Saturday, October 31, 2015

USAHA-USAHA MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN

Semangat kejiranan perlu dipupuk bagi melahirkan masyarakat yang harmoni.  Anda berminat untuk menulis rencana yang bertajuk “Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan dalam Kalangan Masyarakat” untuk dimuatkan dalam sebuah akhbar tempatan.

Tulis rencana anda selengkapnya,

***********************************************************************************************

Langkah-langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat
Oleh Naqib Muhsin Bin Mathadi

                Mendepani realiti baru era milenium yang pantas berubah dan berkembang ini,  isu kelunturan semangat kejiranan dalam jiwa kalangan masyarakat semakin menjadi perbualan hangat serta sering memenuhi ruangan akhbar pada hari ini.  Semakin hari, isu ini sering ditujukan kepada generasi muda khususnya para remaja.  Memang tidak dapat dinafikan bahawa gejala sosial yang semakin berleluasa ini adalah salah satu punca kelunturan semangat kejiranan.  Bukan itu sahaja malahan menjadi punca dominan yang jelas dilihat pada hari ini.  Tambahan pula, semangat kejiranan seharusnya dipupuk melalui pengamalan sikap keperibadian yang mulia seperti bekerjasama, prihatin dan bertolak  ansur yang mampu membentuk jati diri untuk memperlihatkan kita sebagai masyarakat yang kaya dengan budi pekerti.  Sebagai masyarakat yang mendiami negara ini,  kita seharusnya bersyukur kepada Tuhan kerana masih dikurniakan keamanan.  Kita perlulah menyedari bahawa semangat kejiranan ini boleh dijadikan sebagai amalan gaya hidup intim yang wajar memandangkan negara kita telah merdeka sejak 58 tahun lamanya.  Menurut Tun Dr. Mahathir,  mantan Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong,  kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri.  Hal ini secara tidak langsung menjadikan nilai-nilai murni yang diterapkan dapat dijadikan sebagai dorongan untuk meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.  Sememangnya kita perlu berfikir bahawa teknologi pada masa ini juga merupakan penyumbang kepada jurang pemisah antara masyarakat yang berbilang kaum ini.  Hal ini kerana, rambut sama hitam,hati lain-lain.  Persoalan yang sedang bermain-main dalam fantasi minda kita sekarang ialah adakah peranan kerajaan sahaja yang bertanggungjawab untuk memupuk semangat kejiranan? Jawapannya tidak. Hal ini kerana dalam usaha memupuk semangat kejiranan, memerlukan obligasi daripada pelbagai pihak untuk menyalurkan peranan mereka demi melahirkan masyarakat yang maju dari aspek sosial.  Oleh itu,  marilah kita menggunakan minda kelas pertama untuk mengupas topik kita dalam perbincangan ini iaitu langkah-langkah memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat secara terperinci untuk kepentingan semua pihak.


                Suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah peranan ibu bapa amatlah signifikan untuk menanam nilai-nilai murni dalam jiwa cahaya mata mereka sejak kecil lagi.  Peribahasa Melayu ada mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya iaitu mendidik seseorang dengan menerapkan nilai-nilai murni sejak awal lagi.  Hal ini demikian kerana ibu bapa bertindak sebagai agen pertama dalam pembentukan sahsiah dan penjana kecemerlangan anak-anak. Bertitik tolak daripada itu,  ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu menunjukkan sikap berkasih sayang kepada anak-anak mereka. Memang pada realitinya, anak-anak akan mengikut tingkah laku ibu bapa mereka kerana mereka lebih mengenali ibu bapa mereka sendiri. Hal ini dapat dikaitkan dengan peribahasa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Selain itu, ibu bapa haruslah juga mengawasi perlakuan dan kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, berdarah setampuk pinang agar tidak terjebak dalam kancah negatif. Dalam meniti arus peredaran zaman yang semakin meruncing ini, sebilangan besar ibu bapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa akan tanggungjawab hakiki mereka untuk mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Hal ini kerana anak-anak merupakan anugerah dan tanggungjawab daripada Tuhan kepada ibu bapa untuk mencorak jiwa mereka ke arah kebaikan. Betapa rugilah ibu bapa jika tidak menyemai nilai-nilai murni dalam jiwa anak-anak kerana mereka berkemungkinan besar untuk menjejakkan kaki ke kancah negatif. Dalam hal ini, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong-royong dan kunjung-mengunjungi sesama jiran tetangga. Daripada amalan ini , anak-anak muda mampu membuka mata, mencelikkan minda serta mengenali dunia luar yang mereka tidak pernah alaminya sendiri. Secara langsung,  sedikit demi sedikitmereka  berminat untuk melakukan aktiviti-aktiviti seperti ini lagi. Begitu juga halnya dengan dengan kawasan kejiranan yang didiami oleh pelbagai kaum. Anak-anak muda pada hari lebih gemar menggunakan teknologi yang canggih dan mendapati bahawa mampu memberi pelbagai faedah tetapi sangkalan mereka salah kerana menggiatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan lebih berfaedah bukan untuk diri sahaja malahan boleh melahirkan masyarakat dan negara yang aman damai. Daripada semangat kejiranan ini juga dapat menjadikan negara sebagai negara contoh dan disegani oleh sebab terkenalnya kaum yang pelbagai mendiami Malaysia tetapi masih boleh membina kepercayaan antara satu sama lain. Jelaslah bahawa ibu bapa seharusnya menitikberatkan tanggungjawab untuk melahirkan anak-anak yang berjiwa kental untuk memupuk semangat kejiranan sesama sendiri.

                Meninjau skop yang lebih luas, tunggak utama untuk membangunkan semangat kejiranan ialah masyarakat. Pada realitinya, sesebuah masyarakat perlu menjalankan aktiviti yang selaras dengan usaha untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat  . Hal ini demikian, masyarakat sesebuah kawasan mampu mewujudkan pelbagai inisiatif untuk menjadikan hubungan kejiranan semakin erat. Masyarakat perlu mengaktifkan program Rukun Tetangga. Dalam konteks ini, pelaksanaan Rukun Tetangga merujuk kepada program yang melibatkan masyarakat untuk bekerjasama dalam menjaga keamanan sesebuah masyarakat. Dalam hal ini juga, Rukun Tetangga boleh melibatkan anak-anak muda untuk kegiatan yang berfaedah ini daripada menghabiskan masa secara berfoya-foya yang boleh meruntuhkan akhlak mereka. Sesebuah masyarakat yang progresif menunjukkan bahawa masyarakat tersebut mempunyai nilai-nilai murni yang penuh dalam jiwa. Memang tidak dapat dinafikan pelaksanaan Rukun Tetangga boleh melahirkan individuyang bertanggungjawab seterusnya mampu membentuk masyarakat yang berjiwa murni. Dalam hal ini juga, ada sesetengah masyarakat mempertikaikan pelaksanaan seperti ini sama ada ia dapat berjalan lancar ataupun tidak. Memang wajarlah kita mempercayai bahawa masyarakat sebegini perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni sejak peringkat awal lagi. Antara alpukah yang dapat dicadangkan selain yang dinyatakan, penduduk kawasan perumahan perlu menganjurkan aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong-royong untuk membersihkan kawasan kediaman. Yang paling nyata pada hari ini, aktiviti bergotong-royong masih lagi diamalkan dan memang wajar diamalkan oleh setiap penduduk. Dalam menempuh era berteknologi ini, kita dapat menyaksikan bahawa semangat bekerjasama dalam kalangan masyarakat semakin rapuh. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa aktviti kemasyarakatan sememangnya sedang menempuh cabarannnya. Hal ini kerana, untuk mendirikan sesebuah masyarakat yang aktif melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan memerlukan kerjasama dan kerpercayaan antara penduduk. Oleh itu, kepercayaan dan kerjasama antara penduduk diperlukan untuk melancarkan aktiviti kemasyarakatan ini. Tegaslah bahawa masyarakat perlu menyedari amalan bekerjasama dalam menjalankan aktivit meliputi semua masyarakat memerlukan kerjasama dan kepercayaan penduduk yang  kukuh .

                Pada realitinya, memang tidak dinafikan bahawa pihak sekolah perlu mendidik murid-murid tentang kepentingan semangat kejiranan. Umum mengetahui bahawa sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan khususnya terdiri daripada masyarakat yang pelbagai kaum. Jelasnya di sini bahawa murid-murid perlu bekerjasama walaupun kita terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang yang berbeza. Hal ini kerana ia tidak akan memberi kesan kepada permuafakatan masyarakat. Pihak sekolah boleh menganjurkan aktiviti yang melibatkan daripada murid-murid. Selain itu, ibu bapa perlu menyokong tindakan pihak sekolah secara membenarkan anak-anak mereka untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang sedemikian. Kendatipun ada sesetengah pihak ibu bapa tidak mempersetujui dengan aktiviti yang dijalankan. Mereka juga tidak membenarkan anak-anaknya untuk menyertai aktiviti tersebut. Di sinilah kita jelas menyaksikan sikap perkauman telah terwujud kerana tidak mahu melibatkan diri untuk menyertai aktiviti tersebut oleh sebab kegiatan ini melibatkan pelbagai kaum dan agama. Dalam konteks ini, pihak sekolah perlu menggalakkan murid-murid untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Selain itu, pihak sekolah tidak usah menzahirkan keraguan akan tindakan yang diambil. Jika kita memulakan sesuatu dengan perkara yang positif,maka hasil yang bakal diperoleh sudah tentu sesuatu yang positif juga. Sebagaimana yang kita maklumi, aktiviti kokurikulum akan diadakan pada setiap hari Rabu. Aktiviti kokurikulum merujuk kepada aktiviti yang dijalankan oleh setiap persatuan unit beruniform masing- masing. Memang tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti ini perlu diteruskan . Seterusnya, pihak sekolah boleh menganjurkan aktiviti hari kantin,hari koperasi dan hari kokurikulum. Kita mengetahui bahawa aktivitiseperti ini memerlukan kerjasama yang kuat antara murid dan guru. Hal ini demikian kerana aktiviti-aktiviti tersebut menjalankan perniagaan. Dalam konteks ini, murid-murid dan guru berganding bahu untuk menjayakan perniagaan yang dijalankan. Selain daripada murid dan guru, murid-murid turut berganding bahu sesame murid. Memang tidak dapat dinafikan bahawa secara tidak langsung semangat bekerjasama dapat diterbitkan dalam jiwa murid-murid. Selain itu, nilai kerjasama ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan murid-murid apabila mereka mencuba untuk menggiatkan diri dalam aktivit kemasyarakatan ini. Izharlah bahawa, pihak sekolah perlu memberi galakkan kepada murid-murid untutk menyertai aktiviti yang melibatkan nilai kerjasana agar jiwa mereka mudah untuk disemai dengan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.


                Setelah meniti perbincangan di atas secara mendalam dan terperinci, mauduk tentang langkah-langkah memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat akan dibugar dari perspektif peranan kerajaan untuk memupuk semangat kejiranan. Kita seharusnya tidak memandang sebelah mata terhadap peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan. Peristiwa 13 Mei 1969 masih segar dalam ingatan setiap insan di Malaysia.  Tragedi berdarah yang melibatkan rusuhan kaum pada ketika itu perlu menjadi iktibar bagi setiap generasi. Sesungguhnya peristiwa 13 Mei yang mencatatkan titik hitam dalam sejarah perpaduan kaum di Malaysia wajar direnungi agar pisang tidak berbuah dua kali. Dalam konteks ini,pihak kerajaan perlu memainkan peranan yang amat penting untuk mengelakkan perselisihan faham antara kaum di samping memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Dalam konteks ini, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen yang berkisarkan memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Umum mengetahui bahawa, cabaran yang dihadapiterlalu banyak seperti gejala sosial, isu perkauman dan sebagainya. Hal ini demikian, kerajaan perlu menjalankan kempen di kawasan kejiranan. Di samping kita memupuk semangat kejiranan, kita juga mampu menimba ilmu pengetahuan cara untuk memupuk semangat kejiranan secara tidak langsung. Ada juga sesetengah masyarakat memandang enteng terhadap pelaksanaan program seperti ini. Sesungguhnya, masyarakat seperti ini lebih memerlukan perhatian kerana masih kurang pengetahuan tentang kepentingan semangat kejiranan. Untuk pengetahuan, masyarakat yang saling mempercayai dan bekerjasama mampu membangunkan modal insan dan negara yang maju dari aspek sosial,politik seterusnya ekonomi. Bertitik tolak daripada itu, pihak kerajaan juga boleh menganjurkan Rumah Terbuka Malaysia. Dalam hal ini, rumah terbukapada kebiasaannya akan diadakan setiap kali perayaan utama diraikan. Antara contoh yang dapat kita lihat pada hari ini, sambutan hari terbuka diraikan sangat meriah meskipun negara kita mengalami cabaran yang sukar untuk dihadapi. Dalam konteks ini juga, sambutan rumah terbuka mampu melahirkan mesyarakat yang sentiasa mengenali budaya kaum. Memang tidak dapat dinafikan bahawa, pelabagai kemaslahatan yang mampu diperoleh daripada pelbgai pihak yang meliputi daripada pelbagai lapisan masyarakat. Izharlah bahawa, kerajaan merupakan tunggak utama selain peranan ibu bapa, masyarakat dan pihak sekolah untuk membina keperibadian masyarakat yang utuh dengan semangat kejiranan.

                Tidak ada kusut yang tidak terlerai, tidak ada keruh yang tidak jernih. Oleh itu, kata sepakat seia sekata perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk berganding bahu melaksanakan langkah-langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Jika semua pihak berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, Insya-Allah langkah-langkah yang dilaksanakan akan memperbuahkan hasil yang lumayan dan jelas dilihat untuk tatapan masyarakat pada hari ini. Usaha yang dilaksanakan itu perlulah bersungguh-sungguh bak mutiara kata genggam bara api biar sampai jadi arang agar usaha ini bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam mehupun melepaskan batuk di tangga sahaja malahan menjadikan usaha-usaha ini sebagai pendorong untuk masyarakat berjaya dalam kemajuan sosial. Besarlah harapan kita untuk menyaksikan usaha-usaha ini memberi kesan yang berlarutan kepada masyarakat untuk diamalkan agar negara kita terus disegani dan dicontohi oleh masyarakat dunia.
[1738 pp]

Hasil nukilan,
Naqib Muhsin Bin Mathadi,


5 Berlian 2015
                                                                                                                                                               


KEBAIKAN BERSAHABAT DENGAN PELBAGAI KAUM

Rakyat Malaysia terdiri daripada berbilang kaum seperti orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Iban, orang Kadazan dan sebagainya.

Jelaskan kebaikan - kebaikan apabila anda mempunyai sahabat yang berlainan kaum.

       Sahabat itu seperti bintang, tidak selalu nampak tetapi selalu ada di hati. Sahabat akan selalu menghampiri ketika mana seluruh dunia menjauh kerana persahabatan itu seperti tangan dengan mata. Saat tangan terluka, mata menangis saat mata menangis, tangan menghapusnya. Persahabatan diibarat garpu dan sudu yang sama-sama melengkapkan antara satu sama lain. Peranan kawan mahupun teman merupakan aspek yang terpenting dalam kehidupan seseorang. Sahabat juga tempat kita mengadu permasalahan, tempat kita meluahkan serta ruang untuk kita berkongsi momen terindah kita selepas keluarga tercinta. Pastinya kenangan yang tercipta dalam kehidupan kita sudah tentu terselit saat-saat indah bersama dengan kawan-kawan. Pepatah Melayu ada mengatakan berkasih biarlah satu berkawan biarlah seribu. Menurut Al-Quran, Allah menciptakan makhluknya berpasang-pasangan yang mana dapat kita lihat contohnya. Allah menciptakan Adam di dunia dan disusuli Hawa sebagai peneman hidup ini secara langsung dapat dikaitkan dengan terjemahan Al- Quran tentang hubungan persahabatan. Kita sedia maklum perhubungan sesama manusia memang diperlukan kerana manusia tidak mampu mencapai kejayaan tanpa berpegang pada bantuan insan-insan lain. Kemandirian diri memang izhar kita tahu dan perlu praktikkan tapi itu tidak bermakna kita tidak perlu berhubung dengan orang lain. Kisah hidup kita pastinya sunyi sepi tanpa kehadiran insan-insan yang bergelar sahabat mahupun keluarga. Sejarah telah pun menceritakan serta memaparkan Tanah Melayu yang dahulu serta kepelbagaian kaum di Malaysia hasil daripada ideologi British bagi memenuhi keperluan ekonomi British. M,aka terbentuklah satu komuniti atau bangsa yang berpaksikan ketatanegaraan Malaysia. Pada zaman Tun Abdul Razak hingga ini, kita rakyat Malaysia hidup aman dan harmoni berbumbungkan semangat patrotisme yang tinggi terhadap negara. Kita dapat melihat betapa mashyurnya negara Malaysia di mata dunia, mereka menyanjung tinggi keharmonian negara yang dibentuk oleh rakyat yang pelbagai kaum serta bangsa. Jika kita lihat senario pada zaman atom ini terdapat banyaknya pertelingkahan saudara di negara-negara luar. Sehubungan dengan itu ,rakyat jelata seharusnya berasa bersyukur dikurniakan kemakmuran dan kedamaian hidup di bumi yang bertuah ini. Perpaduan tidak bisa dibina hanya dalam sekelip mata, semangat bersatu hati memerlukan komitmen yang tinggi daripada pelbagai pihak bagi mewujudkan kerjasama antara kaum. Kerjasama yang erat membuahkan satu jaringan tali-temali sosial yang utuh tanpa mengenal kaum mahupun bangsa. Oleh hal yang demikian, mari kita menyelusuri maslahat yang kita peroleh daripada terbinanya persahabatan berlainan kaum.

       Di Malaysia terdapat pelbagai lapisan kaum etnik dan bangsa yang berkongsi cerita. Bersahabat dengan orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan kaum-kaum lain menghasilkan satu variasi hidup yang tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk lisan. Sememangnya, hal ini merupakan satu pengalaman yang sangat menarik dan mungkin antara saat yang terindah dalam hidup kita. Berlainan budaya membuatkan kita belajar sesuatu yang baharu dalam kehidupan seharian kita. Cara yang sangat berlainan dari kebiasaan membuatkan kita teruja. Tamsilnya, jika kita berkawan dengan rakan yang berbangsa India kita dapat mengenali adat dan budaya mereka dengan lebih dekat. Sebagai contohnya, budaya mandi minyak pada pagi Hari Deepavali. Mereka juga menyambut satu lagi perayaan iaitu hari Thaipusam. Secara umumnya, adat didefinisikan sebagai suatu aturan dan cara hidup. Dalam konteks ini, adat mencerminkan segala perbuatan yang adakalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan bulan atau tahun. Suatu perkataan yang sinonim dengan adat ialah budaya. Walaupun dari aspek bunyinya berbeza, tetapi dari segi pengertiannya, menerangkan konsep yang saling bergantung dan sama. Terhimpun banyak kebaikan di sebalik kelainan yang ditunjukkan dalam persahabatan berlainan bangsa. Sahabat yang berbahasa Mandarin, mereka akan menyambut Tahun Baru Cina pada awal tahun. Dalam meraikan perayaan itu, mereka akan memberikan ‘angpau’ sebagai hadiah pada hari tersebut kepada saudara mara mahupun sahabat handai. Jika dilihat dari skop budaya, terlalu banyak yang kita boleh lihat dan pelajari daripada kawan-kawan yang berlainan kepercayaan dan di Malaysia sahaja terdapat seribu satu makanan yang dapat diperoleh. Sememangya jika bercakap sahaja tentang makanan kita tahu Malaysia merupakan syurga makanan di rantau ini. Daripada makanan Melayu, India, Cina serta makanan Barat semuanya ada. Oleh sebab itu, para pelancong yang mampir ke Malaysia tidak risau jika ada yang tidak serasi dengan selera mereka kerana berbagai-bagai jenis makanan dapat dicari di sekitar bandar-bandar terkenal mahupun di kampung-kampung. Malaysia terkenal dengan keunikannya yang mempunyai penduduk berbilang kaum serta hidup rukun damai sejak kemerdekaan 58 tahun yang lalu. Situasi inilah yang menjadi resepi dan pemangkin ke arah pencapaian kejayaan negara. Sebagai rakyat yang prihatin, di bahu kitalah tergalasnya tanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian ini.

       Ke bukit sama didaki ke lurah sama dituruni menggambarkan kisah persahabatan yang saling membantu ketika saat genting mahupun ketika menyambut kegembiraan. Gambaran itulah makna sebenar sebuah persahabatan yang sejati. Sahabat memberi maksud yang mendalam berbanding dengan nama yang seangkatan dengannya. Hal ini adalah kerana sahabat memberi maksud kepada seseorang yang banyak memberi kita manfaat serta dorongan ketika mana kita memerlukannya. Lain pula dengan kawan, kawan adalah orang yang selalu kita berinteraksi bersama-sama. Pemilihan sahabat amat penting bagi seseorang pelajar kerana rakan ialah orang yang mudah mempengaruhi kita berbanding orang lain. Hal ini demikian kerana, kita sesama rakan mempunyai minat yang sama serta dalam lingkungan umur yang sama. Situasi ini membuatkan kita memahami antara satu sama lain dan mengetahui apa-apa yang kita mahukan. Kebarangkalian bagi seseorang itu terjurumus ke lembah kehancuran bergantung dengan siapa dia berkawan. Perumpamaan kawan yang baik dan yang buruk itu ibarat penjual minyak wangi dan tukang besi, berkawan dengan penjual minyak wangi akan membuatmu harum kerana kamu dapat membeli minyak wangi daripadanya atau paling tidak menghidu bau wanginya. Sementara berkawan dengan pandai besi akan membakar badan dan bajumu atau kamu hanya akan mendapatkan bauan yang kurang enak. Dalam konteks ini, persahabatan secara umumnya kawan atau sahabat yang mencerminkan personaliti diri kita kepada orang lain. Oleh itu, saya mengharapkan rakan-rakan sekalian dapat membezakan yang mana intan dan yang mana permata. Hal ini merupakan pelaburan jangka masa panjang kepada diri kita sendiri. Sahabat lebih memahami isi hati kita berbanding keluarga justeru, luahan hati dan perasaan dapat diterjemahkan kepada sahabat dan pastinya rakan akan siap membantu bagi merungkai masalah yang dihadapi. Jika masalah yang dihadapi itu berkenaan dengan pelajaran mungkin sahabat handai boleh membantu anda mencari jalan keluar. Apa-apapun pengorbanan yang dicurahkan oleh sahabat tidak mampu untuk kita balas . Maka dengan itu, hargailah persahabatan yang sedang terjalin dan insya-Allah moga-moga hubungan persahabat membawa ke syurga. Berkawan dapat mengurangkan beban masalah yang dihadapi oleh seseorang dan bagaikan terapi jiwa yang sukar dibeli atau dijual. Betapa mulianya sesebuah perhubungan itu jika membawa kebaikan kepada kedua-dua belah pihak.

       Lain orang lain pandangan yang terbit di benak fikiran mereka. Oleh itu, bersahabat dengan pelbagai jenis latar belakang rakan memberikan satu bonus kepada kita kerana dari situ akan terhasilnya idea yang kreatif lagi inovatif. Persaudaraan sejagat yang terbentuk atas asas semua bangsa berasal dari keturunan Nabi Adam. Situasi semasa menuntut kerjasama dan komitmen semua pihak dalam membina sebuah peradaban. Yang paling nyata, perlu diingatkan bahawa pada zaman sekarang ialah zaman jemaah dan manusia seluruhnya perlu bersatu atas prinsip kemanusiaan. Gerak kerja secara berkumpulan diperlukan dalam waktu ini kerana kesepaduan memberikan kekuatan dan kekuatan inilah yang menatijahkan keputusan yang lebih baik dan berlipat kali ganda berbanding tindakan yang dibuat secara bersendirian. Tentunya antara rakan pasti kita akan dapat memperbaiki idea yang dilontarkan supaya dapat diilhamkan dengan hasil yang memberasangkan malahan dapat membantu kehidupan insan lain. Pandangan yang dilontarkan tidak semestinya berkaitan dengan kerja khusus mahupun kerja sekolah, kadang kala dapat menyelesaikan masalah rakan- rakan yang lain. Seterusnya, dengan bertambahnya kawan di sekeliling kita, sudah semestinya kita juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan secara tidak langsung. Hal ini kerana, setiap insan di dunia ini dilahirkan dengan kelebihan tersendiri. Dalam konteks ini, dapat juga kita kaitkan dari sudut pembelajaran secara berkumpulan, semestinya setiap seorang dari ahli tersebut mempunyai pandangan masing-masing. Pada masa yang sama, kita akan memperoleh faedah berkaitan pandangan kawan-kawan kita terhadap subjek yang dibincangkan. Selaras itu, sikap menghargai jasa antara rakan turut dapat disemai dalam diri masing-masing. Hal ini dapat diwujudkan apabila kita memberi tumpuan yang sepenuhnya tatkala rakan kita itu menyuarakan buah fikirannya. Oleh itu, haruslah kita mempunyai rakan yang pelbagai kaum agar kita juga bertambah ilmu pengetahuan.

       Hakikat yang tidak dapat dikesampingkan ialah perbezaan memberikan banyak input baru serta perkara baru kepada seseorang kerana mereka dapat mempelajari daripada kelainan yang ada. Persahabatan merentas bangsa dan budaya dapat meningkatkan kemahiran berahasa dan perbendaharaan kata yang selama ini kita pelajari di institusi pendidikan tidak kira di peringkat rendah, menengah mahupun di peringkat universiti. Jalinan persahabatan yang dibina dianggap seperti perhubungan antara guru dan murid, kerana kita sesama sendiri dapat menimba ilmu serta berkongsi pengalaman ini sekali gus dapat meningkatkan tingkat pemikiran kita ke arah pemikiran minda kelas pertama. Kemahiran bahasa merupakan kemahiran yang penting bagi umat manusia kerana cara penyampaian yang berkesan dapat membina keyakinan diri dan memberikan bonus kepada diri kita. Pembelajaran secara tidak formal atau bahasa mudahnya pembelajaran secara praktikal dianggap berkesan dan terbukti memberikan hasil yang sangat memberangsangkan kepada seseorang yang mempelajari bahasa. Hal ini demikian kerana pembelajaran secara teori tidak dapat menghasilkan impak yang maksima kepada otak kita untuk menyimpan maklumat. Hal ini dapat saya buktikan melalui kajian yang telah dirumuskan oleh pakar-pakar komunikasi, yang menunjukkan bahawa kira-kira 85% daripada pengetahuan kita diperolehi melalui pendengaran. Teman merupakan insan yang selalu berdamping dengan diri kita dan secara tidak langsung tabiat serta kelakuannya menjadi ikutan. Hal ini termasuklah cara percakapan mereka malahan bahasa yang sering digunakan. Melalui proses mendengar secara efektif, kita seolah-olah dapat menganalisis setiap apa yang dituturkan jika sahabat itu bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Kita mungkin tidak menyedari sepanjang perhubungan kita bersama lain rakan-rakan yang berlainan bangsa merupakan masa pembelajaran kita untuk mempelajari bahasa tanpa perlu kita bersusah payah memasuki kelas-kelas bahasa bagi membolehkan kita bertutur dalam bahasa asing.

       Pada suatu masa dahulu, Malaysia bumi bertuah pernah melakar sejarah apabila mencapai kemerdekaan tanpa perlu mengangkat senjata mahupun mengorbankan nyawa rakyat yang tidak bersalah dengan kerjasama pelbagai kaum. Pencapaian ini dianggap sebagai satu kejayaan yang sangat membanggakan bagi Tanah Melayu pada ketika itu yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj. Pencapaian ini turut memberikan inspirasi kepada dunia tentang cara berdiplomasi yang berkesan bagi mengelakkan peperangan berlaku. Bak kata pujangga dahulu kala, melentur buluh biarlah dari rebungnya iaitu didikan dan asuhan yang betul perlu dimulakan dari awal. Persahabatan yang terjalin antara rakan pelbagai kaum ternyata bukan dijalin dalam masa yang singkat malah memakan masa yang lama dari generasi ke generasi. Oleh itu, generasi pada zaman atom ini melihat usaha ini sebagai suatu yang tidak boleh disia-siakan dan terbukti tali-temali sosial yang terjalin ternyata membuahkan hasil yang lumayan. Buktinya, persahabatan ini dapat meningkatkan pengetahuan tentang adat resam dan budaya kaum lain, bertukar-tukar pendapat dan meningkatkan kemahiran bahasa . Tedapat banyak manfaat yang mengilhamkan seribu satu input yang berguna buat kita pada hari ini atau mungkin pada masa hadapan. Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia meluaskan hubungan sosial mereka dengan rakan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang budaya bagi mempelajari lebih mendalam tentang kehidupan kaum lain.


Engku Nur Umairah Binti Tuan Sanusi Asmadi

5BERLIAN 2015

SMK IMPIAN EMAS



Friday, October 30, 2015

MENGHARGAI JASA GURU

Peranan anda dalam menghargai jasa guru yang mengajar dan mendidik anda.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil  duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara

Dua rangkap sajak di atas hasil nukilan Usman Awang bertajuk Guru Oh Guru (1979) jelas menggambarkan peranan guru dalam mencorakkan masa depan anak-anak bangsa dan menyumbangkan bakti kepada nusa tercinta. Guru dapat didefinisikan secara literal sebagai pengajar, pendidik atau pengasuh dalam proses pembelajaran. Dalam agama Islam, martabat atau darjat seseorang guru sangat tinggi sehingga amat disegani dan dihormati dalam kalangan masyarakat. Golongan para pendidik ini diumpamakan matahari yang menyinari sinar kehidupan orang lain daripada kegelapan kepada kecerahan. Justeru, sebagai seorang pelajar, saya mestilah menghargai jasa guru-guru saya dengan memainkan pelbagai peranan yang efektif. Persoalanannya, apakah peranan saya dalam menghargai jasa guru yang mendidik saya? Oleh itu, peranan saya dalam menghargai jasa guru yang mewarnai fokus perbincangan akan dikupas dan dibugar secara terperinci untuk kepentingan semua pihak.

Lontaran idea pertama, saya akan belajar bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang. Hal ini kerana, pencapaian keputusan yang cemerlang dalam akademik mampu menggembirakan hati seorang guru bak peribahasa seperti anjing bertemu pasir. Dalam konteks ini, saya mestilah memberikan sepenuh perhatian ketika guru sedang mengajar supaya tidak tertinggal input-input penting yang disampaikan oleh cikgu. Secara tidak langsung, saya dapat menjaga hati        cikgu-cikgu saya supaya mereka sentiasa berasa dihargai oleh anak muridnya. Bertitik tolak daripada itu, saya akan membina jadual belajar sendiri supaya dapat menggunakan masa dengan lebih bijak kerana masa itu emas dalam usaha untuk memperoleh kejayaan. Sekiranya ada kekeliruan yang melanda ketika proses pembelajaran dan pengajaran dijalankan, saya akan terus bertanya kepada cikgu supaya lebih faham dan tidak menjadikan sikap malu bertanya sebagai tunjang utama kegagalan saya dalam mencapai keputusan yang cemerlang kerana malu bertanya sesat jalan, malu berdayung perahu hanyut. Sesungguhnya, azam dan semangat yang berkobar-kobar akan mendorong setiap tindakan atau usaha yang diambil sehingga kejayaan dicapai bak peribahasa di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Pujangga pernah mangatakan bahawa anda tidak diwajibkan membayar jasa guru-guru anda dengan wang ringgit, tetapi anda diwajibkan membayar jasa-jasa mereka dengan mengukir suatu prestasi yang gemilang. Tegasnya, saya mestilah belajar dengan gigih demi mencapai kecemerlangan dalam akademik sebagai menghargai jasa-jasa guru.

Lontaran idea kedua, saya haruslah menziarahi guru ketika sakit atau selepas guru bersara di rumahnya. Sesungguhnya, sebagai manusia biasa sudah tentu guru pun menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan seperti ditimpa kemalangan, bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya. Oleh itu, sebagai muridnya saya wajarlah menziarahi mereka jika mereka menghadapi masalah tersebut sebagai tanda melahirkan rasa simpati ibarat cubit peha kanan, peha kiri terasa sakitnya. Selain itu, saya juga boleh membawa buah tangan seperti buah-buahan atau makanan berkhasiat yang lain supaya cikgu cepat sembuh sekiranya sakit. Tambahan pula, saya boleh membantu cikgu meringankan beban yang ditanggungnya dengan mengutip derma dalam kalangan warga sekolah. Hal ini dapat disamakan dengan peribahasa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Secara tidak langsung, perasaan simpati dan kasih sayang antara guru dan murid dapat dilahirkan untuk mengeratkan silaturahim. Seterusnya, nilai-nilai murni yang mulia dapat dipupuk dalam diri saya seperti prihatin, kasih sayang dan bantu-membantu. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bahawa, barang siapa yang meringankan beban orang mukmin di dunia ini, maka nanti pada hari kiamat Allah akan meringankan beban daripadanya beban-beban hari kiamat. Daripada realiti ini, dapat saya katakan bahawa kita membantu orang lain kerana Allah. Sama ada orang itu menghargai atau tidak, kita akan tetap membantu mereka kerana itu merupakan suruhan Allah SWT. Deduksinya, frasa guru, jasamu dikenang, budimu disanjung bukanlah sekadar kiasan sahaja kerana pengorbanan guru akan sentiasa saya kenang mahupun para pelajar yang lain.

Lontaran idea ketiga, saya perlulah sentiasa mendoakan kesejahteraan guru-guru yang telah mengajar dan mendidik saya selama ini. Mendoakan kesejahteraan guru-guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah mereka kembali ke rahmatullah dapat membuktikan bahawa saya sentiasa mengenang jasa-jasa mereka. Dalam konteks ini, saya perlulah mendoakan mereka agar sentiasa sihat sejahtera dan dielakkan daripada segala bahaya yang mendatang. Pada masa yang sama, saya tidak akan menjadi seperti kacang lupakan kulit mahupun ulat lupakan daun. Hal ini kerana, guru yang sihat dan cergas sudah tentu dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna tanpa sebarang masalah yang timbul. Kendatipun demikian, sekiranya terdapat guru yang telah meninggal dunia, saya haruslah mendoakan agar dosa-dosa mereka diampunkan dan ditempatkan bersama-sama dalam kalangan orang beriman. Impaknya, saya akan sentiasa mengingati jasa guru-guru saya tidak kira yang masih penjang usianya atau yang telah meninggal dunia. Sesungguhnya, peribahasa harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dapat diungkapkan dengan situasi ini, jelaslah bahawa, mendoakan kesejahteraan guru-guru merupakan salah satu cara unuk menghargai dan mengenang jasa guru.

Lontaran idea keempat, sebagai pelajar saya perlulah prihatin dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru. Dengan berbuat demikian, guru-guru akan berasa bahawa jasa-jasa mereka dihargai dan sentiasa dikenang. Contoh yang boleh saya ketengahkan untuk menghargai jasa guru ialah meraikan sambutan Hari Guru pada tanggal 16 Mei setiap tahun. Dalam konteks ini, sambutan Hari Guru perlulah diraikan dengan meriah dan gilang-gemilang sebagai tanda penghargaan kepada warga pendidik dan bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Bertitik tolak daripada itu, saya boleh membelikan hadiah atau cenderamata kepada guru-guru yang tidak kenal erti lelah dalam mencurahkan ilmu atau didikan kepada saya. Selain itu, amalan seperti ini juga akan mendorong saya untuk mendapatkan restu atau keberkatan guru supaya lebih faham dan jelas akan sesuatu subjek. Memetik kata-kata daripada Dan Rather, pembaca berita CBS yang terkenal menyatakan bahawa dorongan, bimbingan, kepercayaan dan restu daripada guru mampu membantu golongan pelajar mencapai impian mereka. Sesungguhnya, guru-guru tidak pernah menagih apa-apa jua balasan daripada anak-anak didiknya walaupun telah banyak mengorbankan masa demi mendidik bakal-bakal pemimpin negara pada masa hadapan.

Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, setiap pelajar mestilah menghargai dan mengenang jasa-jasa golongan mudarnis di dunia ini. Sudah terang lagi bersuluh, jasa dan pengorbanan seseorang guru sukar untuk untuk dibalas walaupun menghadiahkan mereka segunung intan. Sesungguhnya, tanpa guru siapalah kita dalam bidang pendidikan yang kian meluas ini. Justeru, janganlah kita sombong, berlagak dan angkuh seperti merak. Sebaliknya, para pelajar mestilah menghormati guru dan mengamalkan sikap rendah diri untuk mengelakkan diri mempunyai sikap yang dada tinggi daripada perut. Abu Hurairah pernah meriwayatkan bahawa pelajarilah ilmu pengetahuan dan pelajari juga dengan ilmu tersebut ketenangan jiwa dan kerendahan diri. Rendahkanlah diri kamu kepada orang yang mengajar kamu. Demi merealisasikan visi kudsi wawasan 2020, marilah kita bersama-sama melahirkan golongan pelajar yang menghargai dan mengenang jasa guru walaupun mereka tidak berkhidmat sebagai pendidik lagi. Mahupun yang telah meninggalkan alam fana ini buat selama-lamanya.

[1139 pp]
     Nur Amanina 5 Berlian
2015

Saturday, October 10, 2015

USAHA-USAHA MENGGALAKKAN MURID BERKUNJUNG KE PUSAT SUMBER

SOALAN:

Anda telah dilantik sebagai ketua pengawas pusat sumber sekolah.
Anda ingin mengemukakan beberapa cadangan kepada pihak sekolah untuk menggalakkan murid-murid berkunjung ke pusat sumber sekolah.

Kemukakan cadangan-cadangan anda tersebut.




Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi, pelajar sudah tidak lagi berminat untuk membaca buku mahupun menjejakkan kaki ke pusat sumber sekolah. Pusat sumber sekolah boleh didefinisikan sebagai gedung ilmu dan khazanah informasi. Seperti yang kita ketahui, pusat sumber sekolah merupakan destinasi dominan untuk warga sekolah yang dahagakan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan sangat penting bagi setiap manusia yang hidup di muka bumi ini. Saidina Ali bin Abu Talib, seorang tokoh Islam terkemuka telah menyenaraikan 10 kepentingan ilmu. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya ilmu pengetahuan dan kita perlu mengetahui bahawa ilmu tidak akan habis walaupun sudah diterokai sedalam-dalamnya jika dibandingkan dengan harta yang akan habis dibelanja. Persoalannya kini, apakah peranan saya sebagai ketua pengawas pusat sumber sekolah dalam mengemukakan beberapa cadangan kepada pihak sekolah untuk menggalakkan murid-murid berkunjung ke pusat sumber sekolah? Oleh hal yang demikian, cadangan saya kepada pihak sekolah untuk menggalakkan murid-murid berkunjung ke pusat sumber sekolah yang mewarnai fokus perbincangan akan dikupas secara terperinci demi kebaikan semua pihak.

Mari kita kupas peranan saya sebagai ketua pengawas pusat sumber sekolah dengan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam memberi cadangan supaya mewujudkan suasana pusat sumber sekolah yang kondusif untuk dikunjungi oleh murid-murid khususnya. Dalam konteks ini, pihak sekolah perlulah merancang susun atur rak buku, meja, dan kerusi dengan kemas serta teratur. Hal ini perlu bagi memudahkan pergerakan murid untuk mencari bahan bacaan. Bahan-bahan ilmiah perlu diasingkan mengikut kategori tertentu supaya tidak menyukarkan pelajar untuk mencari bahan bacaan yang ingin dibaca. Sekiranya pihak sekolah melakukan seperti yang saya cadangkan, saya akan memastikan buku-buku itu akan sentiasa tersusun dengan kerjasama daripada pengawas pusat sumber sekolah yang lain untuk mewujudkan sistem penyusunan buku yang sistematik. Selain itu, pihak sekolah perlulah menyediakan ruang bacaan yang luas supaya pelajar berasa selesa untuk menimba ilmu di pusat sumber. Saya juga mencadangkan agar pihak sekolah menampal gambar-gambar tokoh yang berkaitan dengan pelbagai ilmu untuk menceriakan persekitaran di dalam pusat sumber. Contoh tokoh ilmuan yang boleh dipaparkan di pusat sumber ialah Ibnu Khaldun, Ibnu Sina, Albert Einstein dan Isaac Newton. Impaknya, pusat sumber sekolah dapat mewujudkan persekitaran yang selesa dan tenang untuk menelaah dan menjadi faktor penarik bagi merangsang murid mengunjungi pusat sumber. Tegasnya, saya perlulah mencadangkan kepada pihak sekolah supaya mewujudkan pusat sumber yang kondusif untuk menarik minat murid ke pusat sumber.

Suatu hakikat yang tidak dapat dikesampingkan ialah saya mencadangkan agar pihak sekolah memperbanyakkan bahan bacaan dan rujukan serta mewujudkan sudut komunikasi dan teknologi maklumat(ICT).  Justeru, pusat sumber perlulah dilengkapi dengan pelbagai bahan ilmiah dan rujukan yang bervariasi dan menarik.  Umum mengetahui bahawa generasi muda  tidak begitu menggemari membaca buku yang tidak mempunyai sebarang gambar tetapi mereka lebih menggemari buku yang penuh dengan gambar, ilustrasi yang  berwarna-warni. Sebagai contohnya, novel, majalah, ensiklopedia dan buku rujukan perlulah disediakan oleh pihak sekolah untuk diletakkan di dalam pusat sumber.  Oleh hal yang demikian, bahan-bahan yang disediakan hendaklah yang terkini supaya murid didedahkan dengan perkembangan semasa.   Dengan berbuat demikian, pelajar tidaklah dikatakan seperti katak di bawah tempurung yang tidak tahu tentang perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Selain itu, pihak sekolah perlulah menyediakan sudut ICT dan komputer bagi murid mengakses maklumat dengan pantas yang kini  hanya di hujung jari.   Secara tidak langsung, kemudahan ini dapat membantu murid yang kurang berkemampuan untuk menggunakan komputer. Dengan adanya pelbagai bahan ilmiah di pusat sumber akan membantu murid daripada keluarga yang kurang berkemampuan untuk meminjam dan menggunakan buku-buku rujukan agar kemiskinan tidak menjadi penghalang kejayaan buat mereka.  Pada masa yang sama kemudahan yang disediakan di pusat sumber pasti dapat menarik murid untuk mengunjungi pusat sumber dengan lebih kerap lagi.  Jelaslah bahawa, cadangan saya agar pihak sekolah menambahkan jumlah bahan ilmiah dan penyediakan kemudahan ICT akan menjadikan pusat sumber sebagai tempat yang sering dikunjungi oleh murid-murid.

Memetik wasitah nirmala seterusnya, cadangan saya ialah pihak sekolah perlulah memperkasakan program Nadi Ilmu Amalan Membaca(NILAM). Hal ini adalah kerana, program ini mampu menggalakkan murid untuk membaca dan seterusnya menarik minat mereka supaya berkunjung ke pusat sumber yang menyediakan pelbagai jenis bahan bacaan yang menarik.   Seperti yang kita ketahui, program NILAM telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan satu misi berwawasan iaitu menggalakkan murid membaca dan seterusnya menjadikan amalan membaca sebagai sebahagian daripada rutin seharian mereka. Oleh itu, pihak sekolah telah mewajibkan setiap murid untuk memiliki sebuah buku NILAM dan membuat catatan sebarang bahan bacaan sama ada bahan bacaan berbentuk fiksyen ataupun bahan bacaan bukan fiksyen yang telah dibaca. Peranan guru pula, terutamanya guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris perlulah membawa murid-murid ke pusat sumber untuk memberikan peluang pelajar membaca dan membuat sinopsis bahan bacaan mereka dalam buku NILAM. Guru Bahasa Melayu juga boleh menyuruh murid untuk membuat sinopsis ringkas setelah selesai membaca buku Antalogi KOMSAS dan novel yang dipelajari. Dalam hal ini, guru dapat memastikan murid benar-benar memahami segala yang telah dipelajari di dalam kelas. Wajarlah bagi pihak sekolah untuk memberikan anugerah sebagai motivasi kepada murid untuk berkunjung ke pusat sumber. Anugerah Gangsa, Perak, Emas dan NILAM akan diberikan kepada pelajar mengikut jumlah buku yang telah dibaca. Izharlah bahawa, pemerkasaan program NILAM dapat meningkatkan jumlah pelajar yang berkunjung ke pusat sumber.

Lontaran idea saya yang seterusnya ialah pihak sekolah perlulah menganjurkan pelbagai aktiviti untuk menarik minat murid supaya mengunjungi pusat sumber sekolah. Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah hendaklah merangka aktiviti-aktiviti dengan baik agar aktiviti yang dijalankan berjaya membuatkan murid sering mengunjungi pusat sumber. Bagi setiap program yang dianjurkan, iklan-iklan mengenai ptogram tersebut perlulah disebarkan.  Iklan-iklan bagi mempromosikan aktiviti yang dianjurkan mestilah disediakan dalam pelbagai bentuk seperti kain pemidang, banting, poster, risalah dan brosur. Jawatankuasa pusat sumber sekolah hendaklah membantu menyebarkan risalah dan brosur kepada pelajar agar mereka maklum dengan aktiviti yang dijalankan. Program-program yang boleh dianjurkan ialah kempen 'Jom Berkunjung ke Pusat Sumber' dan kempen '1 Murid 1 Buku' bagi menggalakkan amalan membaca dan seterusnya mengajak murid berkunjung ke pusat sumber. Dengan perkataan lain, iklan-iklan yang disediakan perlulah menarik minat setiap mata yang memandang untuk memastikan program yang dijalankan mendapat sambutan hangat daripada murid. Pertandingan bercerita, menulis esei, kuiz dan membuat buku skrap perlu dijalankan sepanjang kempen mempromosikan pusat sumber. Di samping itu, hadiah yang lumayan juga perlu disediakan untuk menggalakkan penyertaan murid-murid. Tegasnya, penganjuran pelbagai aktiviti dan kempen dapat menggalakkan murid-murid berkunjung ke pusat sumber sekolah.

Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, saya sebagai ketua pengawas pusat sumber yang mengetahui serba sedikit punca-punca pelajar tidak mengunjungi pusat sumber sekolah akan mengemukakan cadangan seperti yang disarankan di atas. Oleh itu, diharapkan cadangan yang telah saya kemukakan dapat mengatasi masalah tersebut.   Saya ingin melihat senyuman pada setiap wajah pelajar yang mengunjungi pusat sumber sebagai tanda mereka berpuas hati dengan kemudahan di pusat sumber.  Jika pihak sekolah dan pengawas pusat sumber sekolah berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, jumlah pelajar yang berkunjung ke pusat sumber pasti dapat ditingkatkan lagi. Pada masa yang sama, minat membaca dapat disemai dalam kalangan murid dan seterusnya melahirkan generasi yang cinta akan ilmu.   Amalan membaca perlu dipupuk dalam kalangan pelajar kerana dengan membaca, generasi yang beilmu pengetahuan dapat dilahirkan. Sekiranya ingin mengetahui masa depan bagi sesebuah negara, lihatlah generasi muda pada masa ini kerana merekalah yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara pada masa akan datang. Oleh itu, usaha yang dilaksanakan itu perlulah bersungguh-sungguh serta berterusan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun melepaskan batuk di tangga sahaja. Marilah kita menjangkau sehabis tangan untuk mencorakkan masa depan negara dengan warna seindah pelangi dalam merealisasikan misi dan visi Wawasan 2020. 
                                                                                                                                                           [1229  pp]

HASIL NUKILAN DARIPADA.
SITI NUR SHAHIDAH BINTI MOHD SUKRI
5 BERLIAN (2015)
SMK IMPIAN EMAS