFAATKAN FAEDAH LAMAN SOSIAL.              


                  Pada era perindustrian yang serba mencabar akal dan minda kita, isu berkaitan laman sosial sering dipolemikkan di warung-warung kopi mahupun di parlimen. Laman sosial menjadi wahana penting dalam kehidupan seharian mereka memandangkan masyarakat yang tua mahupun yang muda tertarik dengan laman sesawang ini.  Perumpamaan hubungan manusia dengan laman sosial bagaikan lagu dan irama yang tidak dapat dipisahkan.  Begitulah sebahagian lirik lagu yang pernah dipopularkan oleh  P. Ramlee suatu ketika dahulu.  Tambahan pula, dalam dunia yang dilingkari sains dan teknologi, laman sosial makin menjadi kegilaan masyarakat kini terutamanya remaja sehingga sanggup menghabiskan masa berjam-jam di depan komputer semata-mata untuk melayari laman sosial. Antara laman sosial yang sering menjadi pilihan pengguna di internet ialah ’Facebook’ , ’Wechat’ , ’Line’ , ’Instagram’ dan sebagainya. Manakala laman sosial ’Facebook’ merupakan laman sosial yang mendapat tempat di hati masyarakat kini. Statistik yang sahih menunjukkan bahawa terdapat 1.5 juta orang yang melayari ’Facebook’ dalam sehari. Oleh hal yang demikian, peranan saya dalam memastikan laman sosial memberikan pelbagai faedah kepada saya yang menjadi fokus perbincangan saya pada hari ini akan dihuraikan dan dikupaskan secara terperinci demi kebaikan kita bersama.

                   Sebagai pembuka mukadimah pembicara, saya ingin melontarkan peranan saya dalam memastikan laman sosial tersebut memberikan pelbagai faedah kepada saya. Namun begitu, apakah yang hendak saya lakukan untuk memastikan saya memperoleh kebaikan bukannya keburukan semasa melayari laman sosial?  Dalam meninjau ranjau dunia yang serba rencam ini, pelbagai jenayah sosial telah meningkat dari hari ke hari akibat ketiadaan kawalan di laman sosial di samping dek iman yang tidak mantap. Oleh hal yang demikian, saya memanfaatkan laman sosial ini dengan mencari bahan-bahan bacaan yang saya perlukan sahaja. Memang tidak dapat dinafikan bahawa laman sosial merupakan sumber hebahan yang terkini dan tercepat.  Melalui laman sosial, saya dapat mengetahui perkembangan dari luar negara dan perkembangan isu-isu mutakhir yang menjadi tajuk utama akhbar harian di negara kita, Malaysia. Tidaklah saya menjadi seperti katak di bawah tempurung. Laman sosial merupakan wadah yang terpenting untuk mendedahkan kita dengan isu-isu semasa termasuklah isu politik, sosial dan ekonomi. Sebagai pelajar yang dahaga akan ilmu pengetahuan dan pelajar yang bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), saya dapat menambah ilmu pengetahuan saya melalui penggunaan laman sosial. Sebagai analoginya, saya dapat mengakses sumber bacaan daripada laman sosial. Selain itu, saya tidak perlu ke perpustakaan untuk mencari maklumat. Bahan bacaan di laman sosial merangkumi ilmu pengetahuan yang tidak dapat dicari di dalam sillibus sekolah. Oleh hal yang demikian, laman sosial merupakan saluran utama saya memperoleh ilmu pengetahuan di luar bilik darjah dalam menjalani kehidupan saya sebagai seorang yang dahagakan ilmu pengetahuan. 

                   Pada realitinya, laman sosial merupakan platform penting dalam kehidupan seharian kita memandangkan laman sosial memberikan kesan yang mendalam dan mempengaruhi corak kehidupan kita.  Melalui laman sosial, saya dapat berkenalan dengan kawan-kawan di alam maya tanpa dibatasi oleh  sempadan negara, agama, dan bangsa. Saya dapat memahami dan mengetahui budaya masyarakat luar dengan hanya satu klik sahaja. Rentetan daripada situasi tersebut, semangat perpaduan dan semangat cinta akan negara dapat disuntik dalam diri saya. Persefahaman antara kaum juga dapat dipupuk dalam diri kita.  Melalui penggunaan laman sosial, saya dapat bertukar-tukar pendapat dan berkongsi pengalaman saya dengan rakan tersebut.  Contoh yang paling dekat ialah saya dapat memuatkan foto-foto apabila menghadiri sesuatu majlis yang melibatkan pelbagai kaum. Dengan ini, rakan saya dapat memahami budaya di negara saya.  Adat istiadat dan pantang larang ini masih diamalkan oleh semua lapisan masyarakat seperti orang Melayu, Cina dan India, bak mutiara kata tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Bagi mereka, biar mati anak, jangan mati adat.  Orang Melayu terkenal dengan baju kurung, manakala orang Cina dan orang India termashyur dengan Ceongsam dan Sari. Namun begitu, kita hendaklah berhati-hati semasa berkenalan. Hal ini demikian kerana kita mungkin akan tertipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk memaklumkan butir-butir peribadi sendiri dan kata laluan. Sebagai contoh, saya tidak bersua muka dengan kenalan di alam maya untuk menjaga keselamatan sendiri. Terdapat segelintir masyarakat terutamanya remaja perempuan berjanji dengan kenalan di internet untuk berjumpa di sesuatu tempat. Hal ini memberikan peluang keemasan kepada penjenayah untuk melakukan gejala sosial seperti rogol.

                   Semakin menjelang ambang 2020, titik permulaan ini menandakan permulaan untuk kesusahan dan cabaran yang bakal menghambat kehidupan manusia. Semua lapisan masyarakat terutama golongan remaja  tidak mahu ketinggalan dalam mengikuti kemajuan sains dan teknologi yang terkini. Namun begitu, kita seharusnya memanfaatkan laman sosial. Bertitik tolak daripada itu, saya perlu menjadi model dengan memanfaatkan laman sosial. Laman sosial merupakan medan dan ruang untuk saya berhubung dengan rakan sekelas dan saudara mara agar hubungan silaturahim dapat dieratkan bagai isi dengan kuku. Laman sosial membolehkan saya dan rakan sekelas mahupun saudara mara menjalinkan hubungan semula yang telah terputus. Saya dapat mengetahui perkembangan terbaru tentang kawan saya melalui laman sosial. Saya dapat mengimbas kembali peristiwa pahit, manis, masin dan tawar yang pernah saya lalui bersama dengan rakan saya dan saudara mara. Sebagai contoh, saya boleh menggunakan ’skype’ untuk berhubung dengan saudara mara yang tinggal berjauhan. Seterusnya, saya dapat bertanya khabar dan bersembang dengan mereka. Namun, di sebalik keghairahan mengaplikasikan kelebihan yang ada pada ruang maya ini, laman sosial juga mengandungi budaya kuning dari barat yang bertentangan dengan nilai-nilai ketimuran budaya masyarakat kita. Oleh hal yang demikian, saya akan memastikan diri agar tidak terpengaruh dengan unsur-unsur negatif di laman sosial dengan berpegang teguh pada nilai-nilai agama dan budaya timur yang disanjung tinggi ini. Bahan-bahan tersebut boleh diakseskan oleh sesiapa sahaja tanpa sebarang halangan jika tiada iman di dada. Jika perkara ini dibiarkan, gejala sosial seperti gengterisme dan hedonisme akan menular dalam pemikiran remaja.  Perkara inilah yang akan saya cuba elak sejauh-jauhnya.

                   Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, kita seharusnya memanfaatkan penggunaan laman sosial agar tidak terpengaruh oleh unsur-unsur negatif yang bertentangan dengan agama dan budaya timur  masyarakat Malaysia. Oleh itu,  kita perlulah bertindak secara rasional dan matang tanpa mudah mengikut rentak kemajuan ICT yang begitu kuat mengoda jiwa insani yang leka.  Kita seharusnya menyeimbangkan masa dalam melayari laman sosial supaya tidak mudah alpa dengan keasyikan yang ada pada laman sosial. Kita seharusnya pandai menguruskan masa dan tidak terpedaya dengan kata-kata manis kenalan baru supaya tidak mudah dieksplotasikan untuk kepentingan diri mereka. Laman sosial akan terus menjadi populariti masyarakat kini. Kita tidak boleh mengekang kemajuan ICT yang kian menular di seluruh dunia, tetapi dengan menggunakan minda yang dianugerahi Tuhan ini, kita mampu melakukan anjakan paradigma untuk  memastikan kebaikan sentiasa menyebelahi kita. Lantaran itu, amalan penggunaan laman sosial ke arah kebaikan perlu disuntikkan dalam sanubari  setiap rakyat di Malaysia. Marilah kita bekerjasama memanfaatkan laman sosial ini, umpama aur dengan tebing  dan ibarat ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020 dalam melahirkan masyarakat yang peka dan celik ICT.
[1 094 patah perkataan]

Hasil nukilan,
Foo Suh Juan,
5 Berlian (2013), SMKIE