Thursday, August 13, 2015

KARANGAN SPM BAHAGIAN B ~ PERMAINAN TRADISIONAL

Permainan tradisional merupakan warisan bangsa yang perlu dipertahan untuk tatapan generasi akan datang.
Huraikan peranan pelbagai pihak untuk memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat Malaysia.

RANGKA KARANGAN
ELEMEN 1
Peranan Pelbagai Pihak
ELEMEN 2
Memartabatkan permainan tradisional (Kesan / Kebaikan)
Ibu bapa - suri teladan - membelikan permainan tradisional - menurunkan ilmu cara-cara bermain - cth, gasing, congkak dan wau.

anak-anak dapat mewarisi permainan tersebut daripada ibu bapa / nenek moyang mereka tentang teknik-teknik atau cara-cara bermain

Sekolah - menganjurkan kelab permainan tradisional - menyediakan lebih banyak alatan tradisional  - menjemput pihak luar yang mahir dengan permainan tradisional - cth, mengenal nama permainan, cara bermain.

pelajar dapat  mendominasi permainan tradisional dan dapat melahirkan pelapis muda yang mahir dengan permainan ini

Media massa - menghebahkan permainan tradisional melalui surat khabar, televisyen, majalah, radio dan internet - menyiarkan iklan - cth, layang-layang tercantik, teng-teng, congkak

menaikkan imej negara serta negara luar akan tertarik dengan negara kita

Kerajaan - menubuhkan pusat permainan tradisional - mengadakan karnival - mengadakan kempen - cth, festival layang-layang antarabangsa, jom main permainan tradisional
generasi muda  kini dapat melestarikan permainan tradisional sebagai warisan serta permainan tradisional akan menjadi popular dan dikenali seantero dunia.



Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas, ini adalah peribahasa yang perlu kita jadikan pegangan dan panduan dalam usaha untuk memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat Malaysia. Permainan tradisional dapat ditakrifkan secara literal sebagai permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat untuk satu tempoh tertentu. Sejak dua tiga dekad ini, dapat kita saksikan betapa permainan tradisional semakin ditelan zaman seiring dengan  arus pemodenan masa kini. Pada masa yang sama, permainan elektronik semakin diagung-agungkan dalam kalangan masyarakat masa kini. Dalam konteks ini, permainan tradisional semakin dipandang enteng oleh masyarakat Malaysia dek pengaruh permainan elektronik yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat seantero dunia. Persoalannya kini, adakah kita bersedia untuk melihat satu-satunya warisan daripada nenek moyang kita hilang begitu sahaja secara perlahan-lahan tanpa kita sedari, ibarat daun kering yang terbang ditiup angin? Adakah kita sanggup melihat masyarakat sekarang semakin jatuh jauh ke dalam kancah permainan elektronik yang sebenarnya tanpa kita sedar atau tidak banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan bagi seseorang itu sendiri. Persoalan yang sering menerjah dan menerawang di gawang minda fikiran kita ialah apakah peranan pelbagai pihak untuk memartabatkan lagi permainan tradisional dalam kalangan masyarakat Malaysia? Antara peranan pelbagai pihak yang boleh dilakukan ialah menganjurkan kelab permainan tradisional dan mengadakan kempen untuk mengangkat martabat permainan tradisional ke satu tahap yang lebih tinggi. Oleh hal yang demikian, pelbagai prakarsa yang konkrit, sistematik lagi pragmatik akan dikupas serta dibugar dengan lebih terperinci demi kemaslahatan semua pihak yang masih tercari-cari tongkat mereka untuk dijadikan panduan.

Suatu hakikat yang tidak boleh dipertikaikan ialah ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam usaha untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada generasi muda khususnya anak-anak. Sebagaimana yang kita ketahui, ibu bapa sering menjadi suri teladan untuk anak-anak mereka yang sedang meningkat dewasa. Hal ini adalah kerana, setiap perbuatan ibu bapa akan dicontohi anak-anak seperti peribahasa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh membelikan anak-anak permainan tradisional sebagai hadiah atau buah tangan sekiranya ibu bapa pulang dari bekerja di luar daerah seperti congkak dan gasing. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menurunkan ilmu yang dipelajarinya satu ketika dahulu kepada anak-anak mereka. Pada masa yang sama, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke tempat rekreasi untuk bermain dengan permainan tradisional. Peribahasa yang berkaitan dengan hal ini ialah melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Secara langsung, anak-anak dapat mewarisi permainan tradisional daripada ibu bapa mereka tentang teknik dan cara- cara bermain. Sekiranya, ibu bapa memainkan peranan mereka maka, permainan  tradisional ini akan kekal sepanjang zaman walaupun sudah berdekad lamanya. Tegasnya, peranan ibu bapa amat signifikan dalam usaha untuk memperkenalkan permainan tradisional yang semakin ditelan zaman agar dapat terus diwarisi dari generasi ke generasi.

Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa peranan pihak sekolah juga merupakan salah satu usaha yang penting untuk memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan remaja di Malaysia. Dalam konteks ini, pelbagai usaha yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah supaya pelajar lebih mengenali dan meminati permainan tradisional kerana tak kenal maka tak cinta. Sebagai contohnya, pihak sekolah boleh menganjurkan kelab permainan tradisional sejak dari awal lagi supaya usaha-usaha lain dapat dilakukan melalui kelab tersebut. Dalam hal ini, untuk menarik minat pelajar menyertai program-program yang dianjurkan, pihak persatuan boleh menjemput tetamu dari luar  yang mahir dalam permainan tradisional untuk membimbing mereka tentang cara dan teknik bermain permainan tradisional yang betul. Secara langsung, para pelajar dapat mendominasi permainan tradisional dengan lebih baik lagi kerana jauhari juga yang mengenal manikam. Tambahan pula, pihak sekolah boleh mengadakan acara dan pertandingan yang menarik yang boleh disertai oleh para pelajar dan guru. Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah perlu menyediakan lebih banyak alatan permainan tradisional yang boleh digunakan di sekolah bagi memudahkan para pelajar untuk menggunakan alatan permainan tradisional. Secara tidak langsung, para pelajar akan lebih mendekatkan diri dengan permainan tradisional dan mengekalkan warisan bangsa dalam diri setiap pelajar. Begitu juga halnya dengan pengekalan permainan tradisional yang perlu ditekankan oleh setiap pihak agar warisan ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Izharlah bahawa, pihak sekolah mestilah memainkan peranan untuk memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan remaja di Malaysia.

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas ialah media massa perlu memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam usaha untuk memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat Malaysia. Umum mengetahui bahawa, media massa merupakan satu medium yang sentiasa menguar-uarkan sesuatu berita dengan cepat, tepat dan sahih. Bertitik tolak daripada itu, pihak media massa boleh menghebahkan tentang permainan tradisional melalui surat khabar, majalah,radio,internet dan televisyen. Tambahan pula, media massa boleh menganjurkan pertandingan melalui program seperti jom heboh dengan tawaran hadiah yang lumayan. Yang paling nyata ialah apabila media massa memaparkan iklan-iklan yang menarik mengenai permainan tradisional kita maka, masyarakat dari negara luar akan tertarik untuk mengetahui dengan lebih dalam tentang permainan tradisional ini. Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa media massa mampu mendominasi seluruh masyarakat di setiap ceruk rantau dunia. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah sukan sepak takraw yang kini telah diangkat sebagai salah satu acara sukan yang dipertandingkan di peringkat antarabangsa iaitu piala dunia. Dalam hal ini dapat kita lihat bahawa negara luar seperti Thailand kini telah menguasai sukan sepak takraw dan mampu menandingi Malaysia. Impaknya, media massa yang memaparkan sukan ini dapat mempopularkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat seantero dunia tanpa mengira perbezaan latar belakang, agama, bangsa dan negara. Jelaslah bahawa, media massa perlu bergerak dengan lebih giat lagi dalam usaha untuk memartabatkan permainan tradisional yang diwarisi secara turun-temurun oleh masyarakat Malaysia agar diangkat lebih tinggi hingga ke peringkat antarabangsa dan membuka mata dunia tentang keistimewaan negara yang bernama Malaysia.
       
Umum mengetahui bahawa pihak kerajaan merupakan peranan yg penting dalam mengekalkan permainan tradisional. Beritik tolak daripada itu, pihak kerajaan seperti Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan dapat mengekalkan permainan tradisional dengan mengadakan pesta permainan tradisional di peringkat negeri dan kebangsaan. Sebagai analognya, rakyat daripada pelbagai kaum dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang permainan tradisional yang hampir tenggelam oleh peredaran zaman. Pada masa  yang sama, pihak kerajaan boleh memperluaskan permainan tradisional negara Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa. Melalui cara ini, rakyat dapat membuka mata bahawa permainan tradisional juga dapat dibawa ke peringkat antarabangsa dan mendapat perhatian di mata dunia. Sebagai contohnya, permainan wau dan layang-layang. Tambahan pula, ramai pelancong asing melawat ke Malaysia untuk melihat pertandingan layang-layang yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia pada saban tahun.  Secara eksplisitnya, rakyat Malaysia tidak mudah untuk melupakan permainan tradisional yang semakin pudar di mata rakyat. Dalam konteks  ini, pihak kerajaan boleh memperkenalkan program Cintai Permainan Tradisional agar rakyat mampu menyelami dan mempelajari permainan tradisional dengan lebih mendalam. Dengan cara ini, permainan tradisional tidak akan mudah terhakis pada zaman akan datang. Izharlah bahawa, pihak kerajaan mampu melestarikan permainan tradisional yang diwarisi secara turun-temurun oleh masyarakat Malaysia hingga ke tahap antarabangsa.     

Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirul kalam seluruh masyarakat Malaysia tidak seharusnya membiarkan warisan Malaysia yang berharga seperti permainan tradisional ini lenyap terus daripada muka bumi ini. Jika semua pihak berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, kelurah sama dituruni, isu ini akan dapat ditangani oleh masyarakat Malaysia dan warisan paling berharga ini akan tetap diamalkan dari generasi ke generasi akan datang. Tambahan pula, kita sebagai pewaris khazanah negara tidak mungkin akan membiarkan permainan tradisional ini terus menjadi sejarah yang hanya diketahui namanya sahaja dan tiada siapa pun yang dapat mewarisi kemahiran atau teknik bermain permainan tradisional untuk diturunkan kepada generasi pada masa akan datang. Bertitik tolak daripada itu, kita sebagai penerus warisan negara perlu mengambil inisiatif yang pragmatik,vital,kreatif dan kritis supaya dapat memanifestasikan generasi pewaris negara yang tidak akan melupakan warisan mereka seperti kacang lupakan kulit. Dalam konteks ini, generasi sekarang perlulah memupuk rasa cinta akan warisan negara agar dapat menyanjungi dan menghargai warisan negara sejak dari rebungnya lagi. Pada masa yang sama, masyarakat Malaysia perlu bersungguh-sungguh dalam memastikan warisan negara ini sentiasa terpelihara dan tidak hilang ditelan zaman serta terus hidup subur dihati, fikiran dan diri masyarakat itu sendiri. Prakarsa yang diambil memerlukan komitmen yang padu daripada semua pihak dan bukannya hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun melepaskan batuk di tangga sahaja. Kendatipun demikian, kita masih perlu menjangkau sehabis tangan bagi mempertahankan khazanah warisan tinggalan nenek moyang kita yang ulung ini agar tidak dilupakan terus oleh masyarakat. Marilah kita sama-sama menjangkau sehabis tangan untuk mencorakkan masa depan negara dengan warna seindah pelangi dalam merealisasikan misi dan visi kudsi Wawasan 2020.
 






BENCANA ALAM ~ SUMBANGAN NEGARA KITA MEMBANTU NEGARA-NEGARA YANG TERLIBAT DENGAN BENCANA ALAM

Bencana alam sering berlaku di merata-rata tempat di dunia ini. Sebagai sebuah negara yang prihatin,  Malaysia sering menghulurkan bantuan untuk menolong negara yang dilanda bencana alam.  Huraikan sumbangan yang dapat diberikan oleh negara kita untuk membantu negara-negara tersebut.


Dunia kini semakin sering kedengaran gegar gempitanya tidak kira di sebelah selatan, utara, timur dan barat. Bunyi letupan serta gegaran yang dirasai oleh mereka bagaikan mimpi buruk yan tidak berkesudahan. Barangkali petanda bumi sudah dimamah usia ataupun sikap manusia yang rakus mengundang si dia? Pada zaman atom ini, sering kita lihat serta tonton di kaca televisyen bencana alam mengundang duka dan derita saudara kita di merata–rata dunia.  Bencana alam yang sememangnya datang tidak dijemput perginya dinantikan. Keprihatinan warga dunia ditagih serta diperlukan bagi meneruskan kehidupan. Ada yang hilang tempat bergantung, ada yang bergelar yatim piatu serta hidup sebatang kara. Malaysia sebagai negara yang prihatin serta masyarakat yang suka menghulurkan bantuan sering menghulurkan bantuan untuk menolong negara yang dilanda bencana alam.

Muktahir ini, kita dapat menyaksikan di dada-dada akhbar serta di kaca televisyen gempa bumi yang melanda negara dunia ke-3 Nepal yang menyebabkan kerosakan yang amat dahsyat. Kekebalan bangunan-bangunan runtuh dengan sekelip mata dibadai gegaran gempa bumi yang berukuran 7.3 skala rikter. Gempa bumi ini dicatatkan yang terburuk selepas gempa bumi sebelumnya. Malaysia mendatangkan sumbangan daripada rakyat Malaysia serta kerajaan melalui badan-badan kerajaan serta badan –badan bukan kerajaan NGO yang turut berlepas ke Nepal bagi menghulurkan bantuan dari segi perubatan, makanan, bekalan air bersih serta khemah sementara. Dianggarkan 8 juta rakyat Nepal terjejas dalam bencana kali ini. Pihak kerajaan yang diwakili, Kelab Putra 1Malaysia telah ditugaskan ke sebuah tempat pengagihan makanan serta keperluan asas lain kepada penduduk yang terjejas. Sumbangan yang diberikan walaupun sedikit tetapi mampu mengukirkan senyuman daripada mangsa-mangsa terlibat yang amat bermakna kepada petugas. Keprihatinan, doa serta dorongan yang berterusan daripada seluruh rakyat Malaysia dipanjatkan agar mereka dapat kembali hidup seperti sedia kala.


Sumbangan rakyat Malaysia sangat diperlukan oleh penduduk yang ditimpa bencana dan dihargai. Sumbangan berupa keperluan asas seperti roti, minuman air bersih serta kelengkapan tidur adalah antara barang yang sering dikirimkan kepada mangsa bencana. Malaysia yang sudah memang terkenal dengan sifat prihatin rakyatnya serta pemimpinya sering dinantikan ketibaan bantuannya di tapak khemah sementara. Malaysia bukan sahaja menerbangkan barang bantuan malah menerbangkan pakar-pakar perubatan serta sukarelawan bagi membantu apa-apa yang termampu. Kebutuhan ubat–ubatan bagi merawat penduduk terjejas juga menjadi keutamaan pihak penyumbang. Pakar perubatan akan memberikan pembedahan langsung bagi mengelakkan kecederaan yang lebih serius. Kebersihan kawasan kem turut dititikberatkan oleh kem bantuan Malaysia bagi mengelakkan wabak penyakit berjangkit tersebar.
Sukarelawan-sukarelawan yang ditugaskan juga bukan sahaja menjaga makan minum penduduk terjejas. Malah, sukarelawan serta pakar perubatan juga memikul tanggungjawab merawat trauma yang dialami penduduk terutamanya kanak-kanak. Bencana alam yang menimpa mereka mungkin memberikan kejutan serta impak yang besar kepada mereka. Trauma merupakan penyakit psikologi yang sering kali berlaku kepada orang yang dihantui perkara yang buruk. Suasana yang aman dan selesa dapat mengubati trauma yang dialami mereka dan pihak bantuan menyediakan tempat bagi kanak-kanak bermain serta menimba ilmu pengetahuan.


Selain itu, bantuan sukarelawan bagi memulihkan keadaan sekeliling turut dihantar ke kawasan bencana. Hanya bantuan yang dapat dihulurkan kerana selebihnya hanya mereka yang merasai penderitaan kerana berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya.  Tidak lupa juga, bantuan daripada pihak berkuasa seperti polis, bomba serta tentera bagi memastikan keselamatan kawasan sekitar serta mencari saki baki orang–orang yang hilang atau tertimbus di bawah runtuhan. Bantuan berupa tenaga sangat diperlukan kerana tenaga yang sedia ada terhad dan tidak mempunyai kepakaran sepertimana pihak berkuasa. Bantuan kaunseling turut ditawarkan kepada mangsa bencana selepas kehilangan tempat tinggal serta saudara mara. Bukan sahaja pihak kerajaan malah pihak organisasi bukan kerajaan juga turut bergiat aktif memberi bantuan contohnya MERCY.


Kesimpulannya, pertolongan dari segi aspek perubatan, makanan, tempat tinggal, bekalan air bersih serta rawatan daripada pihak yang membantu sedikit banyak dapat mengurangkan beban mangsa bencana.`Hulurkan bantuan ringankan beban ‘ begitulah kata-kata hikmah yang perlu disematkan dalam setiap hati rakyat Malaysia. Oleh itu, rakyat Malaysia perlulah menanam sikap bantu-membantu dalam diri serta mengajar anak-anak sejak berumur setahun jagung lagi agar sikap ini dapat meringankan beban dan dapat memberikan senyuman kepada mangsa bencana. Kesungguhan kita, sebagai individu menyumbang serta individu-individu lain mengukuhkan peribahasa ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Tangan yang menghulur lebih baik daripada tangan yang menerima. Diharapkan sikap prihatin rakyat Malaysia dapat diteruskan seterusnya mewujudkan masyarakat yang harmoni serta  tolong-menolong menjadi sikap yang sudah sebati dalam jiwa rakyat Malaysia. 

[694  patah kata]
ENGKU NUR UMAIRAH BINTI TUAN SANUSI ASMADI
5 BERLIAN 2015

KARANGAN TARGET SPM 2015 ~ Warisan negara seperti seni budaya dan permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda. Tulis sebuah rencana tentang kepentingan mengekalkan warisan ini.

Kepentingan Mengekalkan Warisan Negara
Oleh : Ameer Syafiq 


Di sini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Di sini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan…

Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan


Rangkap pertama dan rangkap terakhir daripada lirik lagu Warisan yang dinyanyikan oleh penyanyi tersohor negara, Allahyarham Sudirman bin Haji Arshad telah mempotretkan kita sebagai penyambung warisan negara. Warisan negara dapat ditakrifkan secara literal sebagai khazanah penting yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman daripada nenek moyang kita. Warisan negara bukan sahaja merangkumi bangunan bersejarah semata-mata, malah tarian tradisional, permainan tradisional dan juga seni mempertahankan diri seperti silat. Sungguhpun begitu, hakikatnya ialah generasi pada masa ini semakin memandang sepi dan tidak menghargainya ekoran tahap kesedaran mereka yang terlalu rendah. Persoalan yang telah menerjah dan menerawang di gawang minda saya ialah apakah kepentingan mengekalkan warisan negara kepada kita? Oleh hal yang demikian, kepentingan mengekalkan warisan negara yang menunjangi fokus perbincangan akan dikupas dan dibugar secara terperinci sehingga ke akar umbi demi kebaikan kita bersama.

Suatu hakikat yang tidak dapat dikesampingkan ialah warisan negara amat penting sebagai satu elemen yang melambangkan identiti sesebuah negara. Dalam konteks ini, identiti sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budaya seperti tarian tradisional sesuatu kaum di Malaysia. Tambahan pula, tarian tradisional yang pelbagai menunjukkan sifat masyarakat yang majmuk khususnya di negara kita yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Bagi membuktikan perkara ini, contoh tarian tradisional yang dapat saya ketengahkan ialah tarian Mak Yong dan Zapin oleh orang Melayu, tarian naga dan tarian kipas oleh orang Cina serta tarian Kathak dan Bharata Natyam oleh kaum India. Dengan perkataan lain, semua jenis tarian di Malaysia mempunyai identiti, sejarah dan tujuan yang tersendiri. Yang paling nyata ialah setiap rakyat Malaysia hendaklah berusaha mengenali serba sedikit tentang budaya tarian bagi setiap kaum di negara kita. Izharlah bahawa, kepentingan mengekalkan warisan negara adalah untuk melambangkan identiti sesebuah negara.

Mari kita kupaskan signifikan seterusnya dengan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam berbicara tentang kepentingan memelihara warisan negara supaya menjadi daya tarikan pelancong sama ada pelancong domestik mahupun pelancong antarabangsa. Pada masa yang sama, pengekalan monumen, arca dan bangunan bersejarah tinggalan penjajah telah menggamit hati para pelancong untuk melihat sendiri keunikan ciptaan masyarakat terdahulu. Secara langsung, senario ini dapat dibuktikan menerusi peningkatan bilangan pelancong yang mengunjungi bandar warisan seperti Georgetown dan Kota Bharu, Kelantan yang amat ketara dalam tempoh tahun 1990 hingga 1997. Antara contoh negeri lain di Malaysia yang menjadi destini wajib para pelancong untuk mengetahui sejarah sebenar yang berlaku dan mempunyai kesan tinggalan sejarah ialah negeri Melaka seperti Kota A Famosa, perigi Hang Tuah dan juga makam Hang Jebat yang terletak di Bandaraya Bersejarah tersebut. Jelaslah bahawa, warisan negara perlu dikekalkan bagi merancakkan industri pelancong sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. 

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, warisan negara juga hendaklah dipelihara untuk mengekalkan kesinambungan tamadun sesuatu bangsa. Menyedari hakikat ini, permainan tradisional yang merupakan permainan warisan masyarakat Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu haruslah dihidupkan kembali kerana permainan tradisional ini menjadi lambang warisan dan kebudayaan masyarakat Melayu supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Antara contoh permainan tradisional masyarakat Melayu yang boleh saya ketengahkan ialah wau, gasing, sepak raga, congkak dan batu seremban. Yang paling nyata, pada zaman dahulu, permainan tradisional merupakan salah satu cara untuk mengisi masa lapang sedangkan pada zaman ini, permainan tradisional semakin dilupakan kerana sudah tidak relevan dan tidak dikomersialkan di kaca-kaca televisyen. Bertitik tolak daripada itu, alat permainan tradisional perlu dimodifikasikan supaya menjadi lebih menarik, namun begitu ciri-ciri keunikannya hendaklah dikekalkan keasliannya. Tegasnya, kesinambungan tamadun perlu dikekalkan supaya generasi muda celik tentang asal usul mereka dan tidak lupa daratan.

Ayuh, kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci kepentingan mengekalkan warisan negara bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, semangat patriotisme akan lahir dengan sendirinya apabila generasi muda dapat merasakan keperitan dan semangat perjuangan pahlawan-pahlawan negara dalam mempertahankan tanah air yang tercinta. Tambahan pula, nama-nama pejuang yang telah terkorban ada tercatat pada Tugu Negara untuk tatapan semua. Rentetan itu, generasi muda tidak akan menjadi seperti kacang lupakan kulit kerana mereka akan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang tanah air dalam mempertahankan negara. Pada masa yang sama, peristiwa sejarah penting yang berlaku di negara kita dapat dikenang semula apabila bangunan lama yang diberi nafas baharu dapat mengembalikan nostalgia yang sungguh bermakna buat semua. Sebagai analoginya, Bangunan Sultan Abdul Samad telah menjadi saksi bisu terhadap kemerdekaan negara tatkala laungan kemerdekaan yang diketuai oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 telah berlangsung di sini.   Deduksinya, usaha memelihara warisan negara amat penting bagi memupuk semangat patriotisme agar generasi muda tidak melupakan sejarah-sejarah penting negara kita.

Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, dapatlah saya rumuskan di sini bahawa warisan negara haruslah dihargai dan dipelihara oleh setiap individu dalam sesebuah masyarakat. Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara kerana memainkan peranan bagi merancang, mengumpul dan mengedar bahan serta informasi berkaitan seni dan budaya untuk tatapan umum. Oleh hal yang demikian, masyarakat perlulah bekerjasama dengan pihak kerajaan ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni supaya warisan nenek moyang kita dapat dilestarikan. Memetik kata-kata pujangga George Santayana, manusia yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Usaha yang dilaksanakan itu perlulah bersungguh-sungguh bak mutiara kata genggam bara api biar sampai jadi arang. Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, janganlah kita biarkan warisan kita hanya dapat disaksikan di muzium sahaja, bak pepatah yang berbunyi, biar mati anak, jangan mati adat, supaya warisan negara terus subur dan mekar meredah zaman.

[925 patah perkataan]
Suhaina Fathima Binti Mohd Shukor
5 Berlian ( 2015 )